KENYATAAN MEDIA
PENGAMBILALIHAN SMAR : NEO-COLONIALISME BN

Dewan Pemuda PAS Pusat (DPP Pusat) melahirkan rasa kesal di atas tindakan Kerajaan BN melalui Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) yang akan mengambil alih Sekolah Menengah Agama Rakyat (SMAR) seperti yang telah diumumkan oleh Dato’ Seri Najib Razak. DPP Pusat berpandangan bahawa tindakan ini adalah sebagai suatu neo-colonialisme (penjajahan bentuk baru) Kerajaan BN ke atas kekuasaan rakyat. Campurtangan keterlaluan Kerajaan BN juga boleh menyekat pendemokrasian pendidikan kepada rakyat di negara ini.
 

KPM sepatutnya memberi ruang kepada rakyat untuk menguruskan sendiri pembinaan intelek dan sahsiah anak-anak mereka mengikut biah agama Islam. DPP Pusat tidak dapat menerima alasan bahawa campurtangan ini bertujuan untuk menyekat SMAR daripada diperalatkan oleh pembangkang. Kerajaan BN sepatutnya sedar bahawa golongan pelajar daripada peringkat sekolah sehinggalah universiti semuanya telah menolak BN kerana telah muak dengan kezaliman dan penyelewengan BN bukannya kerana diperalatkan oleh pembangkang. 
 

DPP Pusat melihat tindakan ini sebagai meneruskan permusuhan Kerajaan BN dengan pelajar yang dimulakan dengan pelajar universiti menerusi AUKU dan pelajar PASTI menerusi Akta Pendidikan 1995. DPP Pusat merasakan tindakan ini adalah diambil berikutan desakan Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri supaya Umno menguasai para pelajar. Umno seharusnya sedar bahawa merekalah yang mencanangkan supaya mahasiswa dan pelajar tidak berpolitik, tetapi apabila mereka tersepit mereka berusaha untuk menyalahgunakan pelajar demi melangsungkan kezaliman mereka.
 

DPP Pusat mencabar Menteri Pendidikan supaya menyelesaikan dahulu masalah yang terdapat di sekolah-sekolah milik kerajaan yang masih belum sempurna. DPP Pusat mengajak Menteri Pendidikan memahami realiti bahawa masih banyak sekolah kerajaan yang mengalami masalah guru tidak mencukupi, bilik darjah sedikit berbanding pelajar, tiada kemudahan elektrik dan sebagainya yang lebih perlu diberi perhatian oleh Kerajaan BN. Kerana itu, DPP Pusat menyeru agar Menteri Pendidikan tidak menambahkan beban mereka dengan campurtangan urusan SMAR. DPP Pusat juga mengingatkan Menteri Pendidikan bahawa projek ‘Satu Sekolah Satu Komputer’ yang dilancarkan dahulu masih belum mencapai kejayaan dan sepatutnya Kerajaan BN serius menyelesaikan masalah ini terlebih dahulu.
 

DPP Pusat berpandangan bahawa Menteri Pendidikan perlu berterima kasih kepada semua pemilik SMAR kerana telah mengembleng tenaga dan wang ringgit untuk mentarbiah para pelajar tanpa dibantu oleh kerajaan. Menteri Pendidikan tidak perlu malu untuk berbuat demikian kerana mereka juga mengajak rakyat berterima kasih atas ‘kebaikan’ Kerajaan BN. SMAR juga berjaya mendidik ramai anak Melayu menjadi pelajar yang berkualiti dan berguna berbanding pelajar sekolah kerajaan yang dilanda pelbagai masalah seperti dadah, rokok, bohsia dan sebagainya. Ini juga turut manafikan dakwaan bahawa SMAR gagal malahirkan insan berkualiti seperti yang pernah didakwa oleh sesetengah menteri sebelum ini.
 

DPP Pusat juga melihat bahawa tindakan Menteri Pendidikan ini sebagai mengganggu urusan agama rakyat yang sepatutnya diuruselia oleh Majlis Agama Islam Negeri-negeri. Pengambilalihan kuasa SMAR ini bermakna Menteri Pendidikan mencabar kuasa Raja-raja Melayu selaku Ketua Agama Negeri-negeri. Kerajaan BN tidak sepatutnya bertindak sebagai ‘Birch Moden’. DPP Pusat bimbang jika Kerajaan BN mencetuskan sekali lagi konflik dengan Raja-raja Melayu dengan maksud memenangi hati rakyat dalam Pilihanraya Umum nanti.
 

DPP Pusat berpandangan bahawa Menteri Pendidikan seharusnya menambahkan peruntukan kewangan kepada SMAR untuk memantapkan pengurusan mereka bukannya mengambilalih pentadbiran daripada rakyat. Menteri Pendidikan sewajarnya memberikan peruntukan mengikut bilangan pelajar sebagaimana yang pernah dicadangkan oleh Suruhanjaya Siasatan Kebakaran Madrasah At-Taufiqiah, Padang Lumat beberapa tahun dahulu. Hanya dengan cara ini, SMAR akan dapat beroperasi dengan lebih baik dan berkesan untuk membina intelek rakyat menghadapi alaf baru.
 

DPP Pusat juga ingin menyatakan sokongan penuh kepada Kerajaan Kelantan yang bertegas untuk tidak menyerah SMAR yang diselia oleh Yayasan Islam Kelantan (YIK) kepada KPM. Ini kerana sekolah rakyat di Kelantan adalah lebih mantap dan mendapat sokongan rakyat berbanding sekolah seliaan Kerajaan Pusat. Kemantapan dan sokongan ini adalah berpunca daripada sikap responsif Kerajaan Negeri terhadap masalah SMAR.
 

DPP Pusat menyarankan agar Menteri Pendidikan mengubah haluan dengan memilikkerajaankan IPT yang mempunyai kos pengajian yang tinggi dan membebankan rakyat daripada memilikkerajaankan SMAR yang tidak bermasalah dengan rakyat. Jika kerajaan membiarkan pendidikan tinggi di IPT terus menjadi bqahan komoditi, sudah tentu pada masa akan datang rakyat akan kembali menjadi masyarakat ‘buta ilmu’ akibat ketidakmampuan untuk menanggung kos pendidikan.
 

DPP Pusat sekali lagi ingin menyatakan kebimbangan terhadap pengambilalihan SMAR oleh Kerajaan BN ini kerana jika kegawatan terus berlaku dan keprihatinan kerajaan kepada pendidikan agama rakyat terus rendah, mungkin Kerajaan BN akan menswastakan SMAR kepada pihak-pihak tertentu di kalangan kapitalis BN atas alasan memantapkan pengurusan SMAR sebagaimana yang dialami oleh IPTA. Jika sedemikian, sudah tentu sekali lagi umat Melayu Islam di negara ini ditimpa nasib yang malang akibat ketidakbertanggungjawaban Kerajaan BN.
 

DPP Pusat menyeru semua SMAR agar mempertahankan hak daripada mereka daripada dicerobohi oleh golongan kapitalis BN. Rakyat juga diseru agar menolak BN dalam Pilihanraya Umum nanti untuk mempastikan SMAR dapat diselamatkan daripada kerakusan BN.
 

 

IDRIS HJ AHMAD

Setiausaha

Dewan Pemuda PAS Pusat

22 Jun 1999