Bonus: Pas janji bayar lebih

ALOR SETAR: Pas berjanji akan meneruskan pembayaran bonus kakitangan kerajaan jika berjaya memerintah selepas pilihan rava nanti sepertimana yang dijanjikan kerajaan yang ada sekarang.

Pas akan membuat pembayaran itu dalam tempoh enam bulan jika ketika itu kerajaan yang ada sekarang telah diambil alih oleh kerajaan alternatif, kata Ketua Pemuda Pas Pusat, Haji Mahfuz Omar di majlis ceramah politik di Kampung Lahar Buaya di sini, Sabtu lepas.

Beliau berkata, kerajaan kini sedang "menggula-gulakan" kakitangan kerajaan dengan pembayaran bonus sebanyak RM600 secara beransur dalam tempoh enam bulan mulai Julai ini.

"Kita mempertikaikan mengapa kerajaan tidak bayar sekaligus? Ini bermakna setiap bulan kakitangan kerajaan terbabit akan menerima bonus sebanyak RM100," katanya.

Beliau yakin pilihan raya akan diadakan dalam tempoh dua atau tiga bulan lagi. Ini bermakna pembayaran bonus kakitangan kerajaan belum dibayar sepenuhnya tetapi pilihan raya telan diadakan.

Kata Mahfuz lagi, parti pemerintah mahu supaya kakitangan kerajaan terbabit terikat untuk mengundi kerajaan yang ada sekarang supaya pembayaran bonus dapat diteruskan.

Tetapi, katanya, Pas memberi ingatan "walaupun kerajaan yang ada sekarang bertukar, pemberian bonus yang dijanjikan oleh mereka akan diteruskan, malah mungkin lebih lagi."

"Jadi saya minta kakitangan kerajaan ingat baik-baik motto ini: Duit RM600 kami terima, tetapi undi tetap Pas," ujar beliau.

Mahfuz berkata: "Umno dan Barisan Nasional kini mulai bimbang terhadap angin perubahan yang bergerak ke seluruh negara, sehingga mereka mencari jalan untuk menggula-gulakan rakyat."

Katanya, arus perubahan sekarang bukan setakat orang ramai hadir untuk mendengar ceramah Pas, tetapi mereka yang hadir turut menyertai Pas sebagai ahli baru.

"Inilah arus perubahan yang sangat membimbangkan mereka yang terjadi di seluruh negara sehinggakan dalam tempoh tujuh bulan seramai 100,000 orang telah menyertai Pas di seluruh negara," katanya lagi.

Beliau percaya BN akan mengadakan pilihan raya dalam masa yang terdekat ini juga.

"Jika tunggu lama-lama lagi, mereka akan lebih sukar untuk menang kerana arus perubahan itu semakin membesar," ujar beliau.

 

Warta KL, 27 Jun 1999.