HINDARKAN DIRI DARIPADA TERMAKAN FITNAH
HINDARKAN DIRI DARIPADA MEMBACA AKHBAR HARIAN UM, BH, STAR, SUN & NEW STRAITS TIMES,
HINDARKAN DIRI DARIPADA MENONTON BERITA RTM & TV3.

Wawancara  Eksklusif Dengan YAB Tuanguru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat - Menteri Besar Kelantan

Setelah 2 penggal PAS memerintah.....

EKS: Dua penggal setelah mengetuai kerajaan PAS di Kelantan, Datuk telah berjaya membetulkan gambaran negatif yang dilemparkan oleh sesetengah pihak tentang ketidakupayaan pembangkang mentadbir sebuah negeri.

Dalam waktu yang sama PAS secara am, dan diri Datuk khasnya, terus menerima sokongan daripada rakyat Kelantan. Pada hemat Datuk apakah faktor yang menyebabkan rakyat di negeri Serambi Mekah ini terus ingin bersama PAS?

Tg. Dato' Nik Abd. Aziz: Perkara pertama yang saya hendak tekankan ialah saya bersifat lemah-lembut. Dengan rakyat saya berlemah-lembut, dengan parti lawan iaitu UMNO pun sama. Malah, dengan kerajaan pusat pun pendekatan saya ialah berlemah-lembut.

Saya selalu rujuk kepada contoh-contoh Rasulullah s.a.w. Sejarah nabi, perangai nabi, tingkah laku nabi. Tentangan yang dihadapi oleh Rasulullah di zaman jahiliyah adalah jauh lebih teruk daripada apa yang dihadapi oleh PAS sekarang. Keadaan masyarakat Arab jahiliyah lebih ganas daripada parti-parti lawan PAS sekarang.

Tapi akhirnya dengan sikap berlemah-lembut dan bijak dalam menseimbangkan sifat takut dan sifat berani, segala rintangan dan kesukaran itu dapat diatasi. Taktik ini yang kita gunakan dalam mentadbir Kelantan. Kalau rasa berani, kita maju setapak. Kalau rasa takut, kita jangan berundur, sebaliknya kita berdiri tegak. Kalau nampak ada musuh di hadapan, kita jangan ke hadapan, tetapi jangan pula undur walau setapak. Bila musuh dah tidak ada, kita langkah setapak lagi. Lama-lama sampai juga.
 

EKS: Dengan pendekatan lemah-lembut dan taktik yang Datuk gunakan, bagaimana Datuk menilai kesan pentadbiran PAS di Kelantan sejak dua penggal ini?

Tg. Dato' Nik Abd. Aziz: Kesannya ialah seperti yang semua orang lihat sekarang. Kita berjaya mentadbir Kelantan. Tetapi selain kesan yang boleh dilihat dengan jelas, saya suka menyebut bahawa kita tidak buat sesuatu perkara yang boleh dijadikan isu oleh
pihak-pihak tertentu, terutama UMNO.

Orang UMNO payah nak buat isu di Kelantan. Kerana saya jaga sangat. Salah satu strategi saya, saya tak buat benda-benda yang boleh yang menyebabkan UMNO buat isu. Masalah balak, masalah lesen, itu benda-benda yang dalam kuasa saya. Saya gunakan betul-betul ketelusan.

Orang UMNO saya layan, orang PAS saya layan serupa. Sesetengah penyokong PAS tak begitu senang dengan cara saya kerana saya kira semua rakyat sama. Cina, India, UMNO, PAS adalah rakyat saya dan saya bertanggungjawab dengan Allah hingga ke akhirat.

Bila Nabi Muhammad masuk ke kota Mekah sebagai panglima perang, dia telah memanggil semua orang Mekah, bukan untuk mengasari mereka tetapi untuk berunding dengan lemah-lembut. Orang Mekah menghormati Nabi. Sebab itu bila negara Mekah jatuh ke tangan Nabi, tak pernah berlaku peperangan kerana orang bukan takut, tetapi hormat pada Nabi. Nabi Muhammad orang tak takut kerana dia tak ada senjata, tapi orang hormat kerana keadilan yang melimpah. Orang tak sampai hati nak lawan.

Sifat itulah seorang pemimpin yang perlu sangat jaga. Kalau kita guna kekasaran, orang takut tetapi mereka ada idaman nak melawan. Kalan kita berlemah-lembut, orang malu nak melawan.

EKS: Ketika mula-mula menawan Kelantan dulu, gambaran negatif diberi oleh sesetengah pihak kononnya rakyat akan menderita di bawah PAS, negeri tidak boleh maju dan sebagainya. Tetapi, sekarang terbukti gambaran negatif pihak lawan itu ternyata meleset. Apa komen Datuk?

Tg. Dato' Nik Abd. Aziz: Memang sebelum daripada pilihan raya lagi fitnah dilemparkan habis-habisan bukan sahaja terhadap PAS tetapi terhadap Islam itu sendiri Islam tak layak zaman moden, zaman unta, zaman padang pasir, dan macam-macam lagi fitnah. Itu bukan menentang PAS tapi menentang agama sendiri.

Lepas kita menang, dia orang kata tiga bulan kita akan tumbang. Saya memang kecut perut dan bimbang, kerana bagi saya, kalau tumbang sungguh PAS dalam masa tiga bulan, kesannya bukan rosak PAS tetapi rosak Islam itu sendiri. Maknanya benarlah Islam itu tak layak, tak relevan sekarang. Tapi Alhamdulillah, Tuhan faham kita bukan nak jaga Pas sahaja tetapi negeri Islam itu sendiri. Orang sokong.

Waktu saya nak haramkan judi, ada pegawai memberitahu: haram boleh Tok Guru, tapi khazanah negeri kempislah.

Saya kata, biar kita kempis duit tapi kita gelembung dengan sokongan daripada Allah, daripada malaikat, daripada bumi. Sekarang dengan ketegasan kita, apa yang kita lakukan mendapat sokongan, Alhamdulillah. Semua orang sokong kita.

Sekarang ini tidak kira budak kecil atau orang tua, kalau saya masuk kampung saya pula lari daripada mereka. Bimbang kena peluk kena cium, kena ramas tangan saya kerana seronok sangat orang kampung bila bertemu dengan saya. Saya sekarang mengelak. Buka sahaja pintu kereta, orang terpa nak jabat salam. Saya terpaksa duduk takut sekarang ini. Saya kena keronyok semua sekali. Ini semua hasil daripada kemesraan yang mereka rasa bahawa pemimpin sekarang ini tidak mementingkan dunia, tidak mementingkan harta.

Dalam mesyuarat-mesyuarat perbadanan, ada disediakan elaun. Saya katakan, hak saya kurangkan 50% daripada orang lain. Orang lain nak ambil berapa ambillah. Sekarang gaji dah ada, buat apa lagi elaun banyak-banyak. Berilah pada orang lain yang belum lagi merasa.

Bukan saya nak angkat diri tapi contoh yang saya buat. Bagi saya pahala lebih bertahan daripada duit. Itu ajaran agama. Kalau saya dapat RM100 sekali mesyuarat, berapa sangat nilainya berbanding dengan pahala akhirat. Pahala itu currency akhirat.
 

Agama dan politik tidak boleh dipisahkan

EKS: Apa pandangan Datuk tentang ulama berpolitik?

Tg. Dato' Nik Abd. Aziz: Tidak salah ulama berpolitik kerana peranan ulama sebagai ahli politik dan pentadbir memang telah terbukti sejak dulu lagi. Bagaimanapun ada orang mengatakan ulama tidak boleh berpolitik sedangkan Nabi Muhammad adalah seorang ulama No. I dan juga ahli politik yang terlibat dalam kepimpinan politik. Walaupun Nabi Muhammad seorang ulama, kepimpinan dan pentadbiran yang ditunjukkan oleh baginda tidak ada tolok bandingnya.

Kalau ulama tidak boleh berpolitik, apa jadi pada ulama dan tokoh agama yang kini ada pada UMNO? Mereka patut keluar dari parti itu. Ulama bebas pun jika menegur kerajaan, pasti akan menerima akibatnya. Datuk Dr. Harun Din, Datuk Ismail Kamus adalah ulama bebas dulu. Tetapi mereka digam kerana berani menegur kerajaan. Malah mufti yang berani menegur kerajaan pun tersingkir.

Peranan ulama adalah untuk menyedarkan semua pihak, termasuk para pemimpin supaya menjauhkan sebarang bentuk kemungkaran dan penyelewengan.

Saya sifatkan ulama yang takut menegur kesilapan pemimpin sebagai "hantu bisu" yang hanya ingin menjaga kepentingan sendiri. Ulama ini tidak berani menasihat atau menegur kerana bimbang kedudukan mereka akan tergugat. Hantu bisu ini adalah bersubahat dan mempunyai saham di atas apa-apa penyelewengan yang dilakukan oleh pemerintah.

Dalam PAS, ulama diberi tempat dan peranan besar sebagai teras parti. Dan pendapat para ulama sentiasa diambil kira dalam apa-apa juga dasar dan rancangan yang hendak dilaksanakan.

Kalau tidak berpandukan ulama dan agama, siapa lagi yang boleh dijadikan panduan? Sebahagian besar kehancuran dan kemusnahan di barat ialah kerana mereka mengetepikan agama. Kita tidak mahu jadi seperti barat.
 
 

Pembangunan di Kelantan tetap ada

ESK: Di kalangan rakyat nilai kejayaan dan pembangunan sesuatu pemerintahan itu diukur lebih kepada benda-benda fizikal. Contohnya, jambatan, bangunan tinggi dan sebagainya. Kelantan dari segi ini agak terkebelakang. Tidakkah ini dilihat sebagai kelemahan pentadbiran PAS?

Tg. Dato' Nik Abd. Aziz: Sekarang lebih mudah nak buat pembangunan berbanding sepuluh tahun dahulu kerana sekarang semua sistem penswastaan. Kalau saya buka pintu Kelantan ini kepada swasta, nak 20 lapis jambatan pun boleh. Nak tiap-tiap sungai diletak jambatan pun boleh. Swasta berebut-rebut orang nak buat.

Tapi swasta ini apa saja dia buat dia nak cari untung. Dia kena tol itu, tol ini. Saya tak senang hati lihat rakyat berhenti kemudian bayar duit. Kemudian dia sumpah kita dan buat demonstrasi. Lebih baik saya bergerak secara perlahan.

Bila sampai masanya, jambatan Sungai Kelantan akan bertambah satu persatu. Sekarang pun dah banyak jambatan kita buat di atas sungai-sungai di Kelantan.

EKS: Selain pembangunan prasarana di Kelantan memang agak lembab, ada juga tuduhan bahawa orang Kelantan hidup susah, ekonomi mereka rendah berbanding negeri-negeri lain. Apakah ini kenyataan atau hanya tohmahan?

Tg. Dato' Nik Abd. Aziz:: Saya tengok, kalau nak kata susah, tidaklah susah sangat. Tiap-tiap kali ada ceramah malam, kalau kita minta derma, orang bagi. Kadang-kadang orang yang sama; malam ini dia bagi, malam esok pun dia juga bagi. Kalau nak kata susah, bagaimana duit banyak macam itu?

Dari segi makan-minum pula, tiada rakyat kita yang pucat dan kurus dengan kepala besar. Boleh makan macam biasa.

Kalau kita ke Mesir dan Jordan, rakyat Kelantan yang belajar paling ramai. Pergi ke London, rakyat Kelantan ramai juga. Itu suatu perkara yang unik untuk dibincangkan.

Dua tiga hari saya di Kelantan seorang budak perempuan datang minta duit dengan saya, katanya nak pergi Jordan. Kos belanja di sana mahal, namun mereka nak pergi juga ke sana. Itu anugerah yang Allah beri.
 
 

Sejauh mana PAS akan diterima di negeri lain

 
EKS: Kalau mengikut pada pencapaian PAS di Kelantan, rakyat sudah menerima PAS tidak kira bangsa. Apakah penerimaan di Kelantan ini akan merebak ke negeri-negeri lain dalam pilihan raya umum akan datang?

Tg. Dato' Nik Abd. Aziz:Saya tidak boleh teka masa depan tapi tindak-tanduk kita di Kelantan memang telah banyak dicontohi. Mula-mula kita buat Ar-Rahn. Nak mula buat pajak gadai Islam di Kelantan bukan senang kerana pajak gadai memerlukan wang yang banyak untuk membayar harga barang kemas orang.

Kita cari-cari dapat RM3 juta melalui anak syarikat di PKB. Bagi saya, seumur hidup saya tak pernah ada wang tiga juta. Rupanya bila kita buka Ar-Rahn, rakyat Kelantan yang dahaga kepada Islam berkerumun ke kedai Ar-Rahn. Tak sampai tiga bulan habis wang ini menyebabkan pengurus pening kepala hendak cari mana wang. Itu menunjukkan rakyat hendak sangat Islam tetapi pemimpin yang sekat sana, sekat sini. Sudahlah sekat, dia buat fitnah pula pada orang yang buat Islam. Ekstremlah, melampaulah. Tetapi kemudian ada orang lain tiru pula Ar-Rahn.

Kita beri cuti pada perempuan mengandung 60 hari atau dua bulan. Sekarang orang lain tiru. Kita buat kerja lima hari seminggu. Hari Jumaat hari belajar, hari Sabtu hari keluarga. Sekarang orang lain dah mula tiru kerja lima hari seminggu.

Ini menunjukkan perkara yang kita buat itu memang molek. Kita sebagai orang Islam kena beri dulu kepada rakyat, jangan rakyat minta dahulu. Jangan rakyat demonstrasi dulu nak minta cuti. Kita beri. Itulah kerja kita. Amanah itu kena tunaikan.
 

Hudud: Kerajaan pusat yang halang

EKS: Tetapi Datuk, ada juga janji-janji PAS yang sampai sekarang tidak ditunaikan. Salah satu yang sering diungkit-ungkit oleh orang UMNO ialah janji PAS untuk melaksanakan hukum hudud di Kelantan, sampai kini belum ditunaikan?

Tg. Dato' Nik Abd. Aziz:Islam tidak bergantung pada asasnya di atas denda. Ia tidak bergantung dengan denda untuk menegakkan Islam. Islam bergantung kepada akhlak yang baik. la didik manusia supaya berakhlak mulia. Tetapi akhlak baik tidak semua orang boleh terima. Ada yang nakal, ada yang keras kepala. Ada yang tak berguna, yang tak berfaedah kita beri nasihat. Orang inilah yang perlu kita guna rotan.

Hudud ini perlu kerana dia ada satu nas yang tak boleh ditakwil. Dalam perundangan Kelantan belum lagi ada hudud. Saya berusana untuk mengadakan hudud. Itu sahaja. Supaya bila timbul masalah hudud, undang-undang hudud sudah ada.

Sebenarnya saya sudah sebut beberapa kali sekiranya hudud ini berjaya dimasukkan dalam Senarai Perundangan Kelantan. Saya berdoa mudah-mudahan kadi atau hakim tidak memotong tangan pencuri di Kelantan kerana, hendak sampai kepada peringkat hudud ini, rombakan syarat-syaratnya terlalu banyak.

Untuk memenuhi syarat perundangan perlu ada benda itu. Semacam penjara, bila sebuah kerajaan dibentuk penjara perlu dibuat segera. Tak semesti ada orang salah barulah kita hendak buat penjara. Polis perlu ada, walaupun tidak ada orang salah. Tak semesti ada pencuri baru hendak diadakan polis.

EKS: Tetapi dalam hal potong tangan ini ia dulu dijadikan isu oleh UMNO untuk menakut-nakutkan rakyat. Konon, jika PAS memerintah pencuri akan dipotong tangan, siapa berzina akan direjam dengan batu. Bagaimana PAS menangkis serangan-serangan ini?

Tg. Dato' Nik Abd. Aziz:Pertama sekali saya memberitahu kepada masyarakat bahawa hukum hudud ini bukan buatan orang politik. Taraf hudud seperti taraf sembahyang yang sama-sama ada nas yang tak boleh diubah.

Kita wajib sembahyang kerana ada nas. Kita wajib jalankan hudud kerana ada nas. Orang yang cuba menakut-nakutkan tentang hudud ini ialah orang yang terpengaruh dengan falsafah orang Eropan yang mementingkan individu lebih dari kepentingan masyarakat.

Orang Eropah, usahkan hudud, hukum bunuh pun orang Eropah masih lagi berkecamuk. Hendak bunuh atau tak mahu bunuh. Ada negara yang membenarkan membunuh penjenayah dan ada negara yang tak membenarkan kerana itu penganiayaan. Sesekali rumah kena curi, orang sekampung jadi takut.

Dalam Islam, hak kemanusiaan dijaga oleh semua, individu boleh jaga, masyarakat boleh jaga. Kita tidak boleh menentang hukum hudud kerana ini hukum Allah. Hudud bukan ciptaan orang politik tetapi telah ditetapkan oleh Allah.

EKS: Tapi Datuk, setelah dua penggal memerintah Kelantan, hukum hudud masih belum dapat dilaksanakan. Apa yang menghalang kerajaan PAS untuk melaksanakan hukum Allah ini?

Tg. Dato' Nik Abd. Aziz: Kita sudah usaha, perkara ini tidak mudah. Kerajaan pusat tulis surat kepada saya supaya jangan melaksanakan hukum Hudud. Tetapi dalam Islam, benda yang kita tidak boleh buat, jangan kita tinggal semua. Kita buat dulu mana yang boleh.

Dalam Islam, bukan hudud saja. Banyak lagi benda lain. Kalau kerajaan pusat tak benarkan hudud tak apa, kerana banyak lagi benda yang boleh kita buat dalam Islam. Hanyak lagi tarbiyah, contoh-contoh yang boleh kita buat untuk mendidik dan membawa masyarakat pada Islam. Kalau mereka tak benar buat hudud, tapi kita buat juga hudud sehingga memaksa kerajaan pusat isytiharkan mageran, ini kita telah buat kerja bodoh. Banyak lagi benda lain yang boleh kita buat.

EKS: Katakanlah kerajaan PAS di Kelantan diberi sekali lagi mandat dalam pilihan raya akan datang, apakah hudud ini akan diteruskan?
 

Tg. Dato' Nik Abd. Aziz: Hudud ini mesti diteruskan kerana ini merupakan nas daripada Allah dan wajib dilaksanakan. Soal sama ada kerajaan pusat boleh terima atau tidak, itu terserah. Di pihak kita sebagai orang, kita sudah buat apa yang patut. Orang politik, kerja mereka membuat undang-undang. Masuk ke Dewan Negeri. Undang-undang ini kita serah kepada mahkamah. Yang memotong tangan bukan orang politik, yang memotong ialah pegawai. Bila hakim kata potong, potonglah. Bila hakim kata jangan potong, kita tak potonglah.

EKS: Nampaknya potong tangan ini dijadikan isu yang begitu kontroversi oleh pihak-pihak yang anti-PAS. Saya hendak tanya, sejauh mana Islam telah melaksanakan potong tangan? Semasa zaman Rasulullah dulu ramaikah yang kena potong tangan?

Tg. Dato' Nik Abd. Aziz: Ramai tak ramai saya tak boleh sebut, kerana tidak ada senarainya. Tetapi perkara itu berlaku. Cuba saudara fikir bila seorang kena potong tangan dan dia pergi ke pasar bawa tangan kudung, dia ke masjid bawa tangan kudung, ke mana saja bawa tangan kudung. Takut sungguh orang kampung semua tengok.

Ketakutan inilah yang perlu ada pada undang-undang. Undang-undang Eropah tidak memeritkan orang. Sebab itu hukuman undang-undang Eropah tidak menakutkan orang. Dalam Quran sebut memeritkan ini adalah untuk mencegah.

Tapi kalau dipenjara lima tahun, setelah tempoh itu orang keluar lagi seronok. Kadang-kadang bila masuk penjara dia dapat pengalaman yang lebih jahat lagi sebelum dia masuk penjara. Dia boleh guna pengalaman sama-sama jahat dalam penjara. Orang putih tak apa, kerana dia sendiri sudan jahat. Macam mana dia hendak membuat hukuman menghapuskan kejahatan.
 

Cara PAS ambil hati Cina Kelantan

EKS: Setelah dua penggal memerintah, bagaimana penerimaan orang bukan Islam khasnya Cina terhadap pentadbiran PAS di Kelantan? Apakah mereka masih berasa takut dengan cara Islam?

Tg. Dato' Nik Abd. Aziz: Waktu saya mula-mula pegang Kelantan, mereka cerita dalam surat khabar bahawa pemerintah Kelantan akan rampas hak-hak orang Cina. Peminipin-pemimpin DAP dan Dr. Chen Man Hin, Lim Kit Siang dan segalanya anak buah mereka seramai 12 orang semua pergi Kelantan dan melawat Gua Musang, Tanah Merah, dan Kota Bharu.

Mereka buat penyiasatan dan akhirnya datang ke pejabat saya. Mereka bertanya betulkah kenyataan MCA Kelantan bahawa PAS rampas hak orang Cina? Saya tanya mereka balik: mengapa hak orang Cina?

Saya kata bagaimana saya nak larang orang Cina bertutur bahasa Cina. Allah SWT sebut berlainan bangsa itu merupakan nikmat Allah. Orang Melayu cakap Melayu, orang Cina cakap Cina, orang India cakap Tamil. Daripada Adam dan Hawa pun boleh berbilang bangsa. Itu nikmat Tuhan. Bagimana saya nak larang orang Cina cakap Cina, baca surat khabar Cina, makan bersepit dan pakai Cheongsam.

Saya tegaskan kepada mereka bahawa berniaga bukan hak orang Crna sahaja. Saya tak pernah tarik lesen orang Cina berniaga. Segala soalan mereka saya jawab dengan memuaskan, akhirnya mereka panggil sidang akabar menegaskan dakwaan MCA Kelantan tidak berasas.

Orang Cina sekarang ini berkempen pula untuk PAS. Waktu di Arau baru-baru ini ramai orang Cina dan Siam ke Arau berkempen tolong PAS. Kata mereka, kami tak ada masalan pun. Tanah kami dapat. Jawatan penghulu pun kami dapat.

Di Kota Bharu sekarang kita lantik dua orang penghulu Cina. Masalah orang Cina disalurkan melalui penghulu mereka. Pengkulu ini kemudian jumpa saya dan exco-exco tertentu.

Kesimpulannya, segala tuduhan yang dibuat oleh UMNO selama ini bahawa perang dan huru-hara antara orang Melayu dan Cina akan berlaku, adalah meleset sama sekali. Dan ini benar-benar mengecewakan UMNO.

Bagi saya UMNO hidup dalam zaman meratap, meratap dirinya sendiri kerana senjata yang diguna makan diri sendiri. Itu sebab mereka sibuk dengan Lojing, masalah air Kelantan dan perkara-perkara yang bukan asas. Mereka nak tutup kes banjir kilat di Kuala Lumpur, mereka kata kami buat kacau di Lojing. Tiada isu, apa sebenarnya.

EKS: Bagaimana Datuk melihat prestasi PAS sebagai pentadbir di negeri Kelantan, dan apa perbezaan di antara Kelantan di bawah PAS dengan Kelantan di bawah kerajaan sebelum ini?

Tg. Dato' Nik Abd. Aziz: Setiap kali berceramah saya memberitahu, kalau setakat berjaya buat jambatan, saya tidak berasa bangga. Kalau saya buat jalan raya pun saya tidak berasa bangga. Pembangunan dengan membuat jambatan dan jalan raya ini boleh dilihat di semua negara, termasuk di negara komunis. Di Beijing ada jambatan. Pergi ke London, ke Washington, ada jambatan, ada jalan raya. Pendek kata, kalau saya boleh buat bagaimana orang lain buat, tiada apa yang hendak dibanggakan. Apa yang saya bangga ialah jika saya boleh ubah pemikiran masyarakat daripada mengetepikan Islam, sekarang mereka boleh menjulang Islam naik walaupun secara kecil-kecilan.

Ini satu kejayaan yang saya merasa bangga dan inilah perkara yang saya harap dipandang tinggi di depan Allah di akhirat kelak. Kalau Tuhan tanya, mu buat apa Nik Aziz masa hidup, saya jawab, "Ya Allah ya Tuhanku aku telah berusaha menepis tuduhan-tuduhan yang memperlecehkan Islam, dan kini orang boleh terima Islam." Itu kebanggaan saya di akhirat.

EKS: Adalah jelas tuduhan-tuduhan yang dilemparkan oleh UMNO terhadap PAS, khasnya dalam hal pentadbiran di Kelantan, semakin tidak benar. Pada hemat Datuk, bagaimana pandangan rakyat Kelantan terhadap UMNO sekarang?

Tg. Dato' Nik Abd. Aziz: Rakyat semakin tidak percaya kepada UMNO. Itulah sebabnya sekarang ramai orang UMNO pun masuk PAS. Orang yang dulu lempar telur busuk pada saya, kini datang minta maaf dan hendak bersama kita. Orang yang dulu baling batang kayu pada motokar saya, orang itu sekarang tubuh cawangan PAS. Mereka berasa telah dibohongi oleh UMNO selama ini.

 

Eksklusif, 4 Julai 1999