Mengapa Perlu Undi PAS 

Empat serangkai yang pernah memeriahkan pentas Forum Hal Ehwal Islam RTM, Dr Haron Din, Dato’ Ishak Baharom, Ustaz Ismail Kamus dan Dr Hasan Ali sudah kembali ke lubuk. Ramai peminat merindui wajah mereka selepas digam RTM. Kini mereka memilih gelanggang yang lebih mencabar dan lebih dekat dengan realiti pergulatan hidup seharian.

DETIK, melalui AHMAD LUTFI OTHMAN dan ZULKIFLI ROSLAN bertuah sekali kerana dapat menemubual USTAZ ISMAIL KAMUS bagi mendapatkan pandangannya terhadap beberapa isu, khususnya, yang menyentuh kehidupan umat Islam negara ini. Seperti kandungan ceramahnya, interviu ini dija1ankan penuh ceria, sesekali beliau selitkan dengan perumpamaan lucu dan menyegarkan. Kritikannya terhadap Umno dan RN, juga kepemimpinan Mahathir, mungkin tidak sepedas Dr Haron Din, namun in tetap bisa dan menyengat. Ikuti petikannya.

DETIK: Semakin hari semakin ramai orang bercakap tentang reformasi, menuntut perubahan dalam sistem pemerintahan negara, yang sebahagiannya mahu kerajaan yang ada ditukar. Secara umum bagaimana Ustaz melihat suasana ini melalui kunjungan Ustaz ke merata rata tempat? 

USTAZ ISMAIL KAMUS: Kita lihat pada sejarah, apabila ada sesuatu peristiwa besar, ramai orang ingin menyaksikannya, sama ada dengan pandangan negatif atau positif. Reformasi selalunya didahulu dengan suatu suasana tertentu. Reformasi itu inginkan sesuatu, bukan semestinya pembaharuan. Memanglah dalam bahasa Arab, tajdid bermaksud memperbaharui. Kalau Imam Ghazali dulu dipanggil mujaddid, bukan bermaksud memperbaharui agama tetapi menimbulkan kembali semangat ingin menggerakkan agama itu sebagaimana asalnya. Dan banyak lagi ulamak-ulamak yang terkemudian, misalnya di Mesir, Muhamad Abduh juga menjadi mujaddid.

Reformasi yang ada sekarang ini wujud bukanlah sesuatu yang dirancang sebenarnya. Tetapi ia lahir dari rasa ingin meluahkan perasaan daripada tiap-tiap individu yang tidak berpuas hati dengan keadaan yang ada. la sudah menjadi suatu fenomena. Bukanlah sesuatu yang kita mesti dahului dengan, misalnya seruan, "kau mesti bangun, kau mesti bangun, kau mesti menentang," ... tidak.

Ini merupakan luahan perasaan masing-masing. Bukan terikut-ikut dengan suasana sekeliling, tetapi berdasarkan kesedaran. Walaupun cuba dipatahkan, tetapi mereka tetap bersemangat menuntut reformasi. Kekentalan semangat pernah ditunjukkan oleh Asiah, isteri Firaun: "Wahai Firaun, kau boleh seksa zahir aku, sedangkan batin aku tidak. Engkau boleh potong badan aku, iman aku tidak.’ Begitulah yang berlaku sekarang ini. Memang orang sudah tahu, menuntut reformasi ini mesti menanggung risiko yang tinggi, sama ada dipenjarakan, dipukul, disebat, dikurung di bawah ISA dan macam-macam lagi. Tetapi runtunan hati itu tidak dapat kita tahan-tahan. Maka bukanlah caranya untuk membendung reformasi yang ada ini dengan menggunakan kekuasaan dan kekerasan. Kekerasan itu mungkin boleh membendung fizikal, tetapi jiwanya masih bersemangat. Orang boleh mematikan orang tetapi semangat orang tidak mati. Matahari boleh mengeringkan laut, tetapi matahari tidak boleh mengeringkan air mata.

Pancaran kekuatan semangat ini seperti matahari, kalau gelap di sini, terang di sana. Ada bahagian yang gelap, ada bahagian yang terang. Sama juga ibarat seperti sungai – disekat sungai itu ia tetap mengalir, disekat lagi tetap mengalir juga ia. Akhirnya ia boleh menyebabkan satu-satu bangunan itu runtuh kerana disekat sungai dari mengalir. la akan mengalir ke tempat lain dan apabila banyak air, tempat itu akan runtuh. Bermakna di sini pun tidak berair di sana pula runtuh! Banyak pihak mendakwa tuntutan eformasi ini tidak kekal lama. Akhirnya ia dilupakan begitu saja bila masa berlalu.

Memang suasana orang Melayu pula kebetulannya cepat sejuk. Tetapi sejuk orang Melayu ini akan panas balik apabila ia dipanaskan. Macam nasi sejuk, pagi esok apabila dipanaskan balik, nasi itu boleh dimakan kerana ia panas. Sebab itu ia perlu kepada gerakan untuk memperingatkannya. Seperti iklan juga. Berhenti iklan berhentilah ... orang mudah lupa.

Bukan sahaja gerakan reformasi perlu diperingatkan, sembahyang pun orang akan tinggal, sedekah pun orang boleh tinggal, malah emak bapak pun boleh kena tinggal, melainkan sering mendengar syarahan dan peringatan. Maka sekarang pengedaran kaset itu amat penting supaya orang sentiasa mendengar. Kadang-kadang orang dengar kaset tiga empat kali fasal mahukan kefahaman dan masuk terus ke otaknya.

Maka reformasi ini boleh menurun dan merosot apabila keadaan menjadi tenang jika usaha mengingatkan diabaikan. Malah ia boleh senyap terus. Tetapi kita ada beberapa saluran yang boleh memantapkan semula, antara lain, syarahan. Sekarang ini syarahan-syarahan di mana-mana pun sudah mendapat sambutan, tetapi kita tidak boleh pula terlalu optimis. Boleh jadi yang mendengar itu kerana dia suka mendengar saja.

Ada orang mendengar kerana orang lain juga mendengar. Ada orang mendengar kerana ramai orang di tempat syarahan, maka dia turut datang kerana mahu meramaikan lagi, bukannya untuk mendengar.

Lebih-lebih lagi sekarang ini ramai orang berniaga. Orang sedang bersyarah dia membeli dan orang yang berniaga itu pula menjual. Maka kedua-dua orang itu tidak mendengar dan tidak faham. Berapa ribu orang menjual, berapa ribu pula orang membeli dan berapa ribu orang yang mendengar? Di sesetengah tempat itu ada lebih lima puluh gerai. Kalau satu gerai itu ada sepuluh orang, sudah menjadi lima ratus. Kalau seratus orang satu gerai, sudah lima ribu tidak mendengar. Oleh itu jangan terlalu optimis dengan jumlah kehadiran. Hanya doa sahaja, mudah-mudahan yang mendengar itu faham.

Artikel Penuh Dalam Detik 15 Jun 99