HINDARKAN DIRI DARIPADA TERMAKAN FITNAH
HINDARKAN DIRI DARIPADA MEMBACA AKHBAR HARIAN UM, BH, STAR, SUN & NEW STRAITS TIMES,
HINDARKAN DIRI DARIPADA MENONTON BERITA RTM & TV3.

Mahathir Sedarkah Permainan Ku Li?

Tiada orang terkejut dengan pengembalian Ku Li kepada UMNO. Kenyataan pertama Ku Li ketika mencari arah dan meletakkan dirinya dalam suasana baru politik negara ialah dengan menghentam DSAI, orang yang dimusuhi oleh Mahathir. Satu demi satu kenyataannya menyanggahi reformasi dan gerakan keadilan, maka Ku Li akan cepat menawan hati Mahathir! Ini bermakna jerat pertama Ku Li sudah berjaya mendapat mangsa yang cukup, sebagai laluan mudah untuknya kembali cergas dalam arena politik negara.

Kerana selicik-licik manusia, ada kelemahannya. Manusia adalah makhluk ciptaan Allah. Tidak terkejut saya apabila Ku Li diterima kembali. Ramai pemimpin lain yang diberi ruang untuk bercakap dalam media dan boleh jadi popular semula, hanya kerana menghentam DSAI. Mereka lupa pendirian, falsafah diri dan etika keugamaan.

Pada bulan September 1998, DSAI dipecat. Ini semua dunia tahu. Gerakan reformasi bermula di seluruh negara dan dunia amnya, di mana sahaja asal adanya rakyat Malaysia. Inilah saatnya yang ditunggu-tunggu oleh Ku Li. Jika satu waktu dahulu, beliau pernah merasa irihati dengan budak hingusan  UMNO itu yang baru berusia setahun jagung, sudah melangkaui peradaban UMNO, hingga mencecah jawatan tertinggi UMNO melepasi segala peringkat dan sekatan. Cuma satu takat sahaja yang memisahkan DSAI dengan jawatan tertinggi parti itu, iaitu kekebalan Mahathir.

Ku Li mulakan peranannya untuk mendapat simpati kepada Mahathir. Justeru tidak hairanlah dalam satu peperangan atau permusuhan, musuh lama mungkin boleh kita terima, semata-mata kerana musuh lama itu mahu memerangi musuh yang sama kita perangi sekarang. Inilah kebijaksanaan Mahathir!

Namun bukan Mahathir seorang sahaja yang bijak. Ramai lagi yang bijak menguasai suasana peperangan itu hanya dengan mengistiharkan diri memerangi gerakan reformasi dan menghentam DSAI. Mereka akan kembali rapat kepada PM Mahathir. Mereka akan diberi ruang lingkup yang luas dalam media. Hinggakan Tun Haniff Omar yang sudah dilupakan, juga berkesempatan muncul kembali.

Namun bagi Ku Li kesempatan ini akan dipergunakan sebaik-baiknya. Bukan mudah untuk menawan hati Mahathir, kerana beliau pasti jawatan presiden itu bukanlah kekal milik diktator tua itu.  Beliau cemari istana dan adat Melayu kerana mahu mencapai matlamatnya. Janjiannya akan menumbangkan PAS dalam pilihanraya di Kelantan lebih menceriakan PM Mahathir kerana dua musuh sekali beliau hadapi agak sukar. Biarlah kini beliau menghadapi DSAI seorang sahaja. Tanggungjawab menewaskan Tuan Guru Nik Aziz akan diserahkan kepada Ku LI.

Biar pun dirinya dipergunakan, Ku Li berpendapat 'sepandai-pandai tupai melompat, akhirnya ke tanah juga'. Mahathir sudah tua. Bukan sahaja rakyat sudah membencinya kerana memfitnah DSAI dan mengheretnya ke pentas dunia, namun kekuasaanya yang keterlaluan dan keutamaannya terhadap kroni dan suku sakat mencetuskan kebencian di kalangan ahli UMNO sendiri. Hanya inilah satu kesempatan dan ruang yang sempit bagi Ku Li untuk mencapai segala keinginan dan jawatan yang sudah menjadi 'idolanya' sejak dahulu!

Sekiranya UMNO kembali berkuasa selepas pilihanraya, peranan Ku Li akan lebih kuat lagi menghentam parti alternatif, terutamanya PAS di Kelantan. Justeru era baru dalam suasana politik UMNO akan tercetus kerana pengaruhi Ku Li yang mendapat dokongan dari pihak istana untuk mengaburi mata rakyat. Siapa yang akan berkata mustahil terhadap semua ini?