LOGO PETRONAS MULA DITUKAR

Logo Petronas yang menggamatkan Perhimpunan Agung UMNO yang baru lepas kerana ianya mempunyai persamaan dengan logo 'Bulan Purnama' PAS,  sudah mula ditukar secara berperingkat-peringkat. Ianya selaras dengan janji Dato' Seri Dr. Siti Zaharah kepada para perwakilan  bahawa tindakan akan diambil untuk memastikan logo Petronas ditukar. 

Rakyat  yang begitu meluat dengan tindakan jijik Presiden UMNO yang telah  menggunakan pentas Perhimpunan Agung UMNO untuk menghentam bekas Timbalan Presidennya, Dato' Seri Anwar Ibrahim, dan PAS, juga turut mencemuh para perwakilan yang terlalu kebudak-budakan dalam membangkitkan sesuatu isu termasuk  isu logo Petronas ini. 

Malah ramai yang merasakan bahawa para perwakilan UMNO bukan sahaja kbudak-budakan tetapi bodoh dan taksub membuta tuli, walhal Mahathirlah dengan segala tindak-tanduknya yang sedang membawa UMNO menuju kehancuran. UMNO mungkin tidak separah hari ini jika Mahathir benar-benar bersifat demokratik dan tidak menyingkirkan Anwar seperti lagak seorang diktator tua yang ingin berkuasa selama-lamanya. Mahathir yang buat hal, orang-orang UMNO lain yang perlu membetulkan keadaan.  

Untuk menukarkan logo Petronas, ianya sudah pasti melibatkan perbelanjaan yang agak besar  sedangkan perbelanjaan yang kecil pun sewajarnya dielakkan jika ianya membazir lebih-lebih lagi di ketika ekonomi gawat seperti sekarang ini. 

Walaupun logo Petronas tidak ditukar keseluruhannya, hanya sekadar menyapu cat hijau di tempat 'bulan purnama', tetapi ianya masih melibatkan kos mengecat, dan kontrak mengecat logo Petronas ini sudah pasti sekali lagi jatuh ke tangan kroni-kroni Mahathir. Bukan sahaja mengecat logo di stesen-stesen minyak, malah di kenderaan-kenderaan
rasmi Petronas, di pelantar minyak Petronas dan sebagainya. Begitu juga di letterhead setiap surat-surat rasmi Petronas sudah pasti perlu ditukar, dan syarikat mencetak letterhead Petronas berlogo baru ini juga  sudah pasti di kalangan kroni-kroni Mahathir. 

Kita tidak bermaksud untuk menuduh tak tentu hala, cuma kerana berasaskan kepada  pengalaman silam yang mana urusan yang melibatkan penggunaan wang-wang Petronas, dan kontrak-kontrak Petronas  diberikan kepada kroni-kroni Mahathir. Lihat sahajalah bagaimana Petronas menyelamatkan Syarikat Perkapalan milik anak Mahathir. 

Bahkan bukan itu sahaja, sebelum ini pun segala kontrak Petronas dibolot oleh kroni Mahathir. Kontrak membekalkan mesin elektronik untuk digunakan bagi pemegang kad "MESRA" Petronas diberikan kepada kroni Mahathir. Ianya hanya berfungsi seketika sahaja dan sehingga sekarang ini ianya tidak digunakan lagi. 

EPS atau "Electronic Paying System"  Petronas (iaitu alat yang dipasangkan di stesen-stesen minyak bagi kemudahan para pengguna yang mengisi minyak dan membayar dengan kad),  merupakan yang paling ketinggalan dan terkebelakang berbanding dengan stesen-stesen minyak lain yang menggunakan dari jenis 'leret' dan bukannya dari jenis 'masukkan'. Alat untuk pembayaran secara kad ini juga dibekalkan oleh kroni Mahathir. Yang lebih malang lagi, ianya seringkali tidak dapat berfungsi dengan baik kerana sudah ketinggalan. 

Inilah dia sebahagian kecil daripada penyelewengan yang terlalu banyak yang berlaku di Petronas, seolah-olah mereka boleh berbuat apa sahaja ke atas syarikat minyak ini. Mungkin Petronas bukan hak milik mereka, tetapi negara Malaysia ini sendiri bagi  Mahathir sudah diperlakukan seperti hak milik bapanya. Boleh diarah itu dan ini mengikut hawa nafsunya, hatta menukarkan logo yang tidak perlu sama sekali. Bukan sahaja logo di Malaysia yang perlu ditukar, di luar negara yang mempunyai cawangan Petronas juga sudah pasti perlu dilakukan. Bukankah ini merupakan suatu pembaziran? 

Andaikata Mahathir boleh mengarahkan agar bulan purnama dilangit yang mengambang penuh sebulan sekali bisa dicat, sudah pasti beliau akan mengarahkan sedemikian kerana puak-puak ini sudah hilang kewarasan dan berada di tahap kebimbangan yang amat tinggi. Bimbang mereka akan ditolak oleh rakyat dalam pilihanraya yang akan datang, dan bimbang akan diheret ke mahkamah. 

Allah juga mensabotaj mereka sebulan sekali kerana menjadikan  bulan purnama, mungkin itu kata mereka agaknya. 

AWANG BONGSU