HINDARKAN DIRI DARIPADA TERMAKAN FITNAH
HINDARKAN DIRI DARIPADA MEMBACA AKHBAR HARIAN UM, BH, STAR, SUN & NEW STRAITS TIMES,
HINDARKAN DIRI DARIPADA MENONTON BERITA RTM & TV3.

Demokrasi Mati, Keadilan Musnah

-------------------------------------------------------------------------------

Di sini kami siarkan satu artikel bagi mendedahkan bahawa Ku Li adalah hipokrit. Ketika dalam S46 dulu bukan main lagi mengutuk UMNO dan penyelewengan kerajaan, tetapi sekarang menjadi gurkha kepada Mahathir. Artikel ini adalah wawancara dengan beliau pada Januari 1995 dan disiarkan dalam majalah Dunia Islam. Kami berterima kasih kepada pengirim artikel ini. - webmaster.

-------------------------------------------------------------------------------

Bagaimana menurut pandangan Tengku mengenai senario pilihanraya yang akan diadakan dalam waktu dekat ini. 

Pilihanraya sudah tentu tidak mencerminkan keadilan kepada pihak di luar kerajaan yang mengambil bahagian dalam pilihanraya itu. Sebab, segala tindakan yang dilakukan berat sebelah. Saya tidak hendak menyalahkan Suruhanjaya Pilihanraya. Memang mereka menjalankan tugas dengan baik. Tinggal lagi mereka tidak diberi kuasa sebagaimana yang patutnya dibekalkan kepada mereka sebagai satu badan yang berkecuali dalam pilihanraya. Jadi macam mana kita boleh mengharapkan satu keputusan yang baik, yang saksama. 

Bagaimana kita mahu mengharapkan satu pilihanraya yang dijalankan secara bersih. Tak mungkin! Oleh kerana kerajaan akan menggunakan segala kesempatan untuk menjamin kemenangannya supaya dia kekal berkuasa. Umpamanya dia akan menggunakan segala jentera kerajaan untuk memihak kepadanya dalam pilihanraya walaupun ada Suruhanjaya Pilihanraya. Dia akan memerintah polis bertindak terhadap lawan dan memberi ruang kepadanya untuk bertindak sebebas-bebasnya walaupun bertentangan dengan undang-undang. Umpamanya macam menggunakan wang ataupun belanja. 

Sebagai government sepatutnya mereka tidak boleh menggunakan wang kerajaan lagi kerana kuasa mereka sudahpun lupus apabila parlimen dibubar. Dia tidak boleh lagi buat sebarang komitmen yang melibatkan wang rakyat. Dan dia juga tidak boleh menggunakan wang parti melebihi daripada apa yang ditentukan undang-undang. Misalnya dalam conduct elections law, seseorang calon bagi kawasan Dewan Undangan Negeri tidak boleh belanja lebih daripada RM30,000 sepanjang masa kempen termasuk wang pertaruhan. Tetapi kita tahu bahawasanya pihak yang berkuasa akan berbelanja lebih daripada jumlah yang ditentukan undang-undang. Tetapi kalau kita yang melakukannya, maka kita dituduh melanggar undang-undang dan kita akan dihadapkan ke mahkamah kalau kita menang.

Maka rasuah menjadi-jadi semasa pilihanraya. Kalau tak termakan cara ugut, pujuk rayu tak boleh, maka mereka akan beri duit. Ini merupakan perkara yang diketahui umum. Kawasan saya umpamanya pada pilihanraya lepas, beribu-ribu duit ditawarkan. Ada di antaranya ditawar RM1,000 seorang.

Orang saya ambil duit itu, tetapi tidaklah mengundi mereka. Malahan orang asli pun ditawarkan duit. Itu melanggar undang-undang. Tidak ada apapun tindakan keadilan yang dilakukan oleh Suruhanjaya Pilihanraya terhadap perbuatan yang dilakukan parti yang berkuasa.

Macam bagi projek dalam pilihanraya seperti bagi tanah merah di kampung-kampung, janji bina masjid, derma kepada budak-budak sekolah. Ini terang-terang disiarkan dalam TV. Sepatutnya ini tidak boleh dilakukan kerana itu adalah tindakan rasuah. Macam mana kita boleh menjamin keadilan kalau mereka menggunakan segala jentera kerajaan, kelengkapan kerajaan, alat-alat kerajaan. Ini semua sudah tentu tidak adil. Ini perkara yang disalahgunakan oleh parti yang berkuasa.

Kita bercakap pasal demokrasi sepatutnya rakyat diberi pilihan. Macam mana rakyat mahu buat pilihan kalau rakyat tidak tahu apa yang dikemukakan oleh pihak yang menekan parti-parti kerajaan. Oleh kerana media tidak menyiarkan berita mengenai kita... Bukan media tidak mahu menyiar. Media dilarang, ditegah. Tahun 1990 manifesto kitapun tak dapat disiarkan dalam Surat khabar. Kerana Strait Times Group, Utusan, walaupun sudah ada kontrak, di saat akhir dia kata tak boleh siar. Dia kata, kalau you tak puas hati dakwalah di mahkamah.

Bukan soal kita mahu bawa benda ini ke mahkamah. Kerana sudah ada perjanjian, patut disiarlah sebab kita mengharapkan kerjasama media. Jadi oleh kerana itu rakyat tak dapat baca manifesto kita. Disebar juga tapi tidak meluas, dan tak sempat untuk disebarkan dalam masa 5-6 hari. Sedangkan kita mengharapkan rakyat boleh buat pertimbangan berdasarkan apa yang dia dapat dibanding di antara yang dicadangkan oleh kerajaan dengan yang dibuat oleh pihak pembangkang. Jadi macam mana hendak berharap kita mendapat keadilan. Pilihanraya sudah tentu tidak akan berjalan secara saksama.
 
 

Jadi apakah tidak ada kebebasan?

Tidak ada kebebasan yang diberi kepada kita. Macam mahu mendapat permit daripada polis untuk mengadakan ceramah, susah, bukan senang. Sedangkan kebebasan itu dijamin oleh undang-undang kerana kita mahu bersuara dan menyuarakan kepentingan rakyat. Kadang-kadang tempat yang kita cadang, polis kata tak boleh. Kita terpaksa cari tempat lain. Haram kita boleh dapat dewan. Dewan milik kerajaan sudah tentu kita tidak boleh langsung menggunakannya. Dan dewan-dewan milik orang bisnes, kerana mereka takut kepada pemerintah, dia tak bagi untuk kita gunakan. Jadi kita terpaksa menumpang rumah orang yang bersimpati dengan kita. Itu saja tempat yang boleh kita cari. Kalau tak ada tempat, cuacapun tak elok, maka tak adalah ceramah kita. 

Dan kempen pula cuma lapan hari, mulai dari hari penamaan calon hingga hari mengundi. Dalam masa lapan hari itulah kita mesti bergerak, berjumpa dengan rakyat, menyampaikan pandangan kita. Dan risalah-risalah kita pula dirampas oleh polis. Jadi, mahu dikata demokrasi, mana dia demokrasi? Tak ada kebebasan.

Permit pula, walaupun kita ada borang E (borang untuk kempen pilihanraya yang ditandatangani oleh wakil calon yang mengizinkan kita berkempen), namun kalau nama kita tidak termasuk dalam senarai yang dilulus oleh polis, kita tidak boleh bagi ceramah. Saya sudah terkena 2-3 kali. Berkejar ke tempat saya diundang berceramah, tetapi malangnya kerana nama saya tidak ada dalam fail, saya tak boleh berceramah. 

Walaupun saya ada borang E. Polis kata, betullah awak boleh kempen di mana-mana, boleh bercakap, boleh melobi, tetapi tak boleh naik pentas untuk berceramah. Tetapi orang lain (parti kerajaan) boleh pula. Berarak boleh. Orang UMNO boleh berarak tanpa izin polis. Baru-baru ini UMNO buat perarakan di Ampang untuk bantai saya, kononnya saya penderhaka, mereka berarak dengan motosikal sebanyak 2000. Mereka boleh berarak, boleh rapat umum. Kita tidak boleh. Mesti nama kita ada dalam senarai, dan permohonan mesti dibuat sebelum 14 hari, kadang-kadang diinterview pula. Macam minta kerja. Mana ada kebebasan!
 
 

Kalau begitu apakah demokrasi di Malaysia ini masih wujud atau tidak?

Demokrasi itu masih wujud mengikut fahaman setengah-setengah pihak. Tetapi tidak sebagaimana yang dijamin oleh Perlembagaan.

Freedom Of Association, maknanya bila-bila masa kita boleh menyertai mana-mana badan. Freedom Of Speech, maknanya bila-bila masa kita boleh bercakap. Betul adanya batasan-batasan, dan ada undang-undang yang menegah kita buat itu dan buat ini. Asalkan kita patuh kepada undang-undang itu sebenarnya kita bebas di bawah jaminan perlembagaan negara sejak kita merdeka. Kita bebas mengeluarkan pendapat dan pandangan, hatta you pun bebas menyiarkan rencana atau karangan yang kontra dengan kerajaan. Cuma terpulang kepada mahkamahlah kerana mereka yang mentafsir undang-undang itu. Kalau you tidak diputuskan bersalah maka you bebas. Soalnya sekarang kebebasan itu tidak ada malahan undang-undang digunakan untuk menyekat kebebasan.

Kita ini memperjuangkan orang ramai. Ada yang menyokong kita. Buktinya, pilihanraya dulu kita dapat 835,000 undi di seluruh Semenanjung. Campur dengan PAS kita dapat 1.3 juta undi lebih berbanding dengan UMNO yang ada kuasa, yang ada media, yang ada duit, dan sanggup melanggar undang-undang, cuma dapat 1.6 juta undi. Itu termasuk calon dia di Labuan, yang kita tak bertanding. Bezanya cuma 200,000 ribu undi lebih. 

Dan sepanjang pilihanraya kecil yang diadakan selepas 1990, PAS yang banyak bertanding. DAP cuma satu tempat. Pada pilihanraya kecil di Kampung Raja, undi kita tidak kurang daripada 47 persen. Memanglah bukan cuma undi S46 saja, campur dengan PAS, HAMIM dan yang lain-lain, yang anti kerajaan. Tetapi hakikatnya undi kita tidak turun. Maknanya suara kita memang disokong oleh sebahagian besar rakyat. Itupun dalam keadaan yang terhad. Susah untuk berjumpa rakyat, susah untuk niengadakan perhimpunan, susah untuk menyebarkan risalah. Media massa langsung tidak mahu bekerjasama dengan kita. Ini mainstream media. Bahkan dia anti kita terus. 

Dalam keadaan begitu kita masih dapat sokongan orang ramai. Ceramah kita di mana-mana dihadiri 2-3 ribu penyokong, malahan sampai 10-20 ribu penyokong. Ada juga yang kecil, dihadiri 100-200 orang. Ianya bergantung kepada isu dan kepada keadaan setempat. Jadi tak betul adanya tuduhan bahawa orang boikot kita, orang tak sokong kita. Terbukti dengan pilihanraya kecil, kita masih lagi disokong rakyat. Dan calon kita dalam setiap pilihanraya, tak seorang pun yang kehilangan wang deposit. Semuanya undi besar-besar. Laris benar. Kalau tak kerana undi pos dan tindakan berat sebelah, belum tentu mereka menang.

Parti kerajaan malahan menuduh saya masuk Kristian, pindah ke salib. Dan juga saya dituduh mahu bunuh PAS. Mana boleh PAS dibunuh. Selagi orang ramai masih menyokongnya, tak boleh dibunuh, kecuali kalau Mahathir membatalkan pendaftarannya.

Begitu juga nasib yang dialami parti S46. Mereka tuduh banyak ahli yang sudah lari, menyeberang ke UMNO. Namun parti ini tidak mati, selagi masih ada penyokong dan gerakan.
 
 

Tadi dikatakan adanya penyalahgunaan fasiliti dan media. Sedangkan ini merupakan ciri di negara-negara sedang membangun, iaitu membungkam parti-parti pembangkang agar pembangunan berjalan tanpa sebarang halangan?

Kalau begitu baik haram saja parti pembangkang, kalau lebih mementingkan soal pembangunan. Tak ada gunanya parti pembangkang. Apa gunanya dilaungkan kebebasan. Suara kita ini bukan suara parti, suara rakyat. Cuma rakyat tak boleh bersuara secara individu, maka mereka menyalurkan kehendaknya menerusi parti, kumpulan yang tersusun atau organisasi. Begitu juga dengan PAS, sememangnya ada orang yang percaya dengan perjuangan yang dibawa oleh PAS, dan perkara ini tidak boleh kita nafikan. Begitu juga dengan perjuangan yang kita bawa, beribu-ribu penyokong kita. Begitu juga dengan DAP.

Semua kewujudan parti-parti itu tidak boleh dinafikan. Itulah demokrasi. Apabila rakyat tolak, barulah boleh dikatakan kumpulan ataupun parti itu tidak lagi mendapat kepercayaan orang ramai. Tetapi kalau hanya dengan alasan parti-parti ini boleh mengganggu kelancaran dan menghalang pembangunan, lebih baik diharam terus. Tak perlu pinda perlembagaan. Kerajaan punya kuasa untuk mengharamkan. Mana yang sudah mendaftarkan sebagai parti politik, batalkan pendaftaran. Mana yang sedang memohon, tolak. Bahkan Suruhanjaya Pilihanraya digantung, tak usah ada pilihanraya. Surat-surat khabar yang menentang kerajaan tutup, kerana ada menyiarkan pendapat ataupun rencana yang bertentangan dengan pendapat kerajaan. Bukan setakat itu saja. Dalam parti merekapun, mana-mana orang yang tidak selaras dengan yang berkuasa, gantung, buang atau arahkan supaya letak jawatan. Kerana itu mengganggu juga

Macam sekarang saya dengar, Anwar dengan Mahathir berbalah dan berkrisis, tentukan supaya salah seorang di antara mereka dibuang, kerana akan mengganggu juga. Realiti ini tak boleh dinafikan. Adik-beradik saja (sudah) lain pendapat. Anak mesti patuh kepada bapa walaupun berlainan pendapat. Tuhan jadikan kita begitu, iaitu wujudnya perbezaan pendapat adalah perkara yang mesti ada.

Malaysia ini milik orang ramai, bukan milik raja, bukan milik orang yang berkuasa, bukan milik orang miskin. Milik semua pihak. Dan semua pihak berhak bercakap mengenai masa depan negara.
 
 

Jadi kalau begitu mengapa kerajaan menyekat kebebasan rakyat?

Itu sebab kita mahu buang dia (ketawa) kerana mereka bersikap tidak adil. Kalau suara rakyat disekat, bila lagi wujudnya keadilan?
 
 

Kerajaan pula ingin membuang parti pembangkang?

Tak apa asalkan mengikut peraturan dan undang-undang yang sedia ada. Tetapi susahnya, dia buat undang-undang tetapi dia tidak ikuti. Dan dia guna kuasa di luar kuasa yang ditentukan undang-undang untuk menyekat kita. Sedangkan kita diminta untuk mengikuti undang-undang. Dia sendiri tidak patuh. Sebab itu orang tidak berapa hormat kepada undang-undang sekarang. Kalau undang-undang dibuat tidak berdasarkan kehendak masyarakat tetapi kerana kehendak penguasa maka tak jadilah. Kita bagi satu contoh mengenai hukum gantung bagi pengedar dadah. Itu bukan tuntutan masyarakat. Itu kerana pihak yang berkuasa menganggap ianya merupakan cara untuk menyelesaikan masalah. Apakah ini sudah menyelesaikan masalah? Lebib ramai lagi orang digantung sekarang. Semakin banyak orang yang menagih dadah. Apakah itu sudah menyelesaikan masalah kita? Kerana pihak berkuasa menganggap ini cara yang terbaik, bukan mengikuti suara orang ramai. Dan itu bertentangan dengan Islam. Mana boleh cabut nyawa orang. Apa dosa dia. Dia penagih dadah.
 
 

Mungkin kerana dadah ditafsirkan sebagai sesuatu yang tidak baik?

Ada juga baiknya dadah kalau digunakan cara yang betul, iaitu untuk digunakan ubat. Hari-hari di hospital digunakan. Ini semua kerana tidak mengikuti suara dan tuntutan orang ramai. Jadi undang-undang tidak dihormat. Sebab itu orang langgar undang-undang setiap hari. Malangnya, kesalahan yang kecil-kecil kena penjara. Yang ambil beribu-ribu juta ringgit tak kena. Hukum pula ditafsirkan secara berbeza-beza. Bagi you salah, bagi dia tak salah. Double standard. Sebab benda ini dibuat bukan bertujuan untuk melindungi masyarakat, melainkan untuk melindungi pihak yang berkuasa. OSA semata-mata untuk menutup mata orang ramai terhadap penyalahgunaan kuasa yang mereka lakukan. Sekarang ini susah kita untuk mendedahkan kes-kes rasuah, kes penyelewengan kerana pegawai-pegawai kerajaan yang ikhlas, yang amanah tak sanggup bagi maklumat ataupun dokumen. Kerana kalau dia sabit maka dia kena penjara. Dan kalau dia dapat maklumat tak boleh disiar. Satu bakul masuk penjara mulai dari pengarang, pemilik penerbit, dan printing. Mininum 2 tahun penjara.

Ada orang mengatakan ISA undang-undang yang dahsyat. Sebenarnya Polis Act (Akta Polis) lebih dahsyat. Betullah ISA itu lebih dahsyat kerana boleh tahan orang selama 60 hari, lepas itu boleh tahan sehingga 2 tahun, dan boleh disambung selama 2 tahun lagi. OK. Dahsyat! Tetapi itu ISA. Akta Polis lagi teruk. Kalau kita ada lima orang berkumpul maka dianggap salah. Tanpa permit polis kita tidak boleh duduk lima orang. Makan satu keluarga lima orang pun salah. Tidak boleh diadakan perhimpunan lebih daripada lima orang tanpa permit polis. Dahsyat undang-undang ini. Lebih daripada zaman Jepun. Hukumnya adalah denda minima 2 ribu atau penjara 1 tahun atau kedua-duanya sekali. Mana ada undang-undang demokrasi macam ini!
 
 

Bolehkah dikatakan undang-undang yang ada sekarang justeru untuk mengekalkan kekuasaan yang ada?

Iya. Keadaannya begitulah. Kita tidak boleh kritik dia lagi, tidak wujud lagi pemerintahan yang amanah, tidak boleh dedahkan penyelewengan mereka. Kebenaran disembunyi daripada orang ramai. Inilah undang-undang yang dipakai sekarang samada ISA, OSA, Akta Polis, akta percetakan.
 
 

Apakah pilihanraya yang diadakan adalah untuk mengelabui mata rakat bahawasanya ada demokrasi?

Ya, memang begitu. Apa demokrasi? Demokrasi adalah penglibatan orang ramai dalam pembentukan pemerintahan. Kondisinya sebelum dia dapat melibatkan diri untuk pembentukan satu pemerintahan, dia mesti tahu apa yang dia buat. Apa pilihan dia. Tetapi kalau dia tak tahu apa yang sepatutnya dia buat, maka dia lebih mengutamakan untuk membentuk kuasa secara menipu rakyat. Guna fasiliti, guna wang, guna pangkat. Ini bukan demokrasi.
 
 

Baru-baru ini Dr. Mahathir menuduh langkah British memberi kelulusan kepada PAS menamakan dirinya Parti Islam adalah rancangan penjajah untuk memecahbelahkan perpaduan Melayu. Benarkah tuduhan ini?

Itu tak betul. Mahathir mengigau! Kalau tak mengigau, dia nyanyuk Semua orang tahu. PAS ditubuhkan tahun 1951 hasil daripada perbincangan para ulama di Bukit Mertajam. Dan di situlah para ulama yang hadir memutuskan untuk menubuhkan satu pertubuhan yang terasing dari badan lain. Sejak saat itulah tertubuhnya PAS. Tak ada kena mengenai dengan British atau dengan sesiapa.
 
 

Bagaimana pula dengan penubuhan UMNO sendiri?

Dulu UMNO dikuasai oleh cikgu, yang merasakan mereka ini golongan yang tertindas dan tertinggal. Kerana mereka guru-guru di sekolah Melayu maka mereka perjuangkan soal bahasa. Dengan itu barulah mereka dapat menegakkan semangat kebangsaan. Walaupun Tengku Abdul Rahman dapat pendidikan British, begitu juga Tun Razak, namun mereka terpaksa ikut juga majoriti yang ingin menegakkan kebangsaan dan semangat Melayu. Dan itu menyelamatkan kita sebenarnya, memberikan identiti kepada perjuangan Melayu dan kepada negara kita. Sejarah Persatuan Guru-guru Melayu dulu begitu gemilang. Sekarang sudah tidak ada. Golongan ini tinggal 15 persen saja di dalam UMNO. Sekarang korporat yang kontrol UMNO, yang sanggup gadai maruah. Tidak ada prinsip.
 
 

Bagaimana pandanan Tengku mengenai penurunan saham yang jatuh cukup teruk sejak pertengahan Disember lalu?

Ini membuktikan negara kita ini kecil. Tak usahlah bercakap besar di luar negeri. Ellen Crisforr, pengerusi Bank Pusat di Amerika Syarikat, telah membuat pengumuman bahawasanya dengan pertumbuhan ekonomi yang menggalakkan di Amerika Syarikat tidak dapat dinafikan bahawasanya Amerika akan dilanda inflasi kerana orang sedang ghairah berbelanja di mana mereka sudah dapat kerja sekarang ekoran pemulihan ekonomi di negara itu. Mereka tidak mahu taraf hidupnya terjejas. Taraf hidup mereka akan terjejas dengan kemerosotan nilai kuasa beli dan ia biasanya berlaku apabila negara dilanda inflasi kerana nilai dollarnya sudah kurang.

Mana-mana Presiden Amerika tidak mahu rakyatnya terjejas taraf hidupnya. Kalaupun terpaksa syarikat bankrap, tak apa kerana mereka mempunyai program kerja. Asalkan jangan taraf ekonomi rakyat terjejas. Maka dinaikkan kadar faedah pinjaman untuk bon, untuk pinjaman bank dan sebagainya. Apabila naik kadar faedah, duit-duit yang dilabur di luar negeri akan tertarik dengan kadar faedah yang tinggi. Ini menunjukkan stock market kita tidak ada kekuatan tersendiri. Kalau ada kekuatan, tidak akan jatuh. Yang menanggung akibat kejatuhan harga saham ini bukan golongan atas, tetapi suri rumah tangga, kerani, yang cuba mencari untung 200-300 ringgit sebulan, mereka inilah yang menanggung.

Kata Anwar Ibrahim pula, jangan bimbang kerana kejatuhan ini sementara. Jangan panik. Tapi benda ini, kalau jatuh hari itu, ya hari itulah jatuhnya. You rugi hari ini, ya hari inilah ruginya, tak dapat diganti esok. Besok orang lain pula yang untung. Saya rugi hari ini, saya tak untung besok kalaupun naik harga saham. Orang lain pulalah yang untung. Begitulah stock market ini. Akibat seterusnya, terjejaslah pelaburan dalam negara kalau duit itu sudah dipindah. Pelaburan yang dijanji ataupun yang diputus datang ke Malaysia tak akan datang.

Beginilah nasib kita kerana terlalu banyak bergantung kepada pelaburan luar. Kalau pelabur-pelabur itu merasa ada faedah maka dia datangiah. Kalau tidak, buat apa mereka datang? Mereka tentu cari tempat (negara) lain. Tetapi pelabur tempatan kita yang kebanyakannya Cina justeru mereka melabur di luar negeri. Mereka cari duit di sini untuk melabur di Cina.
 
 

Bagaimana pandangan Tengku mengenai pemberian saham-saham seperti kepada menantu Rafidah Aziz, anak Datuk Megat Junid dan anak Dr. Mahathir sendiri?

Baguslah bagi mereka.
 
 

Sebab begini, dulu pernah dipersoalkan semasa Tengku menjadi Menteri Kewangan. Sekarang perkara yang sama menimpa mereka pula? 

Sebenarnya tak pernah berlaku pada zaman saya perkara sebegitu. Kuasa membagi saham tak ada pada kita sama ada Menteri Kewangan ataupun Menteri Perdagangan. Zaman Tan Sri Khir Johari hal ini pernah berlaku. Selepas itu tak ada. Tetapi bila Tun Daim jadi Menteri, benda ini diwujudkan kembali. Zaman saya tidak ada. Kalau ada sudah lama heboh. Zaman sekaranglah ghairah membagi saham. Lagipun pada masa saya dulu tidak ada syarikat yang disenarai dalam bursa saham. Zaman saya cuma ada 89 syarikat, termasuk daripada Singapura disenarai sama di sini. Kalaupun ada saham yang hendak dibagi menerusi cabutan, tidak ada Menteri yang terlibat. Pegawai kerajaanpun tak terlibat kerana ia menerusi sistem cabut undi. Kalau untuk Melayu semuanya diberi kepada Tabung Haji, Tabung Tentera, koperasi. Tak perlu kita campur tangan. Tak pernah dibagi kepada seseorang. Zaman Khir Johari memang ada sehingga timbul istilah Ali Baba. Zaman saya tak ada langsung. Dan kita tak pernah terbabit sama ada Menteri Kewangan atau Perdagangan.

Sekarang ini saham dibagi kepada menantu, kepada anak sendiri. Anak Mahathir pun dapat. Itu yang kita dapat kesan. Mungkin lagi banyak yang tidak dapat dikesan. Rafidah pula umumkan di Parlimen bahawa bukan menantunya saja yang dapat saham, tetapi juga yang lain-lain. Cuma tidak ditanyakan apakah anak Mahathir juga dapat.

Dan baru sekaranglah Mustapha bagi tahu bahawasanya Anwar pernah perintah secara lisan bahawasanya segala permohonan untuk segala saham kontrak yang ditawarkan kepada keluarganya ditolak. 

Bayangkan, anak Megat dapat 15 juta. Iparnya pula dapat 5 juta. Anak Tun Hamid (bekas Ketua Hakim Negara) dapat 5 juta. Kita ada senarai. Dan senarainya Rafidah yang beri ke Parlimen secara tertulis, bukan kita buat-buat. Ini yang kita tahu. Yang kita tak tahu? Mesti banyak lagi. Mereka tuduh saya pengkhianat, sedangkan saya cakap benda yang benar. Di zaman saya, tak ada berlaku perkara macam ini. Kalau ada berlaku sudah lama saya ditangkap.
 
 

Bagaimana pandangan Tengku mengenai isu bahasa dan pendidikan?

Ada 200 buah lebih kolej swasta yang konsepnya sama dengan konsep universiti merdeka. Dulu orang Melayu berarak kerana MCA mahu menubuhkan satu universiti merdeka. Hari ini 200 buah universiti merdeka atas nama lain seperti Sunway College, Ko/ej Damansara Utama dan lain-lain. Dan dari 50,000 lebih pelajar-pelajar di kolej-kolej tersebut, tak sampai 3 peratus orang Melayu yang belajar.

Bagaimana mereka mahu belajar, satu semester RM880.00. Satu tabun sudah berapa? Kalau satu semester lulus, mesti bersedia pula dengan wang sebanyak itu untuk semester kedua. Sedangkan pelajar-pelajar Melayu yang masuk ke universiti bayar wang pendaftaran RM1000.00 lebih saja banyak yang tak mampu dan banyak yang balik kampung. Inikan pula RM880,00 satu semester (6 bulan).

Kolej swasta disebut juga program berkembar kerana akta universiti tidak membenarkan universiti ditubuhkan menggunakan selain daripada bahasa Melayn. Jadi terpaksa menggunakan kolej swasta yang mengadakan program berkembar. Itu saja caranya. Dan akta sekarang dipinda di mana kolej itu dengan sendirinya jadi universiti di mana sudah muncul lebih 200 buah kolej swasta.

Kerana kosnya yang terlalu tinggi, maka orang Melayu tidak mampu untuk belajar di kolej swasta. Implikasi seterusnya adalah, pelajar-pelajar Melayu yang belajar di UM, UKM, apabila mereka tamat nanti hanya akan jadi masyarakat kelas tiga saja. Ini disebabkan kerana Dr. Mahathir sudah buat standard, kalau ingin maju mesti kuasai bahasa Inggeris. Maka pelajar-pelajar Melayu yang lulus dari universiti akan menjadi mangsa kerana mereka tidak menguasai bahasa Jnggeris. Lepasan-lepasan univerisiti tidak akan diterima bekerja di syarikat-syarikat manapun kerana standardnya adalah bahasa Inggeris.

Bahasa perhubungan sekarang ini didominasi oleh bahasa Inggeris. Akhirnya pelajar-pelajar kita hanya menjadi masyarakat kelas tiga di negaranya sendiri. Keadaannya nanti seperti pelajar-pelajar yang keluar dari universiti-universiti di India. Semuanva menakutkan!

Tenaga-tenaga pengajar di kolej swasta pula adalah yang the best saja. Kerana mereka sanggup membayar gaji kepada pensyarah-pensyarahnya dengan bayaran yang tinggi. Di universiti, pensyarah digaji dalam 2-3 ribu. Di kolej swasta mereka boleh digaji RM5000.00 sebulan. Sebab itu universiti sekarang problem, tak cukup tenaga pengajar. Jadi tinggallah tenaga-tenaga pengajar yang tak boleh cakap orang putih. Mereka inilah yang mengajar anak-anak Melayu kita di universiti tempatan.

Siapa yang menanggung semua ini kalau bukan anak-anak kita, orang-orang Melayu sendiri? Dan esok, anak-anak kita ini, susah mendapat kerja di sektor swasta kerana banyak badan-badan kerajaan sekarang yang diswastakan. Paling-paling yang tersisa cuma dari segi pentadbiran saja.

Jadi ke mana pelajar-pelajar Melayu kita nanti bekerja? Sebab orang Melayn tidak ada syarikat besar, tidak ada gedung besar, tidak ada perniagaan besar. Akibatnya orang Melayu jadi mangsa kepada eksperimen ini. Maka lahirlah dua bentuk masyarakat, pertama yang didominasi oleh bahasa Inggeris, kedua yang didominasi oleh bahasa Melayu

Apabila Dr. Mahathir menganj urkan kegunaan bahasa asing, termasuk Inggeris, maka di peringkat primary, secondary akan menggunakan bahasa Inggeris, tetapi untuk universiti-universiti tempatan dikekal dengan bahasa pengantar Melayu. Akan jadi orang kampunglah. Maka timbul persepsi seolah-olah sekolah Melayu sekarang ini sama dengan sekolah Melayu dulu di zaman British yang dibezakan dengan sekolah Inggeris. Wujudlah perbezaan di dalam masyarakat sama ada dari segi pencapaian ekonomi, gaji, status sosial, pergaulan. Dan yang keluar kolej swasta ini kelak akan mengontrol ekonomi negara. Cuba lihat, berapa orang anak Melayu yang sekolah di kolej swasta. Kalau adapun, anak siapa dia? Dan suasanapun sudah bukan suasana Melayu lagi. Nilai-nilai Islam langsung tak ada.

Di universiti pula sekarang ini, pengajaran sudah dilakukan dalam bahasa Inggeris, terutama dalam bidang ekonomi dan pentadbiran. Tetapi problema yang dihadapi pensyarah pula ialah bagaimana dia mahu mengajar dalam bahasa Inggeris sedangkan para pelajar tidak mempunyai basic bahasa Inggcris. Sepatutnya, kalau bahasa Inggeris ingin diterapkan di universiti, masa masih sekolah menengah lagi bahasa Inggeris harus sudah bermula. Tetapi di sekolah menengah pula, guru sendiri tidak mengerti bahasa Inggeris.

Kalau sistem pendidikan di negara ini sudah salah, maka hancurlah masa depan bangsa ini.
 
 

Dalam keadaan begitu di manakah kedudukan semangat nasionalime orang Melayu?

Dalam poket! Kalau ada wang timbul nasionalis, kalau tak ada maka tak timbul semangat nasionalis tadi. Pejuang-pejuang bahasa sudah dibeli dengan harga wang ringgit. Kita telah melupakan pesanan Tun Razak. Beliau pernah mengingatkan kita: kalau Jepun, Perancis, Jerman, Korea boleh maju dengan mengekalkan identiti dan bahasa mereka, mengapa kita bangsa Melayu tidak boleh maju? Bukan maknanya kita tidak boleh bercakap dan belajar bahasa asing, tetapi biarlah bahasa dominan kita sehari-hari bahasa Melayu. Saya pernah tekankan agar jabatan-jabatan kerajaan hanya menerima surat dalam bahasa Melayu. Kalau dalam bahasa Inggeris supaya dibakulsampahkan. 

Dengan itu bahasa Melayu akan jadi standard. Orang luar yang ingin berniaga di sini terpaksa belajar bahasa Melayu dan mempekerjakan orang-orang Melayu. Dengan itu tinggilah kedudukan dan nilai bahasa Melayu.

Sekarang kalau masuk pejabat saja guna bahasa Inggeris Nama-nama bangunan sudah guna nama orang putih. Dan ini merupakan satu permulaan bagi penghancuran identiti suatu bangsa. Maka yang menanggung adalah anak-anak kita selama 13 tahun pendidikan mereka.

Dalam dunia ini negara asing selain Inggeris yang bercakap dalain bahasa Inggeris, yang berjaya maju cuma satu saja iaitu Singapura. Itupun kerana negaranya kecil dan negara itu tidak mempunyai bahasa tempatan. Singapura tidak mempunyai bahasa kebangsaan. Oleh itu mereka terpaksa gunakan bahasa Inggeris.

Sebuah bangsa hanya boleh disatukan oleh bahasa kerana disitulah budaya dan cara hidupnya. Lihat misalnya kegagalan India, Filipina dan semua negara Afrika. Mereka tidak boleh majukan negaranya kerana kegagalan di segi pembinaan bahasa kebangsaannya. Sebab menggunakan bukan bahasa ibunda sendiri akan menyebabkan terjadi perubahan nilai.