Akibat cemburu dengan kejayaan Pas

BN sengaja burukkan Kelantan

                

KUALA LUMPUR: Ahli jawatankuasa Kerja Pas Pusat, Dr. Mohd Hatta Ramli berkata taktik kerajaan Barisan Nasional sengaja memburuk-burukkan kerajaan Pas di Kelantan tidak lagi diterima rakyat.

Menurutnya, Pas Kelantan yang diterajui Mursyidul Amnya, Datuk Nik Abd Aziz Nik Mat berjaya mengangkat martabat negeri itu ke tahap yang tertinggi sepanjang dua penggal pemerintahannya.

"Mereka mengembar-gemburkan cerita kononnya kerajaan Pas gagal membela nasib rakyat dan memajukan negeri sedangkan sebaliknya, Pas berjaya mewujudkan suasana yang harmoni dan mampu menarik minat pelabur Kelantan untuk melabur di negeri itu," katanya semasa berceramah di Taman Koperasi Polis dekat sini minggu lepas.

Hatta turut mempersoalkan cadangan Barisan Nasional yang mahu menjadikan Kelantan sebagai negeri contoh di Malaysia jika mereka berjaya mengambil alih negeri itu dari Pas dalam pilihan raya umum akan datang.

Katanya, Barisan Nasional sepatutnya telah lama berbuat demikian sewaktu mereka memerintah negeri itu dan bukannya hanya pandai bercakap setelah mengetahui rakyat tidak lagi menerima mereka.

"Barisan Nasional sebenarnya cemburu dengan kejayaan Pas dan kesederhanaan Menteri Besarnya, sebab itulah mereka sanggup berbuat apa sahaja untuk memenangi hati rakyat.

"Rakyat kini sedar mereka telah banyak dipengaruhi janji palsu Barisan Nasional," katanya.

Menurut Hatta lagi, Pas bukanlah sebuah parti politik yang hanya bermatlamatkan akhirat semata-mata malah turut memberi tumpuan kepada hal-hal keduniaan.

"Dua komponen ini dipegang oleh Pas dan kerana itu kita berjaya mewujudkan sebuah negeri yang bebas dari amalan rasuah dan judi serta masyarakat yang harmoni."

Hatta bagaimanapun mengakui kesukaran Pas untuk meyakinkan rakvat dengan dasar dan perjuangan Islam yang dibawa kerana kerajaan Barisan Nasional telah menanamkan pemikiran sekular sejak sekian lama.

"Kita tetap akan berusaha untuk meyakinkan rakyat untuk menerima apa yang kita perjuangkan walaupun mendapat tentangan dan Barisan Nasional," katanya.

                

Warta KL, 27 Jun 1999.