UMNO Biarkan Umat Islam Murtad
RIDDAH HARUS DITENTANG

Tidak ada penghinaan yang lebih dahsyat dan menyayat perasaan daripada gejala kemurtadan yang berleluasa dan dijamin oleh undang-undang. Sebagaimana yang didedahkan oleh bekas Setiausaha Pergerakan Pemuda UMNO, Saifuddin Nasution Ismail (Berita Harian, 22.3.98) bahawa kegiatan memurtadkan umat Islam, terutamanya perempuan, dilakukan secara terancang oleh kumpulan tertentu melalui saluran mahkamah dengan menggunakan peruntukan undang-undang di bawah perkara kebebasan beragama.

Maka berlakulah rentetan peristiwa bagaimana gadis Islam ditukar agama mereka secara sah di sisi undang-undang.

Antara kes masyhur yang melibatkan gadis Islam dimurtadkan ialah kes-kes Suzie Teoh dan Jassica Zurich (1988); Norbaizura Abdullah (1990); Hartina Kamaruddin dan Nor Aishah Bokhari (1997).

Apabila PAS melalui Ahli Parlimen Marang, Haji Abdul Hadi Awang, mengemukakan usul di Parlimen agar dibahaskan perkara berkaitan dengan murtad, Parlimen yang dikuasai UMNO dan kerabatnya menolak mentah-mentah usul berkenaan atas alasan ia tidak perlu disegerakan.

Cubaan kedua PAS ialah mengemukakan lima Rang Undang-Undang Murtad untuk diluluskan oleh Parlimen.Malangnya rang undang-undang tersebut tidak boleh dikemukakan untuk dibahaskan. Mengikut peraturan Parlimen, sesuatu rang undang-undang yang hendak dibahaskan hendaklah dibawa oleh seorang menteri. Apa yang nyata,tidak seorang pun menteri yang beragama Islam dalam UMNO/BN tampil ke hadapan mengemukakan rang undang-undang berkenaan untuk dibahaskan.

Sikap tidak sensitif para pemimpin UMNO dengan gejala kemurtadan umat Islam memang mudah difahami.Walaupun kes-kes besar kemurtadan berlaku di akhir 80-an dan 90-an, namun gejala ini sebenarnya sudah berlaku secara meluas sejak lama sebelum itu. Banci penduduk dan perumahan Malaysia 1980, misalnya, boleh dijadikan bukti sahih bahawa wujud orang-orang Melayu yang menganut agama selain Islam. Banci itu mendedahkan, daripada 6.1 juta penduduk Melayu di Semenanjung Malaysia ketika itu, seramai 4,766 orang Melayu menganut Kristian, 522 menganut Hindu, 746 menganut Buddha dan 456 menganut agama tradisi orang Cina seperti Confucianisma dan Taoisma.

Para pemimpin UMNO yang menerajui kerajaan sudah tentu tahu hakikat ini sejak dulu. Malangnya, sehingga kini mereka gagal berbuat apa-apa bagi membendung gajala murtad ini daripada berterusan. Sebaliknya,undang-undang yang memberi ruang umat Islam dimurtadkan secara sah itu terus dijunjung oleh mereka. Malah, mereka tidak malu menolak usaha mewujudkan undang-undang anti-murtad, kononnya ia tidak perlu disegerakan.

oleh pembaca MAHAFIRAUN 2020
10 JULAI 1999

http://members.tripod.com/mahafiraun