PEMBOHONGAN PM MENGENAI MAHLIGAI PUTRA JAYA 
 

Pepatah Melayu mengatakan ‘Bangkai gajah masakan dapat ditutup dengan nyiru.’ 

Itulah yang dapat disimpulkan apabila kita membaca akhbar pada 22 Jun 1999 mengenai pengakuan Dr Mahathir bahawa kubah berbentuk bawang berwarna hijau di pejabat barunya merupakan ‘sentuhan peribadinya’ serta  mengikut citarasanya yang berasal dari Kedah.   Sama ada beliau sedar atau tidak,  pengakuan beliau itu menunjukkan peranannya dalam projek Putra Jaya - sehinggakan perkara sekecil kubah bangunan pun memerlukan
campurtangannya.

Maka bolehkah dipercayai dakwaannya bahawa DSAI yang menentukan rekabentuk, spesifikasi mahu pun bilangan bilik mahligai yang bakal diduduki PM?   Tidak masuk oleh akal sama sekali bahawa arkitek/juruperunding pengurusan projek yang merekabentuk mahligai itu tidak merujuk kepada sentuhan dan citarasa PM yakni orang yang bakal menghuninya] dalam menentukan rekabentuk dan spesifikasinya.  Arkitek/ juruperunding yang sebebal itu tempatnya bukan di Putra Jaya,  tetapi di Taman Bahagia,  Tg.Rambutan. Tetapi inilah yang Dr Mahathir hendak delegasi UMNO dan rakyat Malaysia percaya. Beliau salah,   kerana majoriti rakyat tidak sebebal yang disangka. Hanya beberapa kerat orang UMNO yang memang bebal sahaja yang mempercayainya. Dan orang-orang bebal seperti ini akan percaya apa sahaja yang Dr Mahathir kata,   sekalipun ianya tidak masuk akal sama sekali.

Kini dengan pengakuan PM bahawa bentuk dan warna kubah PEJABATNYA pun ditentukan oleh beliau,  menjadi bertambah beballah orang-orang yang terus mempercayai bahawa rekabentuk KEDIAMANNYA ditentukan oleh DSAI.   PM telah menurunkan darjatnya daripada seorang pemimpin negara kepada seorang penipu jalanan yang memualkan dan badut yang tidak kelakar.

Sebenarnya untuk mengetahui kebenaran perkara-perkara mudah seperti itu tidak memerlukan seseorang itu masuk universiti.  Kalau kita sendiri/rakyat biasa hendak membina rumah yang akan kita duduki,  adakah kita membiarkan orang lain menentukan sepenuhnya rekabentuk dan spesifikasinya? Apatah lagi jika orang yang bakal tidur di salah satu biliknya ialah PM sendiri - mana mungkin DSAI yang menentukan bilangan biliknya! Untuk mempercayai bahawa rekabentuk mahligai PM ditentukan oleh DSAI samalah dengan mempercayai bahawa rekabentuk kediaman TPM (semasa DSAI masih lagi TPM) ditentukan oleh Najib atau Abdullah Badawi.  Rendah sangatlah minda orang yang percaya kepada cerita penglipur lara hina sedemikian.

Anehnya,  sekarut mana pun cerita PM,  ada juga yang bertepuk tangan - tanpa menyedari orang luar yang menonton begitu meluat dengan gelagat dan kebodohan mereka.

Berdasarkan ‘common sense’,  DSAI sudah pasti telah dirujuk oleh arkitek-arkitek/ juruperunding yang dilantik bagi rekabentuk kediaman TPM yang dicadangkan di Putra Jaya.  Maka yang demikian,  penjelasan TPM bahawa dia tidak meluluskan pembinaan kediaman TPM di Putra Jaya kerana kosnya terlalu tinggi tidak mungkin bententangan dengan ‘common sense’.  Sebaliknya Dr Mahathir cuba untuk mempuakakan (demonised) DSAI dengan menyindir bahawa dia (DSAI) mungkin tidak mahukan adanya TPM jika dia menjadi PM kelak.    Rendah dan hinanya akhlak PM  -  mentang-mentang orang yang  dibantainya berada di dalam penjara dan tidak boleh membalas tuduhan beliau.   Peliknya,  ramai delegasi UMNO yang berasa lucu dengan lawak jenaka yang tidak kelakar itu.   Kalau itulah budaya UMNO yang ada sekarang ini,  maka wajiblah ditolak keseluruhan parti berkenaan sebelum pewaris-pewarisnya yang juga terdiri daripada badut-badut politik terus memperbodoh-bodohkan kita semua.

Hakikatnya ialah bahawa keseluruhan projek Putra Jaya dibangunkan melalui Putra Jaya Holdings,  dengan biayanya dikeluarkan oleh Petronas.   Putra Jaya Holdings tidak terletak di bawah Menteri Kewangan.   Kalau kita rajin,  kita boleh semak surat khabar lama. Kita akan mendapati bahawa yang kerap melawat Putra Jaya ialah PM,  bukannya TPM. Hakikat bahawa  bentuk kubah dan warna kubah pejabat PM pun ditentukan oleh PM menjelaskan segala-galanya. 

PM juga mendakwa dalam ucapannya bahawa DSAI yang mengagehkan kontrak Putra Jaya kepada kroni-kroninya.   Hakikatnya ialah bahawa penentuan tender dibuat oleh Putra Jaya Holdings.  Cubalah perhatikan  iklan-iklan tender yang berkaitan dengan pembinaan Putra  Jaya  -  adakah ia dikeluarkan oleh Kementerian Kewangan atau oleh Putra Jaya Holdings?   Jawapan sahih kepada soalan ini dengan sendirinya meletakkan PM sebagai Pemfitnah Terulung di Dunia.   Saya kira peranan Kementerian Kewangan (jika ada) hanyalah terhad kepada meng’endorse’kan keputusan Lembaga Tender Putra Jaya Holdings supaya menepati prosedur kerajaan.   Maka untuk mengatakan bahawa DSAI yang mengageh-agehkan kontrak di Putra Jaya sepertimana dakwaan PM adalah satu usaha seorang desperado yang jelas bankrap.  Pembohong besar seperti ini hendaklah ditolak oleh UMNO. Dan oleh kerana UMNO ternyata gagal mengemutkan keluar desparado ini daripada UMNO,  rakyat hendaklah menolak keluar UMNO dalam pilihanraya akan datang.   Menolak UMNO yang cuba memperdaya dan memperbodoh-bodohkan rakyat adalah satu kewajipan demi generasi akan datang.   Tidak ada dosa sama sekali untuk rakyat berbuat demikian.

Dr Mahathir,  berhentikanlah sandiwara gila ini.   Mengucaplah sebelum terlambat.   Mohon ampunlah kepada DSAI/keluarga dan rakyat Malaysia.   Walaupun anda nampak garang dan bersemangat dalam ucapan di Perhimpunan Agung UMNO baru-baru ini, hakikatnya ia tidak lebih daripada propaganda murahan yang Penuh Dengan Bunyi dan Degar,  Isinya Kosong  (Full of Sound and Fury,  Signifying Nothing).   Dan walaupun saya ini orang kecil,  bukan bererti saya tidak kenal dengan beberapa orang penting yang terlibat dalam projek Putra Jaya.   Saya tahu yang PM berbohong mengenai nilai mahligainya,  kaedah pemberian kontraknya,  siapa yang menentukan spesifikasi mahligainya dan sebagainya. Ingatlah bahawa konspirasi memalsukan maklumat (disinformation) yang begitu dahsyat seperti ini tidak akan bertahan lama,  betapa kuat sekali pun ia dicanai dan dijaja oleh media tempatan yang menjadi alat kroni semata-mata.  Seperti kata Dr Mahathir sendiri,   perbuatan konspirasi di negara seperti Malaysia tidak boleh disembunyikan.  Bangkai gajah masakan dapat ditutup dengan nyiru!   Sebab itulah akhbar-akhbar tempatan yang tidak bermaruah lagi itu dihina oleh rakyat dengan pemboikotan berterusan.

Masih segar dalam ingatan saya betapa Dr Mahathir,  ketika mempertahankan diri daripada media antarabangsa selalu mengatakan bahawa media Barat ‘is incapable of telling the truth’. Pada saya Dr Mahathir haruslah terlebih dahulu menelan kata-kata yang dihamburkannya sebelum mengata orang lain. Beliau bukan sekadar ‘incapable of telling the truth’ malah lebih daripada itu.  Seperti yang dikatakan di awal tadi, beliau kini tidak lebih daripada seorang penipu jalanan yang memualkan dan badut politik yang tidak kelakar! 

Oleh itu marilah kita semua bangun menentang pembohongan, kezaliman dan sandiwara gila yang tidak ada tolok bandingnya di abad ini.  Janganlah kita membiarkan diri kita diperbodoh-bodohkan oleh orang tua yang sudah terlalu lama berkuasa,  tetapi masih terus mahu mengekalkan kuasanya. 

Wassalam. 

Islah Rakyat®