EKONOMI 

Ekonomi negara perlukan post-mortem - Dr. Wahab

 
KEPINCANGAN yang berlaku terhadap ekonomi negara memerlukan post-mortem yang teliti, mencakupi seluruh aspek penting perekonomian termasuk soal falsafahnya. Justeru itu wartawan HARAKAH HASHIM ABDULLAH cuba mendapat gambaran sebenar melalui temu bual eksklusif dengan tokoh korporat Dr. Abdul Wahab Haji Ismail. 
Soalan: Bolehkah Dr. terang kan bagaimana kedudukan ekonomi sekarang. 

Dr. Abdul Wahab: Saya rasa kedudukan ekonomi sekarang kita kena kaji dari sudut pertama dasar, kedua, perlaksanaan dan ketiga, dari sudut mereka yang terlibat dalam kegiatan ekonomi. 

Ketiga-tiga ini penting kerana ia tidak boleh berpisah antara satu sama lain. Kalau dikaji dari sudut dasar, dari segi pencapaian kita tengok sebelum kita kaji ketiga-tiga perkara itu. 

Negara mengalami berbagai perubahan ekonomi, kita tengok sebelum 13 Mei 1969 (era penjajah sebelum merdeka) kekayaan negara secara besarnya dipegang oleh kaum Cina terutamanya di sektor distribution dan trading. Tetapi, tidak kurang juga sebahagian besar ekonomi kita dipegang oleh penjajah British. 

Mereka masih belum melepaskan ekuiti dalam syarikat tempatan. Masyarakat Melayu masih menumpukan kerja nelayan dan petani, manakala India bekerja di estet. 

Selepas 13 Mei, itu, kerajaan membentuk Dasar Ekonomi Baru (DEB) dengan dua tujuan penting, menyusun semula masyarakat dan mendapatkan target 30 peratus ekuiti Bumi putera. 

Soalan: Bagaimana kedudukan selanjutnya tercapaikah matlamat DEB?. 

Dr. Abdul Wahab: Jadi selepas 1990 apabila kerajaan kaji semula pencapaian DEB kita lihat bahawa Bumiputera hanya capai sebelas peratus. Sepuluh peratus darinya dicapai oleh syarikat kerajaan seperti TNB, Tabung Haji, Bernas dan sebagainya. Hanya satu peratus sahaja ekuiti dipegang individu, amat gagal. 

Soalan: Bagaimana usaha kerajaan mengatasi kelemahan dan apa yang menyebabkannya? 

DR AbdulWahab: Dari pada situ, 10 tahun awal perlaksanaan DEB banyak usaha-usaha kerajaan mahu melihat sedikit sebanyak tanggungjawab sosial, misalnya ada sedikit bukan tak ada langsung, ada, terutama pada era Tun Abdul Razak, dengan adanya rancangan 'Buku Hijau', ada Felda dan sebagainya. 

Dasar ini telah berubah betul pada era pimpinan kerajaan yang ada sekarang melalui konsep penswastaan yang sama-sama kita tahu. 

Soalan: Apa matlamat, bagaimana konsep penswastaan gagal dan membebankan?. 

Dr. Abdul Wahab: Selepas tahun 1990 itu, selepas dikaji mereka sebenarnya tak puas hati terhadap pencapaian maka mereka mengemukakan satu lonjakan untuk menguasai ekonomi dengan beberapa ciri:- 

Pertama, mewujudkan dasar penswastaan, kedua, mewujudkan individu-individu tertentu untuk menerajui projek-projek besar kerajaan, ini dua kombinasi. 

Saya mempersoalkan ialah pertama kita tengok dari sudut dasar sebelum pelaksanaan. Inilah yang penting orang kena faham bukan hanya dari sudut tentang nampak baik, tetapi, dari sudut gambaran atau tasawwaur yang menyeluruh. 

Soalan: Sama ada DEB atau pun penswastaan, nampaknya matlamat 30 peratus ekuiti Bumiputera tidak juga tercapai, apa puncanya yang sebenar?. 

Dr. Abdul Wahab: Kon-sep penswastaan pada umumnya saya kira tidaklah suatu perkara di mana kita (PAS) tolak seratus peratus. Tetapi, apabila kerajaan mengutarakan konsep penswastaan ada beberapa maklumat awal kena tahu. Pertama, kerana kerajaaan mahu memindah kan beban hutang, tak mahu hutang lagi maka diswastakan, diberikan kepada individu tertentu mengendalikannya. 

Keadaan dari segi falsafahnya kerajaan mahu pastikan apa yang diswastakan itu efisien berbanding sebelumnya. 

Apabila diswastakan agaknya lebih efisien, oleh kerana lebih efisien kita anggap kosnya akan berkurangan, ini dari segi teorinya. 

Tetapi, keadaan tidak berlaku, apa yang berlaku semua projek penswastaan itu membebankan rakyat, contohnya kita ambil pendidikan. 

Pendidikan pada hari ini untuk menghantar seorang siswazah ke universiti memerlukan belanja 12 ribu ringgit setahun atau enam semester, itu yuran sahaja maka penswastaan sudah membebankan rakyat. 

Sebab itu kita sebagai Parti Islam, saya rasa penswastaan itu ada benda yang boleh tetapi ada perkara yang harus menjadi tanggungjawab kerajaan. Kerajaan bertanggungjawab antara lain untuk menegakkan keadilan sosial, bagaimana kita swastakan semua, ini tidak betul. 

Soalan: Penswastaan gagal mengambil kira bebanan rakyat?. 

Dr. Abdul Wahab: Maknanya penswastaan yang akan mengurangkan kos menambahkan kos. Mengapa ditambahkan kos kerana individu yang terpilih itu adalah kalangan anak-beranak. Bagaimana kita mahu pastikan dia tidak meletakkan suatu harga yang lebih tinggi. 

Sebab itu ketelusan tidak ada dalam pengendalian kontrak, ini yang dibangkitkan sekarang sebagaimana masalah nepotisme dan kronisme dan sebagainya. 

Soalan: Dalam erti kata lain penswastaan yang diamalkan gagal memberikan kedudukan positif kepada rakyat. 

Dr. Abdul Wahab: Ya, ya. Dalam beberapa sektor penting. Hanya apabila disebut penswastaan itu ia harus lebih efisien. Kita orang berniaga ini apabila disebut efisien, kos murah, mengapa kos bertambah, kita sebagai rakyat tak boleh dapat. 

Adalah suatu cara kerajaan mengagihkan yang dikata 'hak milik kerajaan sebagai hak milik rakyat', contohnya, firma-firma atau syarikat kerajaan diswastakan kemudian disenaraikan di Bursa Saham Kuala Lum-pur (BSKL), kemudian dijual kepada individu tertentu dan hak milik 32 peratus.