logo4.gif (3458 bytes)
.
Suara Reformasi Rakyat
RM 4.50 Semenanjung
RM 6.00 Sabah/Sarawak
url.gif (1734 bytes)
.

line.gif (4491 bytes)

Web Design From RM1250    Syarikat Al Haj (M) Sdn Bhd

[ Main Page ]

Menanti Debar Parlimen Dibubarkan

Selama lebih lapan tahun, penonton tv tidak mendengar ucapan perasmian Presiden Umno dan perbahasan perwakilannya, yang selama tiga hari berturut-turut mengutuk dan mengecam PAS, sehinggalah pada pertengahan Jun lalu, apabila Dr Mahathir beraksi lantang mencerca parti Islam itu dan seteru ketatnya, Anwar Ibrahim. Pada 1987, perhatian perwakilan lebih ditumpukan kepada pertandingan Team A dan Team B, manakala selepas Umno (Baru) ditubuhkan, serangan difokuskan kepada Ku Li dan kalau pun disinggung PAS, ia ditujukan kepada pentadbiran PAS di Kelantan.

"Sekurang-kurangnya kini PAS mendapat publisiti percuma walaupun negatif. Bulan purnama sering terpampang di kaca TV3," ulas seorang aktivis PAS. Omong kosong Mahathir, tambahnya, boleh menikam dirinya sendiri. Pendedahan senarai "kroni" Anwar membuktikan bahawa amalan pilih kasih dalam pembahagian saham dan kontrak penswastaan benar-benar berlaku. "Kalau TPM mempunyai ‘kroni’ sebanyak itu, apatah lagi kroni PM, tentu lagi dahsyat," kata seorang pemerhati di ruang legar PWTC. Dalih PM bahawa Menteri Kewangan menentukan segala-galanya di Putrajaya mudah ditepis. "Satu pembohongan," kata seorang veteran Umno. Tanyalah dengan Tengku Razaleigh, apa sebenarnya bidang kuasa Menteri Kewangan berbanding PM, khususnya merujuk kes Bank Bumiputera dan Petronas.

Ucapan Mahathir membayangkan rasa bimbang, gentar dan takut Pengerusi BN itu untuk berdepan dengan pilihan raya akan datang, yang menyaksikan kebangkitan rakyat dan protes silent majority yang lebih merata. Kredibiliti Umno tercemar teruk sehingga Mahathir terpaksa mengumpankan ‘kejutan’ supaya lebih ramai hadir mendengar ucapannya. Benar, Mahathir hari itu bagaikan seorang tertuduh yang ghairah membela diri di kandang orang salah, bukan dengan membawa hujah munasabah tetapi menyerang seteru politiknya dengan mendakwa mereka juga melakukan kesalahan yang sama dengannya. Ya, siapa sebenarnya yang memfitnah, gila kuasa, banyak kroni, angkuh dan membazir, mengetepikan ajaran Tuhan, mengaibkan kawan dan lawan? Dengan kawalan mutlak media, Mahathir dan konco-konconya boleh berbuat apa saja dengan keyakinan lama bahawa rakyat mudah diperbodohkan. Namun, realiti politik sudah banyak berubah.

PAS, DAP, keADILan dan PRM mulai diterima sebagai parti alternatif kepada BN. Memomokkan hubungan PAS-DAP adalah taktik lapuk yang keberhasilannya sukar diulang. Yang pastinya, kegagalan Gagasan Rakyat-Angkatan dulu memberi banyak pengajaran buat pembangkang. Percakaran sesama sendiri hanya membawa padah. Banyak persamaan yang boleh disepakati sementara mana-mana perbezaan mudah diajak kompromi. Berdepan dengan seorang Mahathir menuntut ketelitian, kebijaksanaan, daya kreatif yang tinggi, dan tidak terikut-ikut menari mengikut rentaknya. Sekali peluang terlepas, rakyat terus menanggung derita. "Jangan menunggu Parlimen dibubarkan untuk bertemu rakyat; waktu berkempen adalah saat paling genting di mana rasionaliti sukar berjejak – sentimen dan emosi yang menguasai," pesan seorang pemimpin pembangkang.

Ahmad Lutfi Othman

[ Main Page ]

(Salinan elektronik artikel pada laman ini untuk edaran newsletter, mailing list dan sebagainya hendaklah disertakan dengan makluman tentang tajuk majalah ini,  bulan diterbitkan dan alamat laman web rasminya)

line.gif (4491 bytes)

  ..

[ Detik Keluaran Lepas ][ Editorial ][ Email ][ Maklumbalas ][ Borang Langganan ]
[ Buku Penerbitan Pemuda ][ Sign Detik Guestbook | View Detik Guestbook ]

Penerbitan Pemuda, 24G, Jalan 4/21D, Medan Idaman, Gombak, K.L.
Tel: 03 463 0371, Faks: 463 0372

Selamat Datang ke www.majalah.com
button.gif (2574 bytes)