Dia Dah Jadi Bomoh Hantu

oleh
Hassan Karim

orang nombor satu
kini dah jadi bomoh hantu
tiap-tiap hari
celik mata
pasangkan telinga
dia bicara pasal hantu belaka
dulu ada kisah hantu stokin
kini dia menakutkan penduduk
kononnya ada hantu
kuasa asing

peliknya
hantu kuasa asing ini
datang bermusim
perangainya macam hantu raya
dia biasanya muncul
menjelang pilihanraya

jadi untuk melawan
hantu kuasa asing
yang datang dari arah barat
bomoh nasionalis,
maha patriotik ini
segera mengerahkan gurkha-gurkhanya
mencari tanduk kambing
supaya rakyat negeri ini
tak tunduk pada makhluk asing

memang terkenal
bomoh nasional yang satu ini
muncul dari negeri bawah angin
sebab dia pandai mengebas-ngebas
supaya hantu-hantu dapat dikebas
lalu negeri sentiasa bebas

pencak silatnya pun macam pendekar
dia sering menjerit
merdeka! merdeka!

bomoh ini tinggal
di Pondokjaya
dalam kawasan multimedia
jika dia membaca manteranya
selalu dihembusnya pada sireh layu
sebab sasaran utamanya orang Melayu

sambil berjampi
dia mematah-matahkan
ranting dan dahan kayu
sambil menyeru:
bangun orang Melayu!
pertahankan Dasar Ekonomi Baru
dan Ketuananmu

ketika dia membaca jampi serapah
bomoh anti-kuasa asing ini
sering meludah-ludah
sireh, kapur, pinang
merah bersepah-sepah
ada terkena pada pelita dan siling
sambil yakin dia mendakwa
jampinya untuk melindung
orang Melayu dari kembali menderita
dan jatuh miskin semula

maka
pada suatu hari
seperti yang telah terjadi
selepas bermantera
bomoh tua ini pun menurun

dia memberitahu orang-orangnya yang berhimpun
di Perhimpunan Agung
bahawa dia sedang menolak
menolak jauh hantu asing
supaya tak menimbulkan rusuhan kaum

tiba-tiba
bomoh nasionalis
lagi
maha patriotik ini
terbangun tersentak dari menurun
PondokJayanya digegar
bukan oleh virus multimedia
tapi dikejutkan teriakan
budak-budak reformasi
anak-anak universiti
Pak-Pak Haji

berhenti! berhenti! berhenti!
undur diri!
jerit anak-anak reformasi

shit! shit! shit!
pekik budak-budak universiti

syirik! syirik! syirik!
laung Pak-Pak Haji

2 Julai 1999