HINDARKAN DIRI DARIPADA TERMAKAN FITNAH
HINDARKAN DIRI DARIPADA MEMBACA AKHBAR HARIAN UM, BH, STAR, SUN & NEW STRAITS TIMES,
HINDARKAN DIRI DARIPADA MENONTON BERITA RTM & TV3.

SEJAUH MANA KEKUATAN BARISAN ALTERNATIF - SATU ULASAN

Assalamualaikum,

Terimakasih kepada sahabat-sahabat yang masih setia membaca tulisan saya. Minggu ini, minggu terakhir bulan Julai 1999, ada banyak isu yang hendak diperkatakan; tetapi kerana kesibukan masa membantu rakan-rakan kita bersiap sedia menghadapi pilihanraya yang bakal tiba bila-bila masa, tak mampulah saya nak mengulas semua isu yang terjadi minggu lepas.

Kadang-kadang, apabila melihat bahang pilihanraya yang kian hangat terasa ini, kita tertanya-tanya sejauh manakah benarnya gembar-gembur yang menyatakan bahawa majoriti rakyat khususnya orang2  Melayu kini sudah berubah arah menyokong  Barisan Parti Alternatif. Memanglah, jikalau kita membaca akhbar Harakah atau  Eksklusif, atau pun menghadirkan diri ke majlis-majlis ceramah Barisan Alternatif, kita akan dapat melihat dengan ketara apa yang dikatakan sebagai perubahan tersebut. Akan tetapi, apabila kita membaca akhbar-akhbar milik kerajaan atau pun mengikuti berita-berita di TV dan berita-berita Radio, kita jadi confuse.

Biar pun apa orang nak kata, tapi secara ikhlas saya nak tulis di sini  berdasarkan pergaulan harian saya dengan orang-orang UMNO peringkat bawahan dan juga melalui kawan-kawan dari Barisan Alternatif; saya dapat merasakan bahawa sesuatu perubahan besar memang sedang berlaku di bawah sana.

Saya sebenarnya, pada peringkat awal tak berapa yakin sangat dengan cerita-cerita rakyat bawahan sudah meluat dengan pimpinan UMNO ini; saya ingatkan kalau ada pun cumalah dua tiga kerat orang dari kumpulan-kumpulan yang digelar sebagai 'Puak-Puak Frust' (meminjam istilah seorang orang kuat UMNO di daerah kelahiran saya yang begitu marah  dengan kawan-kawan lamanya ini kerana menyiarkan kisah penyelewengan beliau dan kliknya  di Laman Web Mahazalim).

Baru-baru ini, saya berkesempatan hadir dalam satu majlis anjuran sebuah cawangan PAS yang baru ditubuhkan; di awal majlis tersebut, telah berlangsung upacara taaruf (memperkenalkan diri). Masyaallah, terkejut sungguh saya sebab majoriti ahli-ahli baru di cawangan tersebut adalah bekas ahli-ahli UMNO belaka. Bukan setakat ahli biasa, ada juga yg pernah jadi orang kuat UMNO cawangan dan ada pula yang pernah menjadi perayu undi UMNO dalam pilihanraya yang lepas. Mungkin selama ini kita cuma nampak orang-orang atas sahaja macam Dr Hassan Ali atau Ustaz Ahmad Awang , tapi kita mungkin tak perasan dengan orang-orang bawah macam mereka ini. Bila saya mendengar mereka bertaaruf, "saya dulu ahli UMNO, baru masuk PAS bulan lepas" atau "Saya dulu bekas Setiausaha Cawangan, baru saja masuk PAS" dan sebagainya; saya jadi kagum. Bukannya apa, sebab selama ini saya ingatkan kemasukan beramai-ramai ke dalam PAS ini cuma terhad di sekitar tiga empat bulan selepas DSAI ditangkap. Rupa-rupanya ! Sampai hari ini, masih berduyun-duyun lagi orang UMNO masuk PAS.

ALANGKAH BAGUSNYA KALAU DR MAHATHIR BOLEH HADIR SEKALI DALAM MAJLIS TAARUF TERSEBUT - LAGI BAGUS KALAU BOLEH SIARKAN TERUS MENERUS MELALUI TV3!!

Hari ini, walaupun pihak pucuk pimpinan UMNO melalui kaca TV dan media massa milik mereka cuba membawa berbagai propaganda untuk memulihkan kembali semangat ahli-ahli UMNO, tapi kita melihat melihat ahli-ahli UMNO peringkat bawahan bukan sahaja sudah hilang semangat juang , tapi mereka kini saya lihat sudah nampak  kagum dan gerun dengan perkembangan  PAS. Kedua-dua perasaan gerun dan kagum ini kadang-kadang berbaur menjadi satu.

Contohnya: Seorang pakcik yang sedang menunggu pencen, orang kuat UMNO cawangan, dulunya jiran saya;  dua tiga hari lepas  saya terserempak dengan beliau secara tidak sengaja ketika saya berada di sebuah kedai memfotostat surat-surat berkaitan aktiviti PAS.  Saya rasa beliau agak terperanjat kerana mungkin tak disangkanya, dalam diam bekas jirannya dulu kini sudah jadi aktivist PAS. Lalu saya berkata, "Biasalah Pak Tam, tolong budak-budak ni sikit, dah dekat nak pilihanraya!". Tau apa dia kata?

Dia cakap:
"Eh, biasalah. Hang nak tau, sekali tu aku ada sembang dengan Cina jual suratkhabar kat sini. Dia cakap sekarang ini orang dah tak mau baca Utusan atau Berita Harian. Dia cakap, sekarang kalau nak jual Utusan, nak habis 90 keping pun susah; tapi kalau Harakah, dekat 900 keping, kejap saja habis. Cina-cina pun dah baca Harakah; tak percaya cuba hang pi kat Pacific (shopping kompleks kat Perai), hang boleh tengok cina-cina baca Harakah!!".

Saya tak kata apa cuma senyum saja; lepas tu dia tanya:
"Hang ada bendera PAS dak?". Saya tanya nak buat apa; rupa-rupanya dia nak pasang bersilang dengan bendera ADIL  kat balkoni rumah dia. Saya kemudiannya dimaklumkan oleh seorang sahabat bahawa Pak Tam, jiran lama saya ini walaupun masih UMNO, tapi hatinya sudah berbelah bahagi.

APA TIDAKNYA - BININYA YANG DULUNYA UMNO PEKAT, KINI SUDAH PUN MASUK ADIL!!

Ketika pulang ke kampung hujung minggu baru-baru ini; saya sempat berbual dengan salah seorang sepupu saya yang saya rasa sudah 70/30 menyokong PAS. Banyak yang dia tak puas hati dengan UMNO; antara yang saya ingat beliau mengadu bagaimana dengan keadaan ekonomi dan harga barang sekarang, dengan pendapatan beliau yang tak seberapa sebagai pemandu van kilang, cukup sukar untuk beliau menempuh hari-hari yang mendatang. Saya juga dengar beliau berkata, "Hari tu, masa mesyuarat UMNO, aku ada cakap benda-benda yang aku tak puas hati ,  lepas tu Orang Kuat UMNO cawangan ini  pi cakap kuat-kuat 'Kalau Tak Suka UMNO, Sila Keluar Pi Masuk PAS!!' ". Saya hanya tersenyum apabila beliau berkata yang pilihanraya ini mungkin beliau akan pangkah PAS. Dan saya tambah tersenyum, apabila saya dengar beliau cakap:

"Hari tu, masa aku pi Rancangan Felda, aku tengok budak-budak muda dok baca Harakah. Aku rasa la ni, pi mana-mana pun orang dah sokong PAS!!".

Sesungguhnya orang-orang seperti Pak Tam dan sepupu saya ini adalah sebahagian daripada contoh-contoh rakyat marhain kat bawah sana yang hati mereka sedang dibolak-balikkan oleh Tuhan yang Empunya Kuasa!!

Rakyat biasa kat bawah sana, hari ini bukan sahaja sudah mula berubah haluan, tapi mereka juga kini sudah berani melawan arus. Contohnya; baru-baru ini diberitakan telah berlansung Pertandingan Bolasepak Liga Malaysia Peringkat Negeri Pulau Pinang bertempat di Padang Sekolah Menengah Al-Irshad, tak jauh dari Pekan Tasik Gelugor , Kepala Batas. Pertandingan 9-sebelah ini telah menarik minat beratus buah pasukan. Yang menariknya, di luar pagar sekolah itu terbentang banner besar bertulis "Pertandingan Bolasepak Piala Datuk Dr Ibrahim Saad", tapi ketika orang sedang asyik mengikuti pertandingan tersebut; tiba-tiba terdengar pengumuman dari pembesar suara dari meja urus-setia, "Siapa-Siapa yang nak beli Harakah, boleh datang ke sini!!".

TAK KE HARU!!

Sudahlah tu, sebuah pasukan yang pada mulanya didaftarkan atas nama "UMNO Permatang Pauh", apabila tiba hari pertandingan, terus bertukar nama, dah tak ada lagi nama UMNO Permatang Pauh.

TAK TAHULAH SAMA ADA SEBAB MALU ATAUPUN TAKUT KENA BOOO!!

Banyaklah lagi yang boleh kita cerita kisah orang-orang bawah ini; tapi dalam banyak-banyak tu, saya tak akan lupa kisah seorang sahabat yang agak pendiam dan tak begitu ambil peduli hal orang lain. Berapa bulan lepas, beberapa orang AJK UMNO cawangan datang ke rumahnya, meminta beliau mengisi borang UMNO. Oh ya, untuk yang terlupa, saya nak bagitau bahawa itu adalah strategi UMNO untuk menghadapi pilihanraya akan datang; jangan terkejut kalau seminggu dua sebelum pilihanraya ini UMNO akan mula menghebahkan penubuhan cawangan-cawangan baru atau pun kemasukan ahli2 baru UMNO yang 'berduyun-duyun' di seluruh negara. Depa dah lama dah dok plan benda ini.

Berbalik kepada kisah sahabat tersebut; mungkin kerana mereka ingatkan beliau ini jenis senang makan, orang2 UMNO ini pun pergi jumpa dan cakap direct minta dia 'tolong' isi borang UMNO, sebab kata mereka kalau dia isi borang UMNO, nanti senang kalau nak minta tolong apa-apa. Hangpa nak tau apa kata sahabat ini. Kata beliau:

"La, aku nak masuk UMNO macam mana? - Hari tu aku dah angkat sumpah masuk PAS dengan Tok Guru aku. La ni, Tok Guru aku dah mati, nak buat macam mana!!".

Tanya orang UMNO itu:  "Siapa dia Tok Guru hang?"

Dia jawab:

"IBRAHIM LIBYA!!"
 

Wassalam,
Pakdin