HINDARKAN DIRI DARIPADA TERMAKAN FITNAH
HINDARKAN DIRI DARIPADA MEMBACA AKHBAR HARIAN UM, BH, STAR, SUN & NEW STRAITS TIMES,
HINDARKAN DIRI DARIPADA MENONTON BERITA RTM & TV3.

Agenda Perumahan: Keutamaan Kerajaan Baru Alternatif

Oleh Hassan Karim
(Naib Presiden, merangkap Ketua Penerangan PRM)

15,000 orang serbu kaunter Cawangan Perumahan Pejabat Setiausaha Kerajaan Johor di Johor Bahru pada Khamis 29 Julai untuk mendapat borang rumah kos rendah. Kejadian rempuh merempuh, tolak menolak dan berasak-asak telah berlaku. Seorang wanita telah pengsan. Polis FRU terpaksa dipanggil untuk mengawal keadaan. Demikianlah kedaannya. Rakyat biasa dahagakan rumah. Bukan di Johor Bahru saja tetapi di seluruh negara.

Jika Dr Mahathir Mohamad tidak bina rumah baru Perdana Menteri di Putrajaya, RM 200 juta dapat diselamatkan. Dengan duit sebanyak itu 8000 buah rumah kos rendah dapat dibina dan dijual kepada rakyat. 8,000 orang rakyat akan bahagia. Jika Perdana Menteri tidak beli jet eksekutif bernilai RM 200 juta untuk kegunaannya sendiri, RM 200 juta ringgit lagi dapat diselamatkan. 8000 lagi buah rumah kos rendah untuk rakyat dapat
dibina. 8000 lagi rakyat akan bahagia memiliki rumah sendiri.

Dengan RM 400 juta ringgit wang negara yang setakat ini dibelanjakan untuk kemudahan keselesaan serta kemewahan seorang Perdana Menteri, bayangkan betapa rahmat, nikmat dan bahagianya rakyat jika duit awam itu digunakan untuk membina 16,000 buah rumah kos rendah. Jika satu keluarga mempunyai lima orang isu rumah, ini bermakna 80,000 manusia, rakyat negara ini dapat berlindung dari hujan dan panas dalam rumah milik mereka sendiri. Mana lebih diutamakan? Kebahagian seorang Perdana Menteri yang telah ada serba serbi atau 80,000 manusia biasa yang tak berumah?

Tidak perlu terjadi kejadian sedih seperti di Johor Bahru itu di mana rakyat terpaksa berebut-rebut. Belum lagi mendapat rumah. Mereka berebut mendapatkan borang kosong memohon rumah! Begitulah terdesaknya rakyat sekarang. Malangnya kerajaan BN Johor pimpinan Datuk Abd Gani Othman mengamalkan falsafah “siapa cepat dia dapat”. Ini falsafah di hutan rimba. “Survival for the fittest”.

Kerajaan baru Barisan Alternatif jika berkuasa perlu membuat perubahan radikal dalam isu perumahan. Tubuhkan Lembaga Perumahan dibawah tanggungjawab kerajaan. Tugas kerajaan, untuk menyediakan bekalan rumah kepada rakyat. Ini tugas sosial kerajaan kepada rakyat. Hak Perumahan adalah satu hak asasi manusia. Ia perlu diberi perhatian.

Sejak tahun 70-an rakyat desa tertumpu ke bandar-bandar. Sekarang ini peratus kemiskinan di bandar meningkat. Satu perempat rakyat miskin di seluruh negara sekarang berada di bandar. Rakyat inilah yang memerlukan rumah kos rendah.

Isu perumahan mesti difokuskan ke bandar sekarang iaitu ke kawasan rakyat berpendapatan rendah. Setakat ini pihak swasta dan kerajaan hanya berjaya mencapai 50% saja sasaran pembinaan rumah kos rendah. Statistik Rancangan Malaysia Keenam itu juga menunjukkan pihak pemaju terlebih pencapaian dalam pembinaan rumah kos tinggi. Sebanyak 55,000 rumah kos tinggi dicadangkan tetapi sebanyak 123,388 telah berjaya dibina. Ini bermakna pencapaian (224.3%).Manakala, bagi rumah kos rendah sasaran ialah 838,800 buah, tetapi hanya 425,782 saja berjaya dibangunkan.

Penduduk miskin bandar yang paling malang. Untuk mendapat pinjaman RM 25,000 mereka mesti ada pendapatan minimum RM 550 sebulan. Untuk rumah kos sederhana RM 60,000, pendapatan minimum mestilah RM 1300 sebulan. Statistik menunjukkan bahawa 28% penduduk setinggan di bandar berpendapatan kurang RM 425 sebulan. 63.5% golongan setinggan itu berpendapatan antara RM 451 hinggan RM 1050. Peratus bakinya bagi mereka berpendapatan melebihi RM 1050 sebulan.

Tetapi penduduk miskin dan golongan berpendapatan rendah yang tinggal di kawasan setinggan sekarang sukar mendapat pinjaman dari bank. Golongan ini tersisih daripada kemudahan kredit untuk membeli rumah. Ini juga satu punca mengapa mereka terpaksa tinggal di kawasan setinggan. Golongan ini telah diabaikan oleh BN selama ini.