Isu wanita bekerja

PM SANGGAH KENYATAANNYA

Oleh ISMAIL HASHIM

ALOR SETAR: Presiden PAS, Dato' Haji Fadzil Mohd Noor menyifatkan Perdana Menteri, Dr Mahathir menyanggah kenyataannya sendiri ketika membidaskan cadangan kajian Menteri Besar Kelantan untuk memberikan keistimewaan kepada wanita bekerja.

Beliau menyatakan Perdana Menteri sendiri pada bulan Julai 1984 pernah meminta wanita berhenti kerja dalam satu majlis di Petaling Jaya kerana pembangunan keluarga perlu diutamakan.

Beliau menunjukkan keratan akhbar Utusan Melayu bertarikh 28 Julai 1984 menyebutkan Dr Mahathir berkata kepada wanita-wanita agar berhenti kerja bila pendapatan suami sudah cukup.

"15 tahun lalu, Dr Mahathir mengesyorkan supaya wanita berkerja berhenti kerja, sekarang beliau membuat tohmahan mengatakan Tuan Guru Nik Abdul Aziz yang menyuruh wanita berhenti kerja."

Ustaz Fadzil membacakan keratan akhbar Berita Harian pada tarikh yang sama berbunyi: "Perdana Menteri; Wanita Utamakan Keluarga" yang juga menyarankan wanita berhenti kerja.

"Dr Mahathir sudah tidak relevan lagi," tegas beliau yang juga Adun Bukit Raya.

Presiden PAS itu berkata demikian ketika menyampaikan ucapannya di hadapan hampir 100,000 hadirin dalam Himpunan Perpaduan Rakyat Kedah (HRPK) anjuran Dewan Pemuda PAS Kedah di Mergong, dekat sini Khamis lepas.

Turut berucap adalah Mursyidul Am PAS yang juga Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Dato' Nik Aziz Nik Mat, Presiden Penaja Adil, Datin Seri Dr Wan Azizah Ismail dan Presiden Just, Dr Chandra Muzaffar.

Timbalan Pesuruhjaya PAS Kedah, Haji Mustafa Long, Setiausaha PAS negeri, Ustaz Azizan Abdul Razak, Ketua Muslimat PAS Pusat, Senator Hajah Jamilah Ibrahim dan bapa dan anak Dr Wan Azizah, Dato' Wan Ismail dan Cik Nurul Izzah Anwar turut hadir.

HRPK diadakan khas untuk memberikan penjelasan sebenar terhadap fitnah jahat yang dibuat Perdana Menteri semasa lawatannya ke Kedah dalam Majlis Himpunan Rakyat di Stadium Darul Aman 21 Mac lalu.

(Kandungan penuh berita ucapan Dr Mahathir Julai 1984 berikutnya)

Wanita berhenti kerja bila pendapatan suami cukup - Dr M

Di bawah ini disiarkan kandungan akhbar Utusan Melayu, keluaran Sabtu, 28 Julai 1984. Utusan Melayu memilih tajuk "Mahathir: Pembangunan keluarga perlu diutama; Berhenti kerja bila pendapatan suami cukup" manakala Berita Harian memilih tajuk "Isteri boleh berhenti kerja jika suami mampu; PM: Wanita utamakan keluarga".

"PETALING JAYA; 27 Julai: Ibu-ibu yang bekerja di peringkat dan sektor tertentu mungkin dapat berhenti kerja apabila bilangan anak meningkat dan pendapatan suami dapat menampung keluarga yang sihat, Dato' Seri Dr. Mahathir Mohamad mengesyorkannya hari ini.

Perdana Menteri percaya langkah ini dapat mencapai matlamat kerajaan untuk meningkatkan kependudukan negara ke angka 70 juta serta menjelang 115 tahun akan datang.

Beliau menjelaskan salah satu dasar ke arah peningkatan kependudukannya ialah memberi keutamaan kepada pembangunan keluarga memandangkan keluarga adalah asas sebuah masyarakat atau negara.

Istilah wanita sebagai ibu dan pendidik dalam rumah tangga dapat memainkan peranan penting, tambahnya selepas merasmikan Persidangan Pertubuhan-pertubuhan Wanita Peringkat Kebangsaan selama tiga hari di sini.

Untuk menggalakkan ibu-ibu menjaga anak masing-masing apabila keadaan mengizinkan, Dr. Mahathir mencadangkan satu kempen dijalankan seperti kempen penyusuan bayi-bayi seperti yang dijalankan sekarang.

Ucapannya itu yang dibuat di hadapan 70 orang wanita korporat dari 40 pertubuhan sukarela dan jabatan kerajaan menimbulkan senyuman dari beberapa jemputan yang hadir.

Perdana Menteri berkata, syor demikian bukan bermakna kerajaan tidak menggalakkan wanita-wanita mempunyai kerjaya, tetapi pembangunan keluarga hendaklah diutamakan juga.

Beliau berharap kaum wanita negara ini terutama pertubuhan-pertubuhan wanita akan mencari langkah-langkah yang dapat menyeimbangkan kemajuan kekeluargaan dengan kemajuan ekonomi dan sosial untuk dinikmati oleh kaum wanita di negara ini.

Langkah-langkah yang berpatutan mestilah difikirkan supaya ibu-ibu dapat menjalankan peranan yang sepatutnya terhadap keluarga masing-masing di samping mencari kemajuan dari segi pekerjaan dan kerjaya.

Dr. Mahathir yakin sebahagian dari masalah ini mungkin dapat di atasi dengan cara mengatasi masalah psikologi yang sekarang ini mempengaruhi wanita dan masyarakat negara ini."

 

Ke Laman Utama