Aliran: Antara pemerintah dan parti politik

Aliran: Focus Pilihanraya
http://www.malaysia.net/aliran/aliranbm.html

Antara Pemerintah dan Parti Politik

Tidak lama dahulu Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM), Ibrahim Ali, telah membuat pengakuan terbuka (Berita Harian, 28 Jun 1999) bahawa beliau telah menggunakan alamat JPM bagi tujuan urusan surat menyurat yang berkaitan dengan kegiatan Jawatankuasa Menangani Fitnah UMNO. 

Pengakuan yang dilafazkan oleh Ibrahim bukanlah dibuat dengan nada yang apologis, malah sekadar menyatakan hal ini seolah-olah ia adalah etikal dan "berlandaskan undang-undang". Tidak ada segan silunya terhadap perbuatan yang baru dilakukan itu. Pendek kata, orang ramai tidak perlu melompat dengan kemarahan semata-mata atas salahlaku ini. 

Mungkin bagi sesetengah orang perkara ini adalah satu benda yang remeh temeh yang tidak perlu digembar-gemburkan. Tetapi kita di sini merasakan perbuatan ini hanya mencerminkan satu masalah, kalau tidak kelemahan, besar di kalangan pemimpin pemerintah yang tidak tahu memisahkan apa yang berkaitan dengan pemerintahan (government) dengan apa yang bersangkut-paut dengan parti politik yang memerintah. Kita perlu prihatin terhadap isu penting ini kerana ini melibatkan satu prinsip mustahak yang boleh menentukan berlaku tidaknya penyalahgunaan atau penyelewengan kuasa. 

Mari kita ambil satu lagi contoh yang lebih baru: Menteri Penerangan Khalil Yaakob baru-baru ini mengumumkan dengan lantangnya bahawa media elektronik seperti Radio-Televisyen Malaysia (RTM) tidak akan memberi ruang siaran kepada parti pembangkang. Alasan yang digunakan oleh Khalil ialah RTM dikawal dan dikendalikan oleh pemerintah BN maka BN mempunyai hak untuk menggunakan RTM bagi tujuan parti BN. Kenyataan ini membayangkan satu bentuk pemikiran pelik yang mengandaikan parti yang memerintah "memiliki" RTM. Malah satu kekeliruan yang amat tinggi darjahnya bagi seorang yang bertaraf menteri! 

Di sini orang-orang seperti Khalil harus diingatkan bahawa sesiapa yang memerintah sebenarnya diamanahkan untuk mengendalikan RTM bagi pihak rakyat jelata. Ini bermakna RTM perlu sebaik mungkin cuba memenuhi citarasa dan kehendak rakyat dari segi penyiaran program dan maklumat.  Dalam konteks pilihanraya, ini sudah tentunya bermaksud RTM diperlukan menyiarkan pandangan bukan sahaja yang datang dari pihak pemerintah tetapi juga pendirian pembangkang mengenai satu-satu isu atau dasar. Sesungguhnya rakyat mempunyai hak untuk mengetahui pendirian semua pihak dalam arena politik. 

Satu lagi perkara yang perlu difikirkan oleh parti pemerintah ialah institusi penyiaran awam seperti RTM harus mendukung prinsip "khidmat awam" atau public service sebagai memastikan keperluan orang ramai dilayani, bukan kepentingan sempit sektor swasta maupun parti pemerintah. 

Pemisahan antara apa yang berkaitan dengan pemerintah dan apa yang bersangkut-paut dengan parti politik yang memerintah menjadi amat penting pada waktu pilihanraya. Ini kerana pada masa inilah parti yang memerintah dianggarkan hanya berperanan sebagai pemerintah sementara atau penjaga (caretaker government). Implikasinya ialah parti pemerintah ini tidak boleh berlagak sebagai pemerintah yang bersedia memberi sogokan kewangan dalam bentuk bantuan kewangan atau janjian projek pembangunan kerana parti yang memerintah tidak seharusnya menggunakan jentera pemerintahan bagi tujuan kempen pilihanraya parti yang memerintah. 

Penggunaan jentera pemerintahan oleh parti pemerintah ketika pilihanraya sudah tentunya merupakan satu penyalahgunaan kuasa yang amat besar kerana wang rakyat (yang digunakan untuk mengekalkan jentera pemerintahan) telah digunakan oleh parti pemerintah untuk kepentingan politik dirinya. Lagipun, tidaklah adil dan bukan demokratik bagi parti pemerintah menggunakan jentera pemerintahan ini apabila bersaing dengan parti lawan. 

Seperti yang telah dinyatakan, penyalahgunaan jentera pemerintahan ini adalah satu pencabulan amanah yang diberikan oleh rakyat kepada parti yang memerintah. Garis pemisah ini juga akan menentukan sama ada satu-satu parti pemerintah masih lagi boleh diberi kepercayaan rakyat untuk memerintah. Prinsip ini, kita sedia maklum, bukan sahaja penting dalam dunia politik, tetapi juga dalam tradisi agama kita yang sudah tentunya menekankan prinsip keadilan, ketelusan, dan kebertanggungjawapan.  

Sumber: ALIRAN  (4 Julai 1999)