HINDARKAN DIRI DARIPADA TERMAKAN FITNAH
HINDARKAN DIRI DARIPADA MEMBACA AKHBAR HARIAN UM, BH, STAR, SUN & NEW STRAITS TIMES,
HINDARKAN DIRI DARIPADA MENONTON BERITA RTM & TV3.

KENYATAAN MEDIA:

DEWAN PEMUDA PAS PUSAT SANGGUP DEBAT WALAUPUN TANPA KEHADIRAN PENONTON ATAU PENYOKONG PAS

(28 Julai 1999 / 14 Rabiul Akhir 1420)
 

Dewan Pemuda PAS Pusat kecewa dengan kenyataan Menteri Penerangan, Tan Sri Mohd Khalil Yaakob yang menganggap jika debat diadakan di RTM antara PAS dan Umno, PAS akan membawa penyokong untuk menimbulkan kekacauan. Kenyataan beliau ini menyerlahkan sifat pengecut semulajadi keseluruhan pemimpin Umno yang takut berhadapan dengan rakyat.
 

Sedangkan selama ini Dewan Pemuda PAS Pusat bersedia berdebat dengan Pemangku Pergerakan Pemuda Umno, Datuk Hishammuddin Tun Hussein di mana-mana stesen televisyen tempatan termasuk RTM walaupun tanpa kehadiran penonton dengan syarat debat itu disiarkan secara langsung dan penyokong PAS atau Umno boleh menonton di kaca televisyen masing-masing di rumah.
 

Hanya pendebat sahaja mesti antara saya selaku Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat dengan Datuk Hishammuddin Tun Hussein, Pengerusi Debat yang boleh dipilih sendiri oleh Datuk Hishammuddin dan krew RTM sahaja dibenarkan berada di tempat debat diadakan. Saya juga bersedia berdebat dan mengalu-alukan sekiranya Datuk Hishammuddin Tun Hussein ingin mendapatkan penguat semangat dari sorakan penyokong Umno, maka mereka boleh membawa seberapa ramai penyokong Umno ke tempat debat dan penyokong PAS tidak dibenarkan masuk.
 

Dewan Pemuda PAS Pusat sekali mempertegaskan dan untuk pengetahuan Menteri Penerangan bahawa kami bersedia berdebat dengan Pemangku Pergerakan Pemuda Umno, Datuk Hishammuddin Tun Hussein di sebarang tempat malah di Ibu Pejabat Umno di PWTC walaupun tanpa kehadiran penonton atau tanpa kehadiran penyokong PAS dengan syarat disiarkan secara langsung melalui televisyen tempatan. Justeru itu tiada alasan bagi Datuk Hishammuddin Tun Hussein atau kebimbangan Menteri Penerangan untuk menolak tawaran pilihan debat siaran secara langsung dari Dewan Pemuda PAS Pusat di RTM atau di mana-mana tempat sekali pun.
 

Dewan Pemuda PAS Pusat sekali-kali tidak bermaksud untuk memalukan pihak kerajaan yang diterajui oleh Umno/BN seperti anggapan Menteri Penerangan kerana debat ini perlu bagi rakyat melihat, menilai dan mengukur keupayaan PAS dan Umno/BN dalam permasalahan politik negara kita. Rakyat sudah semakin berfikiran terbuka dan mereka boleh membuat pertimbangan mana satu parti yang layak untuk memerintah negara
 

Selama ini cara pemberitaan RTM dan media massa utama yang lain tidak mengamalkan etika kewartawanan sebalinya hanya menyogok maklumat dari sebelah pihak sahaja yang menyempitkan fikiran rakyat. Sudah sampai masa kebebasan media massa dinikmati oleh rakyat yang dahagakan maklumat betul. Oleh itu rakyat yang cintakan hak asasi dan kebebasan mendapatkan maklumat seharusnya membebaskan diri dari konkongan Umno dan BN dengan menolak mereka dalam pilihan raya umum akan datang.
 

HAJI MAHFUZ HAJI OMAR
Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat
e-mail: ketuapemuda@partipas.org