BERITA MALAYSIA
June 30 , 1999 19:20PM
SUKMA DAKWA DIPAKSA BUAT KENYATAAN HUBUNGAN HOMOSEKSUAL DENGAN
 
KUALA LUMPUR, 30 Jun (Bernama) -- Sukma Darmawan Sasmitaat Madja hari ini memberitahu Mahkamah Tinggi di sini bahawa beliau dipaksa membuat kenyataan berkaitan dengan hubungan homoseksualnya dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Sukma berkata, pegawai penyiasat ASP Mohamed Rodwan Mohd Yusof memaksanya untuk berbuat demikian walaupun beliau telah memberitahunya berkali-kali yang beliau tidak mempunyai hubungan seperti itu dengan bekas timbalan perdana menteri itu.

Beliau berkata, kejadian itu berlaku pada 7 Sept 1998 sebelum polis membawanya ke mahkamah bagi mendapatkan perintah tahanan reman terhadapnya. 

Dia ditahan sehari sebelum itu.

Katanya, selepas itu, Mohamed Rodwan mencabarnya untuk membuat sumpah di atas Al-Quran di depan seorang ustaz berhubung perkara itu.

"Saya menerima cabaran itu dan Rodwan telah mengarahkan pegawainya yang bernama Zaini untuk memanggil seorang ustaz dengan membawa sebuah Al-Quran kerana saya hendak membuat sumpah, tetapi sehingga petang, ustaz berkenaan tidak datang-datang," katanya.

Sukma berkata demikian ketika disoal peguamnya, Jagdeep Singh Deo pada perbicaraan dalam perbicaraan yang diadakan untuk menentukan kesahihan pengakuan yang dibuatnya kepada seorang hakim Mahkamah Sesyen, Abdul Karim Abdul Jalil, bahawa dia diliwat oleh Anwar.

Sukma, 38, dan Anwar, 51, sedang menghadapi tuduhan meliwat Azizan Abu Bakar, bekas pemandu peribadi isteri Anwar di unit 10-7-2, Apartmen Tivoli Villa, Jalan Medang Tanduk, Bangsar di sini, pada pukul 7.45 malam, antara Januari dengan Mac, 1993.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 377B Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.

Sukma, seorang pemilik butik, juga menghadapi satu lagi tuduhan iaitu bersubahat dengan Anwar, yang juga bekas menteri kewangan, untuk melakukan perbuatan itu terhadap Azizan di tempat dan masa yang sama.

Katanya, sebelum ditahan, beliau telah dua kali berjumpa dengan Mohamed Rodwan setelah dipanggil untuk memberikan kenyataan berhubung siasatan terhadap buku "50 Dalil Mengapa Anwar Tidak Boleh Jadi PM" kerana namanya telah disebut dalam buku itu.

Sukma berkata, tujuan Mohamed Rodwan memanggilnya pada ketika itu adalah untuk menyoal sama ada beliau mempunyai hubungan homoseksual dengan Anwar dan mengapa namanya disebut dalam buku itu.

Katanya, beliau terkejut mendengar soalan Mohamed Rodwan itu dan telah menjelaskan bahawa beliau tidak mempunyai hubungan seperti itu dengan Anwar yang dianggapnya sebagai ayah beliau sendiri.

"Mengenai buku 50 Dalil, saya beritahu Rodwan saya tidak tahu mengapa nama saya disebut dalam buku itu kerana saya tidak pernah mendengar atau membacanya," kata Sukma.

Sukma berkata, semasa ditahan di sebuah restoran di Lot 10, Jalan Bukit Bintang pada 6 Sept 1998, Mohamed Rodwan tidak memberitahu sebab-sebab penahanannya dan juga tidak membenarkan beliau berjumpa dengan peguamnya.

Sukma berkata, beliau berasa hairan, kecewa dan terkejut apabila Mohamed Rodwan memasang pita rakaman ucapan Anwar di dalam kereta ketika dalam perjalanan ke Bukit Aman dan kemudian memaki hamun Anwar dengan kata-kata kesat seperti, "kurang ajar, sial, menteri tak guna dan ustaz yang sukakan bontot."

Sukma berkata, Mohamed Rodwan juga telah memberi amaran jika beliau tidak mahu bercakap mengenai hubungan homoseksual dengan Anwar, beliau akan diserahkan kepada sebuah badan penyiasat khas yang akan menjalankan soal-siasat terhadapnya dengan kasar.

Katanya, bagaimanapun, beliau tetap dengan pendirian bahawa beliau tidak ada hubungan homoseksual dengan Anwar yang juga abang angkatnya.

Beliau berkata, pada hari yang sama juga iaitu ketika beliau berada di tingkat 11, Bukit Aman sebelum dibawa ke mahkamah, seorang anggota polis yang hanya dikenalinya sebagai Zul, telah menyerangnya.

"Seorang lelaki yang saya kenali sebagai Zul datang ke hadapan saya dan bertanya kepada saya, 'Oh, inikah yang bernama Sukma?' Kemudian beliau selak baju saya dan memulas-mulas dan mencubit bahagian dada saya dengan sekuat-kuatnya sambil mempersenda-guraukan diri saya dengan kata-kata yang
memalukan," katanya.

Jagdeep: Adakah kamu cuba elak apa yang Zul lakukan?

Sukma: Ya, Yang Arif. Saya cuba tetapi tangan saya bergari. Tetapi beliau berlaku semakin ganas dan meramas-ramas bahagian kemaluan saya. 

Jagdeep: Zul yang ganas ini ialah saksi keempat pendakwaan yang memberi keterangan dalam prosiding ini?
(Zul yang dimaksudkan ialah ASP Zulkifli Mohamed)

Sukma: Ya, Yang Arif.

Jagdeep: Apa perasaan awak bila Zul yang ganas itu mencabul kehormatan awak?

Sukma: Saya berasa takut, malu, marah, kesal dan saya rasa saya diperlakukan seolah-olah seperti seorang yang tiada maruah, di mana beberapa pegawai wanita yang ada di kawasan itu mentertawakan dan mempersendakan saya.

Beliau juga memberitahu mahkamah bahawa tidak ada sesiapa yang menolong beliau pada ketika itu.

Katanya, selepas ditangkap, beliau telah dimasukkan ke dalam sebuah lokap yang sempit dan kotor serta lembap di Bukit Aman dengan hanya memakai seluar dalam sahaja.

Sukma berkata, beliau menghidap penyakit "bronchitis asthma" dan sewaktu dalam tahanan polis, beliau tidak diberikan apa-apa ubat bagi penyakitnya itu.

Beliau berkata, semua keadaan itu telah menyebabkan penyakitnya semakin teruk.

Katanya lagi, walaupun hanya berseluar dalam, beliau cuba juga bersembahyang dengan menggunakan sehelai selimut yang diberikan oleh pegawai lokap untuk menutup aurat.

"Saya rasa selimut itu sangat kotor tetapi saya tidak ada pilihan. Jadi saya sembahyang juga menggunakan selimut itu sebagai kain sarung," kata Sukma.

Katanya, pada 8 Sept 1998, dua anggota polis yang tidak dikenali telah mengambil beliau dari lokap itu untuk dibawa ke sebuah bilik di tingkat tiga, tempat empat anggota lagi sedang menunggu.

Beliau berkata, kesemua anggota polis itu telah mengarahkannya berbogel walaupun pada mulanya, beliau enggan membuka seluar dalamnya.

Sukma berkata, beliau terpaksa menurut arahan mereka kerana ketika itu, keenam-enam anggota polis berkenaan mengarahkan beliau berbuat demikian secara serentak.

"Dalam keadaan berbogel dan bergari, saya disuruh berpusing-pusing di hadapan mereka untuk memudahkan mereka melihat seluruh tubuh saya,"katanya.

Beliau berkata, oleh kerana berasa sangat sejuk, beliau cuba menutup dadanya dengan tangan, tetapi apabila mendapati kemaluannya pula terdedah, beliau duduk di atas sebuah kerusi bagi menutup kedua-dua bahagian dengan
tangannya yang bergari.

Sukma berkata; "Bila saya duduk di kerusi, keenam-enam pegawai polis itu marah dan secara serentak menengking saya dan berkata, 

'siapa yang suruh duduk?' kemudian mereka menanggalkan cermin mata saya serta mengetuk dan melemparkan cermin mata itu seolah-olah ingin memecahkannya."

Katanya, seorang atau dua daripada mereka telah menghampirinya dan menendang kerusi yang didudukinya menyebabkan beliau terjatuh, dan dalam keadaan terkejut serta takut, beliau cepat-cepat berdiri.

Sukma berkata, kesemua anggota polis itu tidak melakukan apa-apa soal-siasat terhadapnya, malah mereka hanya memarahi, memaki dan mencaci beliau secara serentak atau bergilir-gilir serta bertubi-tubi sehingga beliau tidak tahu apa yang dikataka oleh mereka.

Beliau berkata, perkara itu dilakukan berdekatan dengan telinganya dengan kesemua anggota polis itu berdiri di sekelilingnya.

"Nada suara mereka sangat tinggi dan kasar sehingga saya tidak dapat mengawal keadaan badan saya yang kedinginan kerana saya telanjang," katanya.

Sukma memberitahu mahkamah bahawa sesi itu berlaku dari pukul 8.30 pagi hingga 1.30 tengah hari dan disambung dari 2.30 petang hingga 4.30 petang. 

Beliau berkata, selepas sesi itu, beliau keletihan dan tidak sedarkan diri sehingga esoknya.

Katanya, pada 9 Sept 1998, Mohamed Rodwan telah membawanya ke sebuah bilik yang terletak berhampiran dengan lokap tempat beliau ditempatkan, untuk diperiksa oleh Dr Zahari Noor.

Sukma berkata, beliau sekali lagi diarah untuk menanggalkan pakaian dan dalam pemeriksaannya, Dr Zahari memberi tumpuan kepada bahagian dubur dan kemaluannya.

"Doktor membuka dubur saya dan memasukkan jarinya ke dalam dubur saya.

Beliau juga mencabut beberapa helai rambut dari kepala, ketiak dan kemaluan saya serta mengambil darah saya untuk ujian DNA," katanya.

Sukma berkata, sepanjang pemeriksaan itu, Mohamed Rodwan telah mengarahkan jurugambar polis mengambil gambarnya dalam keadaan berbogel walaupun Dr Zahari melarang dengan menyatakan bahawa pemeriksaan yang dilakukannya tidak memerlukan gambar.

"Tetapi Rodwan berkata gambar perlu diambil bukan untuk pemeriksaan Dr Zahari tetapi untuk penyiasatan polis. Mereka ambil gambar saya dari seluruh tubuh saya dalam semua posisi iaitu duduk, berdiri, mengiring dan menonggeng serta gambar bahagian kemaluan saya dari jarak dekat," 
katanya.

Jagdeep: Apa perasaan awak pada ketika itu?

Sukma: Saya berasa sangat malu seolah-olah telah kehilangan maruah diri kerana mereka memeriksa diri saya untuk mengetahui diri saya dengan sedalam-dalamnya.

Sukma berkata, selepas pemeriksaan itu, beliau sekali lagi telah dibawa ke tingkat tiga.

Pada peringkat ini, beliau diminta mengenal pasti empat daripada enam anggota yang dikatakan memarahi, memaki dan mencacinya.

Mereka ialah C/Insp Sampornak Ismail, Kpl Ahmad Bustami Ayob, Kpl Mohtaruddin Suki dan Kpl Hamdani Osman. -- BERNAMA


Copyright ©1998 BERNAMA. All rights reserved. This material may not be published, broadcast, rewritten or redistributed in any form except with the prior express permission of BERNAMA.