MENTERI KANAN DI SORAK PELAJAR UTM, SKUDAI

JOHOR BAHRU, 24 JUN - Kerajaan Barisan Nasional khususnya UMNO nampaknya sekali lagi memperalatkan mahasiswa untuk kepentingan politiknya. Kali ini,  Minggu Haluan Siswa UTM telah didatangi oleh Menteri Luar, Hamid Albar untuk  menyampaikan dakyah-dakyahnya. Walaupun apa yang diwar-warkan sebelum itu yang Menteri Pendidikan, Dato' Najib akan bersama-sama turun, namun beliau  tidak dapat hadir dan ianya begitu menghampakan. Semua mahasiswa baru telah  diwajibkan untuk hadir mendengar ke ceramah tersebut. Di dalam ceramah tersebut, didapati 55% daripada mahasiswa yang hadir lena  diulit mimpi ketika Hamid Albar menyampaikan ceramahnya. Manakala mahasiswa  lain langsung tidak memberi penumpuan. Ini kerana apa yang cuba disampaikan  adalah langsung tidak relevan dengan isu mahasiswa. Bahkan lebih kepada  memuji dasar-dasar yang dijalankan oleh kerajaan di dalam dan di luar  negara.

Namun apa yang menarik adalah semasa sesi soal-jawab. Di mana di dalam sesi  ini pelbagai soalan yang mencabar kewibawaannya telah dilemparkan dan  jawapan yang dikemukakan adalah tidak relevan dan tidak memuaskan. 

Soalan-soalan  yang dikemukakan juga berjaya menarik perhatian para hadirin dengan memberi tepukan gemuruh dan di sambut dengan laungan takbir.

Antara soalan yang dikemukakan :

1. Kenapa Kelab UMNO luar negara ditubuhkan untuk pelajar di sebarang laut ?  Ini adalah suatu tindakan yang paradok dengan prinsip pihak kerajaan di sini  yang mengharamkan pelajar langsung melibatkan diri di dalam politik samada  secara langsung ataupun tidak. Alasan yang diketengahkan adalah kerana pelajar-pelajar berada jauh dari negara dan perlu diberi penjelasan tentang  keadaan di dalam negara. Apa pun alasan yang dikemukan, sejak bila UMNO  dilantik menjadi orang tengah, sedangkan negara mempunyai MSD di setiap  tempat pelajar kita ditempatkan.

2. Soal perlembagaan negara ; Sekiranya Malaysia sudah tidak dijajah, kenapa perlembagaan negara masih menggunakan Sistem Kolonial dan tidak mengambil Al-Quran dan As-Sunnah sebagai "role of model". Sedangkan kerajaan sering menghebahkan kepada rakyat yang telah bebas dari belengu penjajah dan perlu dielakkan dari dijajah semula. Tapi segala undang-undang negara masih berkiblatkan negara penjajah.

3. Bagaimanakah hubungan Malaysia dengan negara luar terutama berkaitan dengan Isu Kepulauan Spratly. Dengan jawapan yang sangat tidak tepat, penjelasan beliau disambut dengan sorakan pelajar, kerana tidak jelas dan mencabar kewibawaan sebagai seorang Menteri Luar.

4. Kenapa Mahasiswa tidak dibenarkan berpolitik sedangkan merekalah pewaris  kepimpinan negara. Dengan begitu yakin ia menjelaskan kepada pelajar sama  seperti warga UMNO yang lain, tugas pelajar adalah belajar sahaja kerana pelajar menggunakan wang rakyat. Dengan kata lain, sokonglah dan berilah kepercayaan kepada kerajaan (UMNO) yang banyak membantu rakyat. Seperti kata Dato' Najib, UMNO lah yang bertanggungjawab mendirikan 11 IPTA di negara, tanpa UMNO tiadalah universiti untuk orang melayu.

Namun, kebanyakan soalan yang diutarakan mendapat jawapan yang kurang memuaskan. Keadaan ini menyebabkan Hamid Albar seolah-olah hilang pedoman.  Malah ada ketika yang Hamid Albar, anak seorang Singa UMNO menjadi kaku bila soalan yang dikemukakan terkena batang hidungnya dan UMNO khususnya yang secara jelas songsang dari undang-undang negara. Yang pastinya, beliau gagal menunjukkan kredibiliti dan akauntibiliti beliau sebagai seorang menteri kanan. Apatah lagi kalau UMNO menghantar Ibrahim Ali , seorang timbalan  menteri yang baru dilantik untuk menghadapi mahasiswa….pasti beliau akan  keluar begitu sahaja dari dewan besar tanpa dapat menjawab soalan-soalan pelajar IPT.