HINDARKAN DIRI DARIPADA TERMAKAN FITNAH
HINDARKAN DIRI DARIPADA MEMBACA AKHBAR HARIAN UM, BH, STAR, SUN & NEW STRAITS TIMES,
HINDARKAN DIRI DARIPADA MENONTON BERITA RTM & TV3.

JANGAN TIPU SEJARAH

Wawancara DETIK dengan Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat  DR HATTA RAMLI.  Beliau mengulas serangan dan tohmahan Presiden Umno, Mahathir Mohamad terhadap parti lawan sejak akhir-akhir ini.

DETIK: Kebelakangan ini terutama sejak perhimpunan agung Umno  lalu, PAS diserang hebat oleh kerajaan. Bagaimana Sdr melihat bentuk serangan yang ditujukan kepada PAS dan parti pembangkang lain?

DR. HATTA RAMLI: Sebelum perhimpunan  Umno, Setiausaha Agung Khalil Yaakob menjelaskan  pimpinan parti itu tidak akan menyentuh isu Anwar Ibrahim. Tambahan pula, katanya,  muktamar PAS sebelum itu pun tidak menyentuh hal Anwar. Namun apabila perhimpunan berjalan, bukan setakat Anwar, malah PAS sendiri menjadi sasaran.

Apabila Mahathir mula serang PAS, maka perwakilan-perwakilan yang lain pun  turut sama menunjuk belang.

Ucapan Mahathir itu jika dilihat daripada segi etika “ucapan dasar”, sudah jauh menyimpang. Orang ramai mahu mendengar dalam ucapan itu,  apakah  dasar perjuangan Umno dan ke arah  manakah parti itu hendak dibawa. Maksud saya,  menjadikan perhimpunan itu sebagai kesempatan melahirkan lebih banyak resolusi dalam bentuk pelan tindakan.

Jika kita teliti ucapan dasar Presiden dalam Muktamar PAS baru-baru ini, Ustaz Fadzil lebih menekankan ke arah kerja berterusan, termasuk tindakan-tindakan dalam isu perpaduan, isu pembangunan, isu ekonomi, isu luar negara dan sebagainya. Pada kita, itulah yang sepatutnya menjadi “roh” ucapan dasar. Tapi ucapan dasar Dr Mahathir asyik mengutuk orang lain. Ringkasnya Mahathir cuba menjarakkan rakyat daripada kepimpinan PAS.

Saya merasakan apabila Mahathir begitu ghairah membangkitkan persoalan leadership PAS dan persoalan berkaitan strategi-strateginya, berlaku semacam "reverse psychology" bahawa Umno benar-benar gentar dengan PAS.

DETIK: Mahathir pernah menyenaraikan perbezaan antara Umno dengan PAS. Bagaimana komen Sdr?

DR. HATTA RAMLI: Ini serangan biasa. Tetapi suka saya katakan semua 19 point yang dibangkitkan dalam persidangan Umno tempoh hari  lebih merupakan percubaan Dr Mahathir menegakkan benang basah. Hujah-hujah itu sepatutnya terbalik. The other way round. Umno yang patut menerima hujah-hujah buruk itu.  Dalam sejarah PAS, sejak ia ditubuhkan, kita berperanan   menyatu-padukan orang-orang Melayu. Di waktu Umno berpecah, apabila Dato’ Onn meninggalkan parti, kita sama-sama gabungkan Parti Negara menjadi parti pembangkang untuk mengembalikan wibawa orang Melayu. Begitu juga dengan peristiwa 13 Mei. Orang Melayu berada dalam keadaan paling tertekan, di mana PAS mengambil sikap  membawa penyatuan dan perpaduan orang Melayu. Sewaktu Mahathir dipecat dari Umno dulu, kita menyediakan pentas untuknya menyuarakan pandangan, untuk mengajak kepada perpaduan. Kemudian PAS sertai Barisan Nasional untuk perpaduan. Mahathir melakukan pembohongan fakta jika dia mengatakan parti kita berpecah. Sejarahpun dia hendak tipu ….

PAS sebenarnya ditendang daripada Barisan Nasional. Alasannya PAS mengalami masalah dalaman parti yang merupakan satu proses biasa dalam mana-mana parti.Umno ambil kesempatan menendang PAS. Merekalah yang mengajak kepada perpecahan ini kerana bimbangkan pengaruh PAS dalam BN. Pada tahun 1977 dulu, kita tidak mohon keluar tetapi kita disingkir ketika kita cuba menyelesaikan masalah yang ada di Kelantan.

Sekitar 80-an ada perpecahan lagi dalam Umno angkara Mahathir dan Ku Li. Sekali lagi  PAS menyejukkan suasana. Kita anjurkan Angkatan Perpaduan Ummah (APU) untuk perpaduan orang Melayu. Umno masih lagi dengan cara dia. Apabila kita sudah bersatu padu,  Umno kacau lagi. Mereka  rosakkan Angkatan Perpaduan Ummah. Mereka hasut ahli dan kita berpecah. Ku Li masuk Umno semula.

Namun selepas itu Umno pecah lagi. Kali ini lebih buruk walaupun tidak nampak menteri-menteri meninggalkan kabinet. Tetapi perpecahan di kalangan  rakyat sangat ketara. Perpecahan 1988 dulu tidak menimbulkan rusuhan di jalan-jalan raya. Sekali lagi PAS anjurkan perpaduan. Kami anjurkan GERAK di mana semua bangsa yang inginkan keadilan bersatu menentang kezaliman Umno dan Barisan Nasional.

DETIK: Mahathir pernah menuduh Parti Islam tidak mementingkan sains dan teknologi. Ini dakwanya akan menjadikan umat Islam lemah kerana musuh-musuh Islam menguasai bidang itu.

DR. HATTA RAMLI: Ini paling karut apabila Mahathir kata Umno parti fardhu ain serta fardhu kifayah manakala PAS hanya parti fardhu ain. Sekali lagi Mahathir lakukan penyelewengan fakta. PAS lebih memahami tuntutan kehidupan seperti pemodenan, pembangunan sains dan teknologi, perindustrian, sektor pembuatan, teknologi pertanian dan sebagainya. Tidak  timbul langsung PAS tolak sains dan teknologi. Malah ahli PAS terdiri  daripada profesional, intelektual, ahli akademik, saintis dan sebagainya, selain ulamak. PAS punya kombinasi kepakaran yang cukup mantap.

Pada hemat saya, Umno sebenarnya pisahkan fardhu ain dan fardhu kifayah. Ini yang dikatakan sekularisme. Kita tolak sekularisme! Kalau kita hendak lahirkan doktor, doktor yang faham Islam, doktor yang mahir bidangnya, yang hafiz, doktor yang boleh membuat ijtihad sendiri dengan asas fekahnya yang kuat. Bila doktor atau lain-lain pelajar teknologi mendalami Islam selain bidang mereka, bukan bermakna mereka tolak teknologi. Sekarang ini dalam pendidikan, kita pisahkan disiplin ilmu dengan agama. Jadi kalau PAS memerintah, kita bangunkan sistem pendidikan Islam. Kalau kita lahirkan saintis, saintisnya yang Muslim. Kita nak tengok saintis-saintis Islam muncul seperti Ibnu Sina dan Ar Razi.

DETIK:  Kemampuan pembangkang untuk memerintah sering dipertikaikan. BN terus mendakwa,  hanya mereka yang boleh meneruskan agenda pemerintahan yang baik atau good governance. Apa pula jaminan PAS dalam hal ini?

DR. HATTA RAMLI:  Membangunkan sebuah negara memang tugas pemerintah. Tidak timbul kita akan menghentikan semua bentuk pembangunan fizikal yang sedia ada. Kita akan terus  memberi penekanan terhadap pembangunan fizikal, sekali gus merangsang pembangunan industri, perniagaan,  kemasukan pelabur dan sebagainya. Apa yang mungkin dipertikaikan, adakah kita mampu atau tidak? Persoalan siapa baik dan siapa tak baik, is less to be seen – kita akan saksikan perbandingan ini. Cuma, contoh yang diambil di Kelantan konon kita tidak mampu membuat segala-galanyanya adalah contoh yang  sangat tidak tepat. Macam masalah air, itu bukan isu Kelantan. Kalau air menjadi masalah, kita pernah menghadapi masalah yang lebih besar. Di Melaka dan  Johor satu ketika pernah berlaku masalah kekurangan air. Negeri berkenaan di bawah BN. Mengenai masalah pengambilan syarikat luar untuk  mengendalikan air di Kelantan, saya kira itu kegagalan  syarikat terbabit. Ironisnya syarikat sama (yang gagal  itu) dibawa pula ke Johor sekarang.

Kelantan bukan tidak boleh membangun. Tapi mereka dianak-tirikan. Sabah, sewaktu di bawah pembangkang juga dianak-tirikan. Tapi dalam suasana Kelantan dianak tiri pun, pembangunan fizikal di Kelantan berjalan juga dalam usaha memenuhi keperluan rakyat, bukan untuk bermegah-megah. Memang tidak ada Kelantan City Centre (KLCC),  KLantan Tower, Litar Formula One, Putrajaya atau Mahligai MB.

Lebih kita pentingkan dalam konteks pembangunan, ialah pembangunan menyeluruh. Pembangunan bersepadu antara pembangunan fizikal dengan pembangunan insan.. Contoh di Kelantan, kita jadikan cuti umum dua hari itu cukup baik. Satu hari untuk ilmu, satu hari untuk keluarga. Ini hanya boleh difikirkan oleh kerajaan yang  berjiwa rakyat, kerajaan yang sensitif dengan pembangunan insan yang tidak difikirkan selama ini. Kemudian pemberian cuti bersalin yang lebih panjang. Ini ialah program pembangunan keluarga yang kita fikirkan secara pro-aktif. Kelantan memikirkan dua bulan,  kemudian kita akan jadikan tiga bulan. Semua itu saya rasa adalah satu pandangan jauh PAS dalam konteks pembangunan insan. Ini yang tidak ada dalam program BN.
Dalam program pembangunan BN, kita nampak banyak kesan sampingan negatif, seperti keruntuhan moral, pengabaian agama, murtad, buang bayi, peningkatan jenayah dan lain-lain lagi. Kesan itu lahir akibat pembangunan fizikal yang tidak seimbang dengan pembangunan rohani dan moral.
 

DETIK: Dr Mahathir dan Umno menyifatkan mereka yang menyokong PAS sebagai rakyat  yang tidak mengenang budi. Apa komen Sdr?

DR. HATTA RAMLI: Memang peranan pemerintah adalah mengatur pembangunan negara. Itu tanggungjawab, responsibility dia. Bila mereka laksanakan tanggungjawab, selesailah tugas dia. Rakyat pilih mereka untuk laksanakan tanggungjawab buat pembangunan. Selepas  kerja-kerja yang dibuat itu selesai, mereka diberi upah.  Orang yang melaksanakan kerja diberi upah. Jadi tidak perlu diungkit-ungkit. Misalnya, kontraktor-kontraktor kita diberi kontrak membina rumah. Bila mereka selesai bina rumah, mereka dibayar. Mereka berterima kasih pulak kepada pemberi kontrak. Jadi sebenarnya rakyat yang memberi kontrak kepada pemerintah dan bila mereka selesai bekerja, rakyat memberi upah kepada mereka. Mereka sepatutnya berterima  kasih kepada rakyat.  Tapi kalau kontraktor (pemerintah) guna duit rakyat (pemberi kontrak) membina mahligai Perdana Menteri (Kepala Kontraktor), siapa yang hendak berterima kasih dalam hal ini? Logikkah rakyat berterima kasih kerana Perdana Menteri (Kepala Kontraktor) buat mahligai guna hak rakyat (pemberi kontrak) sedangkan rakyat sendiri masih ramai duduk di kawasan setinggan.

Dengan kedudukan dan peluang-peluang yang ada pada mereka hari ini, menteri-menterilah yang sepatutnya terhutang budi kepada rakyat. Merekalah yang sepatutnya setiap hari berterima kasih kepada rakyat. Bukan di sebaliknya. Tidak timbul kita tidak menghargai atau berterima kasih kepada BN.

Kepada pelajar, saya sebut juga bahawa duit biasiswa yang mereka terima adalah daripada wang rakyat. Jadi mereka perlu berterima kasih kepada rakyat. KITA BUKAN AMBIL DUIT DARI POKET PEMIMPIN KITA. Pemimpin kita menyediakan satu bentuk pengurusan, amanah bagi menguruskan wang rakyat. Kita hendak didik pelajar sekarang ini ialah supaya berterima kasih dan bertanggungjawab kepada rakyat. Apabila mereka bertanggungjawab kepada rakyat,  maka doktor yang dilatih dengan biasiswa itu akan bersemangat untuk mengembalikan khidmat kepada rakyat. Jurutera berkhidmat kepada rakyat. Tidak timbul apabila doktor tamat belajar sekadar bekerja tiga tahun dengan kerajaan (compulsory service), kemudian terus masuk swasta untuk mengumpul wang.. Saya rasa kita kena kekalkan kedaulatan pemikiran rakyat. Mereka perlu bebas dari kongkongan dan ancaman pemerintah yang hanya bertindak sebagai pemegang amanah. Bukan duit keluar dari poket mereka. Mahathir kena tunjuk bukti bahawa semua biasiswa itu keluar dari poket menteri. Jadi boleh kita minta semua pelajar berterima kasih kepada menteri BN.

DETIK:  Rakyat kini sering ditakut-takutkan dengan isu penjajahan semula kuasa asing melalui ekonomi. Apakah rasional Dr Mahathir?

DR. HATTA RAMLI: Sebenarnya BN yang membawa kuasa-kuasa ekonomi luar ini. Bayangkan bon Malaysia dijamin oleh Jepun. Apakah kita menyangka bon kita itu dijamin tanpa ada apa-apa ikatan, syarat dan sebagainya? Dan kita sudah dengar antara syarat yang menyebabkan orang asing mahu membeli bon kita,  kerana mereka berpeluang mengambil alih ekuiti-ekuiti dalam syarikat-syarikat gergasi di negara kita. Ertinya, kuasa asing boleh memiliki saham melebihi 50 peratus dalam syarikat-syarikat nasional berkenaan. Ini penjajahan!. Mahathir lakukan pembohongan. Penjajah ekonomi sudah menguasai ekonomi kita. Baru-baru ini dalam syarikat insuran misalnya, sudah dibenarkan penguasaan melebihi 50 peratus ekuiti orang luar. Apa maknanya?

Ada dibayangkan Solomon, Smith & Barney memberi khidmat secara percuma. Seolah-olah kerajaan tidak rugi apa-apa. Mana ada pemikiran yang waras boleh menerima suatu bentuk khidmat yang besar, penasihat ekonomi yang cukup penting bagi negara kita dengan percuma. Kita meragui apa sebenarnya tujuan syarikat Yahudi ini  berada dalam sistem ekonomi kita selain daripada anak Mahathir pernah berkhidmat dalam syarikat ini.Ia mungkin diperkenalkan oleh anak Mahathir yang penah bekerja di sana. Mesti ada sesuatu yang lain. Kita berhak untuk merasa ragu-ragu bila syarikat Yahudi ini berada dalam senario ekonomi kita. Antara yang heboh diperkatakan sekarang ini, syarikat ini akan mengambil alih salah sebuah bank yang ada di negara kita ini. Jangan terkejut kalau bank itu bank kesayangan orang Melayu yang akan terlepas.

Begitu juga dalam IT. Cuba tengok penasihat-penasihat MSC, berapa puluh orang negara luar dan mereka menekankan kepada langit terbuka, tidak adanya akta-akta yang mengawal, tidak ada akta yang boleh menapis dalam menyebar maklumat melalui internet misalnya. Ini adalah antara perkara yang ditekankan oleh penasihat-penasihat asing kalau Malaysia berhajat untuk sama-sama bersaing dalam bidang IT. Bukankah ini penjajahan?

DETIK: Mahathir juga menyifatkan pakatan parti alternatif tidak kukuh. Umpamanya, PAS dengan Negara Islamnya, DAP dengan Malaysian Malaysianya, manakala keADILan dengan hasrat membebaskan Anwar. Ikatan ini dilihat tidak kukuh.

DR. HATTA RAMLI: Antara yang diperlukan dalam mencari titik tolak perpaduan ini adalah tolak ansur dan mencari titik pertemuan di kalangan kita. Inilah yang sedang dilakukan dan inilah juga yang sedang digeruni Umno-Barisan Nasional. Kita sudah mula mencari titik pertemuan, titik persamaan dalam perjuangan kita. Kita hendakkan keadilan, kita menentang kezaliman, ketiga-tiga parti itu sama walaupun berlainan ideologi. Kita hendak hapuskan penyalahgunaan kuasa atau perlaksanaan undang-undang drakonian yang jelas menekan minda rakyat, mencabul hak asasi dan sebagainya. Ini adalah titik pertemuan kita. Inilah yang ditakuti apabila kita boleh duduk semeja. Kita akan perhalusi lagi apabila kita sudah tiba ke peringkat sepatutnya. Apa yang penting sekarang kita sedang meraikan persamaan pandangan, persetujuan bersama yang kita hidupkan. Ini akan berjaya dan kita akan dapat melawan BN sambil mengambil iktibar daripada pilihan raya Sabah lalu.
 

DETIK: Sejak akhir-akhir ini juga semakin ramai golongan yang disifatkan kelas menengah Melayu menyertai PAS. Bagaimana penerimaan ahli-ahli PAS dan adakah mereka diberikan tempat dalam parti?

DR. HATTA RAMLI: Siapa saja yang mempunyai kesedaran Islam tulen, akan mencari platform untuk menjayakan wawasannya. Ia suatu yang natural.

Kemasukan pihak berkenaan ke dalam PAS dan menyokong kepimpinan ulamak pasti memberi kekuatan kepada parti. Kecantikan PAS ini ialah menerima sesiapa sahaja yang mempunyai pandangan yang sama dan dapat menerima keadah-kaedah perjuangan yang ditetapkan. Ahli-ahli PAS menerima semua golongan ini dengan lapang dada dan dengan tangan terbuka. Kita tahu kemasukan golongan profesional, korporat dan sebagainya bukanlah sekadar untuk menjadi penumpang dan menyaksikan gerak kerja PAS dari jauh. Mereka ini action oriented. Mereka mahu lihat hasil dari penyertaan mereka itu membawa kejayaan kepada parti. Ertinya, mereka masuk untuk aktif bukan untuk menumpang hasil. Mereka mahu menyumbang dan melibatkan diri. Kombinasi ini menjadi senjata yang paling ampuh malah memberi keyakinan kepada masyarakat. Inilah juga yang sangat ditakuti Umno. Dan ahli-ahli PAS sendiri menerima dan memberikan kedudukan yang sesuai kepada mereka.

Kalau kita lihat dalam pemilihan yang lepas, daripada 12 jawatankuasa itu, enam daripada  golongan ulama dan enam lagi tidak  Kemudian dalam barisan  kepimpinan tambahan, misalnya, kita memilih juga dari kalangan profesional seperti doktor dan jurutera, selain golongan ulama untuk memperkuatkan lagi parti. Begitulah keterbukaan yang ada dalam PAS.

Pihak kami mengucapkan terimakasih kepada Majalah Detik di atas sumbangan
Wawancara ini.
Webmaster.