KENYATAAN MEDIA

PEMBATALAN FORUM UM : MENUTUP BUDAYA INTELEK MAHASISWA


Dewan Pemuda PAS Pusat (DPP PUSAT) melahirkan rasa kesal di atas pembatalan Forum Isu Semasa anjuran Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya tanpa alasan yang wajar. Menurut maklumat yang diperoleh DPP Pusat dari pihak HEP UM, pembatalan ini dibuat atas arahan Kementerian Pendidikan.
 

DPP Pusat berpandangan bahawa pembatalan program ini adalah suatu tindakan menghalang pengembangan budaya intelek mahasiswa yang sepatutnya digarap sebaik mungkin oleh pihak kerajaan. Penutupan ruang pengembangan intelek ini bermakna menyanggahi seruan pemimpin kerajaan selama ini yang mahukan mahasiswa bersedia untuk peneruskan kepemimpinan negara. 
 

Forum pada malam ini juga adalah turut disertai oleh wakil Umno, KeADILan, GPMS dan MPMUM selain daripada PAS. Oleh itu, forum ini mampu untuk membuka ruang percambahan nilai intelek di kalangan mahasiswa. Perdana Menteri dan pemimpin Umno kononnya menyeru agar Umno mendekati mahasiswa universiti, tetapi apabila dilaksanakan program yang boleh membuka minda mahasiswa mereka bertindak menghalang program seperti ini. Mereka hanya sanggup memdampingi mahasiswa jika ini boleh menguntungkan mereka, tetapi jika sebaliknya mereka akan menghalang. Inilah paradoks kezaliman BN dalam memberi hak politik kepada mahasiswa. DPP Pusat berpandangan bahawa Pemuda Umno hanya menjadi Pemuda Perkasa dalam ‘kepondanan’ apabila mereka gagal menghadari perbincangan untuk membuka minda mahasiswa ini.
 

DPP Pusat melihat pembatalan forum pada malam ini adalah berkait rapat dengan kegagalan wakil Pemuda Umno untuk mempertahankan kewajaran dasar zalim Kerajaan BN yang menyekat mahasiswa berpolitik dalam Debat Perdana di UKM minggu lalu. Menteri Pendidikan begitu bimbang jika sekali lagi Kerajaan BN dimalukan di hadapan mahasiswa universiti.
 

Walau bagaimanapun DPP Pusat mengingatkan Kerajaan BN agar tidak menyalahkan mahasiswa jika mereka turun ke jalan-jalan raya untuk menyatakan hasrat mereka setelah saluran yang wajar mereka gunakan iaitu forum dan perbincangan ditutup kepada mereka. Kerajaan BN tidak sewajarnya menutup saluran ini semata-mata untuk menghalang mahasiswa daripada menerima pandangan kedua daripada pembangkang yang mungkin akan mendedahkan kezaliman dan penyelewengan BN.
 

DPP Pusat menyeru semua mahasiswa dan ahli akademik agar berfikiran waras dengan memberi penilaian terbaik terhadap parti alternatif dan menolak penerusan kezaliman BN dengan tidak lagi memberi undi kepada BN dalam Pilihanraya Umum nanti.
 

HAJI MAHFUZ HAJI OMAR

Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat

22 Jun 1999