HINDARKAN DIRI DARIPADA TERMAKAN FITNAH
HINDARKAN DIRI DARIPADA MEMBACA AKHBAR HARIAN UM, BH, STAR, SUN & NEW STRAITS TIMES,
HINDARKAN DIRI DARIPADA MENONTON BERITA RTM & TV3.

KENYATAAN MEDIA
PEMUDA UMNO TIADA KETUA

Dewan Pemuda PAS Pusat (DPP Pusat) merakamkan rasa kesal dengan sikap Pemangku Ketua Pergerakan Pemuda Umno yang menolak pelawaan DPP Pusat untuk berdebat tentang isu ketuanan Melayu dan isu-isu semasa negara. Tempoh sehingga 31 Julai 1999 yang diberikan oleh DPP Pusat untuk Pemuda Umno memberi jawapan untuk berdebat telah direspon secara negatif oleh mereka yang membuktikan bahawa Pemuda Umno hari ini seolah-olah anak ayam yang kehilangan ibu dan tidak mampu lagi untuk memimpin dan menangani masa depan umat Melayu.
 

Penolakan oleh Pemuda Umno ini membayangkan bahawa Umno memang mengaku bertanggungjawab terhadap segala kesengsaraan umat Melayu hari ini. Jika mereka tidak bersalah, tidak ada sebab mengapa mereka mesti takut untuk berdebat. Sikap pengecut ini seharusnya memahamkan rakyat bahawa Pemuda Umno hari ini tidak mempunyai seorang ketua, yang ada hanyalah seorang ‘pelakon’ yang tidak mampu menghayati skrip cerita secara realistik.
 

Pemuda Umno di seluruh negara bergegar-gegar menjanakan slogan retorik kosong ‘Pemuda Perkasa’, sedangkan mereka sebenarnya pemuda pondan yang sangat pengecut untuk berhadapan dengan kebenaran. Pemuda Umno menuduh PAS sebagai bertanggungjawab terhadap segala kemelut orang Melayu, tetapi tidak berani untuk bersemuka dengan Pemuda PAS di dalam merungkai isu ini. Sikap lontar batu sembunyi tangan Pemuda Umno ini menunjukkan bahawa Umno adalah parti yang tidak bertanggungjawab terhadap masa depan negara. Tabiat berkata apa yang tidak dibuat dan membuat apa yang tidak disuruh tidak sewajarnya dimiliki oleh sebuah parti yang kononnya mendapat sokongan rakyat.
 

Pemuda PAS yang bergerak ke seluruh negara untuk menjelaskan keadaan sebenar orang Melayu mengambil tanggungjawab ini untuk bersemuka dengan Pemuda Umno demi memastikan ketuanan Melayu terjamin pada alaf akan datang. Slogan ‘Memimpin Perubahan’ yang dibawa oleh Pemuda PAS bermaksud untuk memajukan masa depan orang Melayu Islam dan rakyat berbilang kaum. Kekuatan yang sedikit hendak dikembangkan agar semua rakyat dapat menikmatinya, ibarat air setitik hendak dilautkan, tanah segenggam hendak digunungkan, pokok sepohon hendak dibelantarakan. Itulah hala tuju perjuangan Pemuda PAS terhadap masa depan orang Melayu Islam. Kita tidak bersikap seperti Pemuda Umno yang mengamalkan budaya rambutan jantan, orang berbunga dia berbunga, orang berbuah dia tidak. Orang jantan dia jantan, orang melawan dia pondan!
 

DPP Pusat melihat segala dolak-dalih yang direka oleh Pemuda Umno selama ini adalah untuk menutup sikap pengecut mereka. Jika mereka prihatin dan mengambil tanggungjawab terhadap kemelut politik, kegawatan eokonomi dan kekusutan sosial umat Melayu sudah tentu Pemuda Umno akan turun untuk berhadapan dengan Pemuda PAS bagi mencari jalan penyelesaian.

DPP Pusat dengan ini mengisytiharkan bahawa Pemangku Ketua Pemuda Umno, Dato’ Hishamuddin Hussien sebagai seorang yang penakut, pengecut, bacul dan pondan, memalukan serta tidak bertanggungjawab. DPP Pusat juga dengan penuh insaf menyeru seluruh pemuda Umno di semua peringkat agar mendesak Pemangku Ketua Pemuda Umno meletak jawatan kerana beliau telah memalukan Pemuda Umno. Sebagai seorang yang terlalu lemah, beliau tidak layak untuk menjadi pemimpin kanan parti dan kerajaan.
 

DPP Pusat menyeru seluruh rakyat Malaysia agar menolak kepemimpinan pondan Pemuda Umno demi memastikan negara ini dapat bergerak maju dengan aman dan sejahtera. Mengekalkan pemimpin seperti pemimpin Umno adalah menggadai masa depan negara. Peluang mengundi dalam Pilihanraya Umum ini digunakan sebaik mungkin untuk mempastikan Umno/BN yang zalim tidak lagi memimpin negara.
 

HAJI MAHFUZ HAJI OMAR

Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat

2 OGOS 1999