HINDARKAN DIRI DARIPADA TERMAKAN FITNAH
HINDARKAN DIRI DARIPADA MEMBACA AKHBAR HARIAN UM, BH, STAR, SUN & NEW STRAITS TIMES,
HINDARKAN DIRI DARIPADA MENONTON BERITA RTM & TV3.

From: Engku Hamid Engku Seman

ALAF BARU YANG SEMAKIN BERCELARU

Tiada siapa pun yang mengenali nama Udit Narayanan sebelum ini. Nama itu tidak sehebat Mohamad Raffi yang satu ketika dulu merupakan penyanyi agung filem-filem Hindustan. Dia juga tidak sehebat Seniman Agung kita Allahyarham P. Ramlee. Walaupun P. Ramlee hebat di dunia sebelah sini, namun suaranya tidak berkumandang di benua kecil India. Tetapi itulah dia Udit Narayanan. Seorang yang tidak terkenal, kini muncul berkumandang suaranya di corong-corong radio di seluruh pelosok kampung.

Barangkali oleh kerana terlalu kerap mendengar lagu "Kuch-kuch hota hei" nyanyian Udit dalam perjalanan yang panjang dari rumahnya ke pejabat baru di Putrajaya, maka timbullah ilham di fikiran PM kita untuk mewujudkan sebuah bandar perfileman sehebat
Bollywood. Lintasan fihrasatnya memungkinkan satu perancangan yang besar bagi membina sebuah lagi mercu tanda selepas Menara KL dan Menara Berkembar KLCC demi memastikan rakyat  Malaysia terus dikenali sebagai satu bangsa yang sentiasa terkehadapan dalam bidang IT. Sekurang-kurangnya kita boleh berbangga untuk dinobatkan sebagai negara Islam pertama yang berjaya membina sebuah bandar perfileman setaraf Bollywood.

Rakyat Malaysia yang mendiami rancangan Felda di Hulu Trengganu misalnya, mungkin tidak merasakan bahawa pembinaan bandar sebegini merupakan satu pembaziran. Segolongan manusia yang tidak berpengetahuan, namun berterusan melakukan sesuatu
perkara yang tidak betul, kemungkinan mendapat kemaafan kerana kejahilan mereka. Apalah sangat manfaat kewangan yang bakal diperolehi oleh golongan peneroka di bandar perfileman ini jika dibandingkan dengan peluh yang menitik saban hari di ladang-ladang kelapa sawit yang berakhir dengan baki 55 sen di lembaran slip gaji. Tetapi inilah hakikatnya. Kemajuan di bandar memungkinkan masyarakat desa untuk terus dilenakan dengan berbagai janji manis untuk terus hidup selesa ekurang-kurangnya untuk tempoh lima tahun lagi.

Kita sendiri merasa hairan tentang corak pemikiran seorang pemimpin sebegini. Setelah berjaya membangunkan sebuah koridor raya multi media, dan membawa rakyat negara ini keluar dari kepompong kemunduran serta terjun bersama arus perdana dunia tanpa sempadan, tiba-tiba sahaja kita dipandu ke arah menjadi masyarakat gila filem (filem mania). Siapakah nanti yang bakal menggantikan keluarga Kapoor yang satu ketika dulu menguasai dunia perfileman India? Siapa pula di kalangan pelakon Melayu kita yang bakal menyaingi kehebatan Rajesh Khana, Sunil Dutt, Dimple Kapadia, dan lain-lain bintang masyhur Bollywood satu ketika dulu? Dan siapa pula yang bakal mengikut jejak Shah Rukh Khan yang merupakan seorang pelakon Islam, tetapi hanya mula bersembahyang buat pertama kalinya apabila ibunya sedang nazak?

Kesemua ini memerlukan satu penelitian yang rapi oleh segenap lapisan masyarakat. Tidak semestinya menyokong bermakna setuju, menyanggah bermakna tak sebulu. Mesti ada suara yang merangkumi ulamak, cerdik pandai, pendidik, pekerja swasta, pertubuhan NGO, dan sebagainya yang berani untuk memberikan sedikit teguran. Apa yang dianggap lebih malang lagi ialah dengan ketiadaan walau seorang pun cendekiawan Melayu kita yang berani melontarkan barang satu dua pendapat yang menyanggah cetusan idea penubuhan bandar perfileman ini serta kesan negatifnya terhadap pembinaan sahsiah Muslim. Insan seperti saya, amat tidak layak untuk membicarakan mengenai fakta-fakta dan angka-angka keramat yang mengiringi pengwujudan bandar perfileman tersebut. Yang berani berbicara barang sepatah dua kata hanyalah barisan pembangkang. Itu pun
hanya tertumpu di kalangan pemimpin PAS sahaja.

Kini masyarakat kita terus diulit mimpi.  Gendang dan tarian telah bermula di Kelantan dan Trengganu. Wajah yang bersahaja itu, kini sering mengalirkan air mata ketika memulakan bicara. Mungkin buat pengubat gurindam jiwa yang telah gundah gulana. Di
Kelantan, seorang putera raja mula berpencak silat. Menjadi bentengnya yang kuat (kadangkala sebagai budak suruhan) buat menentang seorang Tuan Guru. Tuan Guru itu pula sering  dipersenda-senda. Sesekali dihormatinya sebagai ulamak dan ditawarkan jawatan Mufti. Kali yang lainnya pula dianggapnya  musuh yang memperkudakan agama. Di Trengganu pula, dia memakai tanjak. Ternobat sebagai pendekar ulung dan terbilang Darul Iman.

Mungkin lelehan demi lelehan air matanya, bakal mencairkan emosi orang Melayu buat pemimpin sebegini. Air mata itu jugalah yang bakal mengiringi kita dengan lesunya ke alaf baru. Lalu kita pun menjadi semakin bercelaru..................................

Wassalam

PAK ENGKU