HINDARKAN DIRI DARIPADA TERMAKAN FITNAH
HINDARKAN DIRI DARIPADA MEMBACA AKHBAR HARIAN UM, BH, STAR, SUN & NEW STRAITS TIMES,
HINDARKAN DIRI DARIPADA MENONTON BERITA RTM & TV3.

BANTUAN PERKAPITA UNTUK SAR KELANTAN:
DEWAN PEMUDA PAS KELANTAN BUAT LAPORAN PADA BPR

KOTA BHARU: 3 OGOS 99

Dewan Pemuda PAS Negeri Kelantan (DPPNK) menyifatkan berlaku unsur-unsur penyalahgunaan kuasa dalam penyerahan cek bantuan perkapita tahunan Kementerian Pendidikan kepada Sekolah Menengah Ugama (Arab) bantuan kerajaan Kelantan, oleh Menteri Pendidikan baru-baru ini. Ekoran itu, laporan Badan Pencegah Rasuah (BPR) dibuat oleh ketuanya, Takiyuddin Hassan kira-kira jam 3 petang di ibu pejabat BPR negeri di Wisma Persekutuan, Jalan Bayam di sini.

Takiyuddin berkata, laporan itu dibuat selepas beliau menerima sepucuk surat yang mengandungi pernyataan cek bantuan perkapita tahunan sekolah agama rakyat (SAR) berjumlah RM5,670 daripada seorang yang tidak dikenali.

Menurutnya, surat yang dialamatkan kepada Guru Besar SMU (A) Tarbiah Islamiah Kampung Kajang, Lalang Pepuyu Tanah Merah itu diterima pada 31 Julai lepas yang bertandatangan Ketua Sektor Pengurusan Pendidikan Islam dan Moral Jabatan Pendidikan Kelantan (JPK), Haji Mohd Nawi Mohamed.

Katanya, beliau agak terperanjat apabila membaca perenggan empat surat tersebut yang berbunyi: "Untuk makluman tuan, sila rujuk kepada Ketua Umno Bahagian Jeli untuk menerima cek di atas". "Daripada kandungan perenggan empat surat itu, saya mengesyaki berlakunya suatu penyalahgunaan kuasa oleh pihak tertentu dengan menggunakan jabatan kerajaan untuk tujuan politik mereka.

"Saya tidak nampak apa kaitannya di antara Ketua Umno Bahagian Jeli dengan bantuan perkapita tahunan sekolah berkenaan (SAR) yang dibayar melalui Jabatan Pendidikan Kelantan," ucapnya kesal.

Sehubungan itu, katanya, DPPNK memandang berat berhubung penyelewengan berbentuk salahguna kuasa tersebut dan menggesa pihak BPR membuat siasatan rapi terhadap mereka yang terbabit di bawah Akta Pencegahan Rasuah 1997 dan Ordinan Darurat (Kuasa-kuasa Perlu) 1975.

Akhbar Jumaat lepas melaporkan Menteri Pendidikan menyerahkan bantuan perkapita kepada 74 sekolah agama rakyat (bantuan kerajaan Kelantan) berjumlah RM2.4 juta untuk bayaran elaun tambahan guru-guru dan pembangunan sekolah.

Bantuan itu dibuat sempena program motivasi keibubapaan Sekolah Menengah Geting di Tumpat.
"Persoalannya di sini ialah SAR yang diberi bantuan perkapita oleh kementerian tetapi sebenarnya mereka tidak menerima cek pada hari berkenaan sebaliknya menerima satu surat (ber`letter head') Jabatan Pendidikan Kelantan.

"Apa yang menjadi perhatian saya ialah dalam satu perenggan surat itu dinyatakan guru besar berkenaan perlu menghubungi Ketua Umno bahagian untuk menerima cek.

"Soalnya sekarang siapa yang hendak mengambil alih SAR, kerajaan pusat atau Umno?," soalnya tegas.

Sementara itu, beberapa guru besar sekolah agama bantuan yang menerima surat bantuan tersebut memberitahu masih belum menerima cek berkenaan dan diarahkan untuk menghubungi ketua bahagian di kawasan berdekatan.(Wan)

Harakah Kelantan