KENYATAAN MEDIA
 

HUKUMAN MATI OCALAN : MANIFESTASI KEZALIMAN SEKULARISASI YANG MENYEKAT KEBEBASAN RAKYAT DAN KRITIKAN KEPADA KERAJAAN SEKULAR SELURUH DUNIA


Dewan Pemuda PAS Pusat (DPP Pusat) melahirkan rasa kekesalan terhadap keputusan Mahkamah Turki yang menjatuhkan hukuman gantung sampai mati ke atas pemimpin Kurdis, Abdullah Ocalan yang juga presiden parti pembangkang, Parti Pekerja Kurdis atas tuduhan memberontak dan mengkhianati negara Turki. DPP Pusat melihat bahawa sepatutnya isu ini diselesaikan secara demokratik dan aman melalui perunding bukannya secara kekerasan yang mungkin boleh membawa akibat yang lebih buruk. Kerajaan Sekular Turki tidak sepatutnya begitu rakus sehingga menafikan hak rakyatnya.
 

Keputusan Mahkamah Turki ini adalah rentetan daripada kezaliman mereka yang pernah diterjemahkan melalui pengharaman parti-parti Islam pimpinan Dr Najmettin Ebarkan iaitu Milli Nizam Partisi (1971), Milli Salamah Partisi (1980) dan Refah Partisi (1998), pengharaman penglibatan Dr Najmettin Ebarkan daripada terlibat dengan politik (1998), ancaman pengharaman ke atas parti Islam, Fazilet Partisi (1999) serta pemecatan kerakyatan Ahli Parlimen Wanita Fazilet Partisi, Merve Kavakci (1999) kerana memakai tudung kepala. Rentetan peristiwa ini dilihat sebagai kelangsungan kezaliman manifestasi daripada sistem sekular yang melingkari Kerajaan Turki. Inilah kecelakaan yang dialami umat Islam akibat anutan sekular Kamalisme yang sesat lagi menyesatkan.
 

DPP Pusat berpandangan bahawa siri-siri kezaliman yang dilaksanakan melalui proses mahkamah yang kononnya ‘satu keadilan’ sebagai usaha rangkaian golongan sekular demi menyekat segala hak dan kebebasan rakyat untuk mengkritik dan menentang kezaliman yang ditaja oleh mereka. Di mana-mana sahaja di seluruh dunia ini, golongan sekular akan bertindak sedemikian rupa untuk mempastikan mereka boleh terus berkuasa dan menzalimi rakyat dengan ideologi sekular yang rakus ini. 
 

DPP Pusat juga melahirkan kebimbangan yang amat sangat terhadap golongan sekular BN yang telah memerintah negara ini secara zalim dan berkuku besi. Kerajaan Sekular BN sepanjang sejarah pemerintahannya telah menyekat rakyat daripada mengkritik dan menegur dasar-dasar zalim sekular dengan menggunakan akta-akta draconian seperti ISA, OSA, AUKU dan sebagainya. Sejarah juga membuktikan berlaku pembunuhan beberapa pemimpin PAS seperti YB Prof Zulkiflee Muhammad melalui kemalangan terancang (1964), YB Abdul Samad Ghul Ahmad (1967), Prof Dr Burhanuddin al-Helmi melalui deraan dalam tahanan (1969), YB Cikgu Tahrim Ariffin (1970) dan Ustaz Ibrahim Libya (1985). Selain itu Peristiwa Lubuk Merbau (1985) dan Peristiwa Memali (1985) juga turut membunuh ahli PAS.
 

Kerajaan Sekular BN juga turut mengharamkan penggunaan simbol Bulan Bintang serta bendera Allah Muhamad yang menjadi simbol PAS (1966) dan ugutan mengharamkan penggunaan perkataan Islam pada nama PAS (1996). Kerajaan Sekular BN juga telah menahan Tuan Guru Hj Omar Daud (1963), YB Ustaz Abu Bakar Chik, Sdr Mohamad Sabu dan Ustaz Bunyamin Yaakob (1984) serta 91 orang termasuk beberapa pimpinan dan ahli PAS dalam Operasi Lalang (1987) di bawah ISA. BN juga menggunakan kuasanya untuk mengisytiharkan darurat di Kelantan (1977), membeli Adun Terengganu (1959) untuk melemahkan PAS. BN juga bertanggungjawab merancang Peristiwa 13 Mei (1969) untuk mengekalkan kuasa mereka. 
 

BN jugalah yang membatalkan Debat Agung PAS-Umno (1984) untuk menutup kebenaran, melakukan rampasan terhadap tanah milik PAS yang menjadi tapak Muassasah Darul Ulum (1987) dan merobohkan Institut Berakan milik PAS (1992). Mereka juga turut melakukan ugutan, paksaan, ancaman, provokasi dan diskriminasi ke atas ahli dan pemimpin PAS yang memperjuangkan keadilan dan kebenaran kepada rakyat di negara ini.
 

DPP Pusat merasakan bahawa Pilihanraya Umum yang akan berlangsung dalam masa yang terdekat ini juga akan turut dikotori oleh budaya najis pemimpin sekular BN. Dakwaan Dr Mahathir bahawa pilihanraya kali ini sebagai paling kotor mungkin bermaksud golongan sekular BN akan sekali lagi mempraktikkan strategi kotor untuk mempastikan pengekalan kuasa mereka sebagaimana yang dilakukan oleh golongan sekular di Turki ke atas parti dan pemimpin pembangkang di sana. Kerana itulah DPP Pusat mengencam keras kezaliman BN sebagaimana kencaman terhadap kezaliman golongan sekular Turki.
 

DPP Pusat menyeru seluruh rakyat Malaysia agar berhati-hati dengan taktik jahat dan kotor golongan sekular BN dalam Pilihanraya Umum nanti. Kezaliman dan kejahatan mereka ini hanya dapat ditamatkan melalui penolakan rakyat terhadap BN dalam pilihanraya tersebut. Kerana itu, DPP Pusat mengajak setiap lapisan rakyat agar menginsafi keadaan yang berlaku dan berusaha menolak kezaliman dan penyelewengan kuasa Kerajaan Sekular BN untuk mempastikan rakyat dapat menjana kehidupan yang lebih bahagia.
 

 

SALAHUDDIN HAJI AYUB

Naib Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat

29 Jun 1999