PERUTUSAN MAULIDUR RASUL

RASULULLAH PEMIMPIN PERUBAHAN

Dewan Pemuda PAS Pusat (DPP Pusat) merakamkan setinggi salam dan selawat ke atas Junjungan Besar Nabi Muhammad saw sempena sambutan Hari Keputeraan baginda pada tahun ini. DPP Pusat juga menyeru seluruh umat Islam agar menjadikan sambutan Maulidur Rasul tahun ini sebagai pemangkin kepada usaha-usaha perubahan daripada kezaliman isme-isme kepada keadilan Islam. DPP Pusat mengajak seluruh umat Islam agar menjadikan kepemimpinan Rasulullah saw yang cekap, berkesan dan adil sebagai qudwah hasannah ketika umat Islam dilanda pelbagai kegawatan akibat peminggiran terhadap agama Islam oleh para pemimpin negara.
 

Sejarah mencoretkan kerosakan yang sangat dahsyat bagi masyakat Arab Jahiliyyah akibat daripada pembinaan kemajuan dan kemewahan berteraskan nafsu dan isme-isme yang sesat lagi menyesatkan. Dan Rasulullah saw dibangkitkan untuk memimpin perubahan daripada kejahilan umat Arab kepada ketinggian darjat mereka dengan Iman dan Islam.
 

Kepemimpinan cemerlang Rasulullah saw dan para sahabat yang menggerakan konsepkan ulamak memimpin masyarakat berjaya memaparkan keadilan dan kesamarataan kepada seluruh masyarakat. Kecemerlangan ini merupakan titik paling indah dan unggul dalam sejarah ketamadunan manusia. Keindahan dan keunggulan ini adalah manifestasi daripada ketaatan manusia kepada peraturan dan hukum Allah swt dalam menjana kehidupan mereka.
 

Kewafatan Rasulullah saw dan para sahabat telah mengembalikan umat manusia kepada penyelewengan matlamat kehidupan akibat penyalahgunaan kuasa dan kediktatoran pemerinah, penindasan kapitalis serta tipu daya ulamak jahat. Ketidakpanduan kepada al-Quran dan as-Sunnah telah menjadikan umat manusia sebagai umat yang jahil dan tidak bermoral. Segala kegawatan yang berlaku adalah akibat kerakusan tangan manusia yang tidak lagi menjadikan Islam sebagai dustur kehidupan.
 

Segala kerosakan ini adalah sewajarnya mendorong kepada kesedaran yang sangat tinggi kepada umat Islam untuk melakukan tajdid yang menyeluruh iaitu kembali kepada Islam dan menolak segala bentuk politik adu domba yang diasaskan oleh sistem sekular yang sedang melingkari umat Islam hari ini. Hanya melalui perubahan total ini kita dapat mengembalikan dunia umat Islam kepada keadilan dan kesamarataan serta menamatkan segala bentuk kegawatan, penyelewengan, penindasan, pemerasan, dan sebagainya. Umat Islam mesti menggerakkan semula tugas Rasulullah saw yang bertujuan untuk memimpin perubahan dengan melakukan reformasi politik, ekonomi dan sosial. 
 

DPP Pusat mengajak seluruh rakyat Malaysia supaya menamatkan segala bentuk kezaliman ini dengan tidak lagi membuat pilihan yang salah iaitu memilih BN dalam pilihanraya nanti. Tetapi rakyat mestilah bersedia dan berbesar jiwa pada Hari Maulidur Rasul ini dengan membuat perubahan daripada kezaliman BN kepada kecekapan, keberkesanan dan keadilan Islam yang diperjuangkan oleh PAS yang memimpin barisan Alternatif.
 

 

HAJI MAHFUZ HAJI OMAR

Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat

12 Rabiulawal 1420/ 26 Jun 1999