HINDARKAN DIRI DARIPADA TERMAKAN FITNAH
HINDARKAN DIRI DARIPADA MEMBACA AKHBAR HARIAN UM, BH, STAR, SUN & NEW STRAITS TIMES,
HINDARKAN DIRI DARIPADA MENONTON BERITA RTM & TV3.

RINGKAS KELANTAN

Dekati Orang Asli

GUA MUSANG: Pelajar-pelajar sekolah agama Yayasan Islam Kelantan (Yik) di sini dicadangkan mendampingi masyarakat Orang Asli di pedalaman melalui kegiatan ko-korikulum.

Menteri Besar, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, pelajar berkenaan boleh menjadikan program bersama masyarakat tersebut sebagai kegiatan ko-kurikulum bagi memperkenalkan Islam kepada mereka.

"Kumpulan pelajar boleh tinggal di perkampungan Orang Asli sehingga 10 hari sambil memperkenalkan Islam melalui aktiviti azan, mengajar kitab agama atau membantu anak-anak mereka dalam pelajaran," katanya ketika merasmikan mesyuarat agung Sekolah Menengah Ugama (Arab) Gua Musang, Sabtu lalu.
Menurutnya, pelajar terbabit sebolehnya membuat kertas kerja mengenainya terlebih dahulu dan mendapatkan bantuan agensi-agensi kerajaan termasuk Jabatan Hal Ehwal Orang Asli, Majlis Agama Islam bagi membolehkan program itu direalisasikan.

Media terus menghasut

JELI: Media massa pro Umno diingatkan tidak terlalu ghairah mengapi-api semangat membencikan PAS melalui laporan mereka kerana isu yang dimainkan akan memakan diri sendiri.

Anggota Parlimen Pengkalan Chepa, Ustaz Mohd Amar Abdullah berkata, perkara itu pernah belaku kepada sebuah stesen televisyen apabila menyiarkan mengenai temubual seorang penduduk yang mengkritik PAS, sedangkan orang berkenaan adalah bekas pesakit jiwa.

Katanya, media sekarang terlalu ghairah dengan menyiarkan temubual orang tertentu tanpa usul periksa sehingga melakukan sesuatu yang di luar kewarasan.

"Sejak akhir-akhir ini PAS menerima kritikan dan kecaman yang begitu luar biasa," katanya pada ceramah pembubaran Cawangan Umno Air Canal di sini, baru-baru ini.

Pada majlis itu, bekas Ketua Cawangan Umno Air Canal, Ibrahim Jaafar mewakili 114 bekas Umno menyerah borang menyertai PAS kepada Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat. (SA)

Umno impikan kekayaan

KOTA BHARU:  Umno yang bercita-cita menawan Kelantan bukannya untuk memakmurkan negeri, sebaliknya berhasrat membolot segala kekayaan yang sepatutnya dimiliki rakyat.

Setiausaha Lajnah Penerangan Dewan Muslimat PAS Kelantan, Norhashimah Deraman, berkata pemimpin Umno hanya berhasrat membolot khazanah negeri seperti gas, minyak dan emas.

"Mereka bukannya hendak memakmurkan negeri dan jauh sekali untuk menjaga aqidah rakyatnya, sebaliknya bermimpikan hasil bumi yang bakal keluar menjelang tahun 2002 nanti," ujarnya ketika menyampaikan ceramah di Kampung Pasir Pekan, dekat sini, baru-baru ini.

Contohnya Terengganu, walaupun kaya dengan minyak, namun rakyat masih miskin. Beliau berkata, kedudukan kemiskinan di negeri itu di tahap ketiga, selepas Kelantan.

Umno ungkit bantuan

GUA MUSANG:  Penduduk miskin yang mendapat bantuan rumah di bawah Program Pembangunan Rakyat Termiskin (PPRT) diminta menghadiri satu kursus di Ladang Setiu, Terengganu yang dirasmikan Adun Dabong, Dato' Rozali Isohak.

Setiap peserta dibekalkan bendera dacing dan Umno sebelum pulang ke rumah. Seorang peserta dari Kampung Bertam berkata, pada majlis itu pihak Kesedar yang menyalurkan bantuan PPRT itu mengungkitkan segala bantuan yang diberi.

Seorang lagi penduduk dari Batu 11 memberitahu pemimpin Umno merayu mereka supaya memberi sokongan kepada Umno pada pilihan raya akan datang.

Sementara itu, Penghulu Kampung Kuala Sungai, Mohd Asri Abdul Rahim berkata, sejak akhir-akhir ini Umno sibuk mengatur program yang dihadiri wanita Umno dan mereka mencemuh Menteri Besar.

Ketua Pemuda PAS Bertam Baru, Saufi Abdul Razak menasihatkan suami memastikan isteri mereka tidak terbabit dengan program anjuran Umno itu. (MHI)
 
 

Harakah Kelantan