PERUTUSAN HARI PAHLAWAN
PERTAHAN KEDAULATAN AGAMA DAN NEGARA
 
 
Dewan Pemuda PAS Pusat (DPP Pusat) merakamkan ucapan tahniah dan terima kasih kepada semua parajurit negara dari kalangan anggota tentera dan polis yang berusaha keras untuk mempertahankan keamanan dan kedaulatan negara ini sempena Hari Pahlawan hari ini. Segala sumbangan tenaga dan nyawa para pahlawan negara sewajarnya menjadi teladan kepada seluruh rakyat betapa keamanan dan kedaulatan negara mesti dipertahankan. 
 

DPP Pusat mengajak seluruh rakyat Malaysia untuk menjadi pahlawan negara dengan mempertahankan kedaulatan negara ini daripada diancam oleh musuh-musuh negara dari pelbagai aspek. Suasana politik, ekonomi dan sosial negara di bawah tadbiran BN menggambarkan bahawa keselamatan negara berada ditahap yang membimbangkan. Komitmen dan sokongan seluruh rakyat untuk bersama-sama PAS demi mempertahankan maruah negara ini akan menjelmakan kesejahteraan kepada rakyat menjelang alaf baru.
 

Ternyata BN sudah tidak mampu lagi untuk merungkai kemelut yang ada, tetapi melorongkan lagi rakyat kepada ancaman dengan pelbagai kegawatan yang memungkinkan penjajahan semula musuh negara. Dasar-dasar rapuh BN telah mengaburkan hasrat kita untuk melihat kemerdekaan negara terus dipertahankan. Tuduhan dangkal pemimpin kerajaan bahawa PAS agen asing adalah semata-mata untuk mengabui rakyat daripada memahami polisi jahat mereka yang menjadi proksi kepada penjajah asing. Kerana itu seluruh rakyat mesti berbesar jiwa menjadi pahlawan yang mempertahankan negara dengan menolak kepemimpinan BN dalam peraduan Pilihanraya Umum yang terdekat ini.
 

DPP Pusat menyeru seluruh anggota tentera dan polis yang telah menyumbangkan segala khidmat kepada negara agar bangkit menuntut hak mereka sebagai pengundi yang bebas selaras dengan semangat demokrasi yang diperjuangkan. Kerajaan sewajarnya membuka ruang ini sebagai tanda terima kasih kepada pahlawan negara jika benar Kerajaan BN yang ada bersyukur dengan keamanan negara. Pasukan polis juga diseru untuk memerdekakan diri daripada kongkongan politik sehingga mengabaikan peranan sebenar menjaga hak rakyat.
 

DPP Pusat sempena Hari Pahlawan ini juga mengajak seluruh umat Islam untuk bukan sahaja menjadi pahlawan yang mempertahankan kemerdekaan dan kedaulatan negara, tetapi juga mempertahankan ketuanan dan kedaulatan agama Islam sebagai agama Allah yang suci. Adalah menjadi tanggungjawab seluruh umat Islam untuk berjuang dengan wang ringgit, tenaga, darah dan nyawa demi memastikan Islam tertegak di muka bumi ini. Membumikan al-Quran adalah matlamat utama pengutusan kita oleh Allah, oleh itu menjadi tentera Allah adalah kewajipan kepada umat Islam di negara ini. Jadikan ruang pilihanraya ini sebagai medium untuk membuktikan iltizam kita kepada Allah swt.
 

HAJI MAHFUZ HAJI OMAR

Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat

31 Julai 1999