KINI
Isu No. 7 (2 Ogos 1999)
Kes Rasuah Daim Dilaporkan kepada Polis
Tun Daim Zainuddin, Menteri Kewangan I, menerima wang dan saham dari tiga tokoh korporat utama negara ini, dakwa Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam satu laporan polis hari Khamis. Dalam laporan polis itu, Anwar melampirkan surat-surat yang ditulis oleh Pengerusi Renong Bhd., Halim Saad, Pengerusi MAS Bhd. Tajuddin Ramli, dan Pengerusi Land and General Bhd., Wan Azmi Wan Hamzah kepada Daim pada 1990. “Surat-surat itu membuktikan dengan sejelas-jelasnya bahawa Daim menerima wang dan saham-saham syarikat yang berjumlah beratus-ratus juta ringgit,” jelas Anwar lagi kepada polis, sumber AFP dipetik.
Di Malaysia, polis mesti menjalankan siasatan dulu sebelum mengambil tindakan pendakwaan. Tetapi berani ke polis hendak siasat? Siapa di belakang Daim?

Daim Terima Wang Kerana Mahathir – Anwar
Datuk Seri Anwar Ibrahim menyebutkan Wan Azmi Wan Hamzah (Pengerusi, Land & General) dan Tajuddin Ramli (Pengerusi MAS) mengesahkan dalam surat-surat berasingan bahawa mereka masing-masing memegang 150 juta ringgit dan 70 juta ringgit bagi pihak Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin, pada tahun 1990 lagi.
“Saya pasti jumlah 220 juta ringgit itu hanyalah sebahagian kecil kekayaan Daim, yang didapati melalui salah guna kuasa, dan dia bertindak bagi pihak Perdana Menteri, Dr Mahathir,” jelas laporan polis itu lagi. Malah, Daim dipercayai menguasai beribu-ribu juta ringgit dengan keizinan Perdana Menteri, jelas Anwar kepada polis, laporan AFP dipetik.

16 Tol di Lebuhraya Pantai Timur
Pembinaan Lebuhraya Pantai Timur melalui Pahang, Terengganu dan Kelantan akan dilaksanakan secara berperingkat dan baru hendak dimulakan secepat mungkin, kata Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad. “Projek sejauh 334km itu akan mempunyai 16 persimpangan bertingkat bertol dari Karak ke Cendering,” jelasnya lagi.
Bagaimanapun, katanya, pembinaan belum dapat dimulakan kerana kerajaan sedang berbincang dengan konsortium yang melibatkan kos dianggarkan RM4 bilion.  KINI sebelum ini melaporkan kos pembinaan lebuh raya oleh swasta menaikkan kos sebanyak 127 peratus, kepada RM25 juta setiap kilometer, sedangkan lebuh raya yang disiapkan kerajaan hanyalah RM11 juta setiap kilometer.
Sebenarnya, pembinaan lebuhraya ini sudah banyak kali tertunda dan kerajaan tidak mengambil apa-apa tindakan terhadap syarikat terbabit, sehingga Khalil Yaakob (MB Pahang waktu itu) dan MB Terengganu sudah berbuih mulut meminta ia disegerakan. Syarikat kroni macam itulah, Datuk Seri, lembab…

Pengikut PAS Tidak Taksub – MT Umno
Sokongan yang diperolehi PAS bukan kerana rakyat taksub kepada parti itu, kata anggota Majlis Tertinggi Umno Datuk Seri Syed Hamid Albar, menurut BERNAMA. “Orang Melayu berpegang kuat pada agama,” jelasnya, dan pegangan ini menjadikan rakyat sedar manakah parti yang benar-benar memperjuangkan Islam, mana pula yang hanya menggunakan slogan Islam.
Pengakuan Syed Hamid itu melenyapkan dakyah palsu yang disebarkan kononnya pengikut PAS “fanatik” dan “melampau”.
Dakyah seperti ini disebarkan oleh media massa arus utama. Sebaliknya, dipercayai pengikut Umno yang fanatik dan taksub sehingga terus mengikut pucuk pimpinan walaupun parti itu terbukti mengamalkan nepotisme, kronisme dan menyalahgunakan wang rakyat untuk membina kemewahan, seperti mahligai berharga RM200 juta.

PM Cuba ‘Membeli’ Nelayan Pula
Kerajaan “akan berusaha” meningkatkan pendapatan golongan nelayan melalui “kaedah baru” penangkapan ikan dalam usaha mengurangkan jumlah nelayan miskin dan sekaligus menambah hasil tangkapan ikan negara, kata Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad.
Kaedah baru bagi menambah hasil tangkapan ikan itu “akan dikaji” dalam Rancangan Jangka Panjang Malaysia Kedua dalam tempoh “tahun 2000 hingga 2010,” jelasnya
lagi.
Amboi, manisnya mulut PM – “baru hendak kaji mulai tahun depan hingga 10 tahun lagi”? Selama ini nasib nelayan, daif siapa pun tidak peduli. Lihatlah… PM cuba pancing undi untuk tiga kali pilihan raya akan datang berturut-turut! Nak buat hat trick baru kot!

Media Semakin Dibenci -- Chandra
Cara liputan dan ulangan berita yang sama, “kononnya pengakuan Sukma yang telah dilaporkan pada September tahun lalu”, menjadikan orang ramai semakin menolak media massa.
“Dalam keghairahan media untuk memuaskan kehendak tuan-tuan mereka, akhbar seolah-olah bertindak melaporkan bahan lucah,” tegas Dr Chandra Muzaffar, Timbalan Presiden KeADILan, dalam satu kenyataan hari ini.
Orang ramai mempertikaikan “pengakuan Sukma” itu kerana dipercayai pengakuan itu diperolehi melalui penyiksaan dan deraan ketika dalam tahanan polis. Malah, Sukma tidak diberikan peluang bertemu ahli keluarga terdekatnya sendiri ataupun peguam pilihan sendiri,” jelas kenyataan itu lagi.
Lagi pun, afidavit Sukma, yang menyatakan penafiannya dan menuduh tekanan polis ke atasnya itu, sejajar dengan suratnya kepada Datuk Seri Anwar. Di negara ini, sudah
ramai, termasuk tokoh seperti Tan Sri Abdullah Ahmad dan Tan Sri Samad Ismail, yang pernah dipaksa mengaku dakwaan palsu semata-mata memenuhi keinginan pemimpin politik kerajaan BN, hujah Chandra lagi.
JELAS... Bukan sahaja mata lebam perlukan Suruhanjaya Diraja, semua keganjilan ini perlu juga suruhanjaya diraja yang bebas dan telus.

TAMAT


Hit the BACK button to return to previous page