Kenyataan Penjelasan Laporan Polis DSAI

Saya baru selesai membuat laporan polis terhadap Perdana Menteri: DS Dr. Mahathir ; Peguam Negara Tan Sri Mohtar Abdullah dan Abdul Gani Patail kerana mencemar matlamat keadilan dan melanggar peruntukan undang-undang. Laporan tersebut telah tertangguh dengan harapan bahawa siasatan dapat dijalankan setelah saya kemukakan  bukti dan keterangan dimahkamah dalam kes terdahulu mengenai pendakwaan terpilih.

Malangnya, Jabatan Peguam Negara telah terjerat dan dijadikan perkakas oleh Ketua Politik mereka. Imej dan kewibawaan mereka terjejas dan keyakinan rakyat terhadap pendakwaan dan sistem kehakiman tercemar. Nyata sekali Tan Sri Mohtar terjebak dengan konspirasi sehingga tidak mempunyai pilihan selain menjaga kepentingan peribadi. Beliau telah menyalahgunakan kuasa dengan meneruskan pendakwaan fitnah dan berniat jahat terhadap saya dan lain-lain pemimpin parti pembangkang serta pengkritik kerajaan. Sementara itu, beliau masih belum menjelaskan tuduhan bahawa beliau telah menghabiskan percutian peribadinya di Italy bersama towkay kaya.

Bagi mengukuhkan tuduhan, saya telah sertakan dokumen Jabatan Peguam Negara bertarikh 14 Mac 1995 yang telah diserahkan kepada saya oleh Peguam Negara. Beliau telah memohon bantuan saya untuk merayu kepada Perdana Menteri menarik balik keputusannya mengarah Peguam Negara dari mendakwa Dato Paduka Rafidah Aziz atas tuduhan rasuah. Saya telah memaklumkan Perdana Menteri mengenai isu tersebut tetapi telah disanggah olih beliau. Dengan ini perilaku rasuah seorang Menteri Kanan telah dilindungi. Ianya menggambarkan secara jelas betapa pemimpin parti dan kerajaan diperangkap olih beliau dan dengan cara sedemikian menjamin ketaatan mutlak dan sokongan melulu.

Kecaman rakyat terhadap rasuah, kronisme dan nepotisme mempunyai asas kukuh. Bahkan tahap 'kebersihan' pemimpin-pemimpin amat dicurigai. Kita dapat jangka dari helah dan telatah pemimpin-pemimpin kerajaan dan media yang mereka kuasai mengalih dari isu tersebut dengan isu ancaman asing, satu isu yang amat popular dikalangan diktator. Dan muslihat mengecam dan menghina tokoh-tokoh pembangkang diteruskan dengan mereka-cipta atau rekayasa keterangan dan dengan mengerahkan seluruh jentera kerajaan sebagai alat

Peguam Negara tidak dapat menjawab tuduhan dan kecaman tersebut kerana cuai dan berat sebelah. Apa yang mampu dilakukan ialah mengugut dan berdolak-dalih. Agak aneh bagi beliau untuk bersekongkol dengan Tun Daim Zainuddin yang sememangnya diketahui telah menimba kekayaan melimpah tatkala dalam kerajaan untuk mengenakan pertuduhan fitnah dan palsu terhadap saya mengenai rasuah, salahlaku seks dan pengkhianatan terhadap negara.

Ingin saya ulangi kenyataan saya bahawa Akta Rahasia Rasmi dan Sumpah Memegang Jawatan bermaksud untuk memelihara keamanan dan keselamatan serta kesejahteraan rakyat. Ianya tidak harus digunakan untuk merestui atau melindungi kegiatan rasuah, penyalahgunaan kuasa, penindasan atau salahlaku jenayah lainnya.

Pehak polis dikehendaki oleh undang-undang untuk menjalankan siasatan secara bebas dan professional termasuk tuduhan mengenai keganasan polis. Pehak Cawangan Khas perlu menghentikan operasi mengugut dan mengganggu pembangkang dan pengkritik kerajaan. Dan pendedahan tektik dan kaedah menjalankan siasatan oleh Jabatan Pencegahan Jenayah menakutkan sekali. Ketua Polis Negara, Tan Sri Norian Mai, perlu mengambil langkah-langkah segera bagi memulihkan imej polis yang terjejas. Keyakinan rakyat terhadap pasukan polis perlu diutamakan dan bukannya untuk bertolak-ansur terhadap sebilangan kecil pengampu dan oportunis yang akan tambah merusakkan nama baik pasukan polis.

Merujuk kepada laporan ini, pehak polis harus diperingatkan mengenai laporan-laporan terhadap polis dan pemimpin kerajaan yang diketepikan. Pemimpin parti pembangkang  telah membuat laporan terhadap Perdana Menteri dan anak-anaknya kerana harta menimbun secara menjolok sekali. Dua bulan yang lalu, satu laporan dikemukakan olih Mohd Ezam Nor mengenai rasuah dan perilaku Peguam Negara.
 

Anwar Ibrahim
9 Julai 1999