HINDARKAN DIRI DARIPADA TERMAKAN FITNAH
HINDARKAN DIRI DARIPADA MEMBACA AKHBAR HARIAN UM, BH, STAR, SUN & NEW STRAITS TIMES,
HINDARKAN DIRI DARIPADA MENONTON BERITA RTM & TV3.

BN Amalkan Ideologi Penjajah

Oleh Hassan Karim
(Naib Presiden, merangkap Ketua Penerangan PRM)

Penjajahan ada dua jenis. Satu dari luar dan satu lagi dari dalam. Penjajah Inggeris contohnya adalah penjajah dari luar. BN (dulu Perikatan) telah memerintah negeri ini selama 42 tahun. Genap pada 31 Ogos ini. Selama 42 tahun itu, Dr Mahathir Mohamad telah berkuasa selama 18 tahun. Selama itulah beliau memimpin BN. Adakah BN di bawah Mahathir merupakan satu bentuk penjajahan dari dalam?

Soalan itu boleh dijawab ya atau tidak, selepas meneliti benar atau tidak dakwaan bahawa BN di bawah Mahathir, khususnya mengamalkan ideologi penjajah.

Penjajah Inggeris berkuasa ke atas Malaysia sejak abad ke-18 dengan mengamalkan dasar pecah dan perintah. Dasar ini adalah teras bagi ideologi penjajah Inggeris. Rakyat Melayu, Cina dan India duduk terpisah-pisah, kegiatan ekonomi dipisah-pisah dan politiknya pun
dipecah-pecahkan. Kerana itu tiada kesatuan rakyat. Inggeris senang menjajah dan memerintah. Pada mula kemasukannya ke negeri ini, penjajah Inggeris memecah-mecahkan orang Melayu, khususnya kepimpinannya( Raja dan Sultan).

BN juga mengamalkan dasar pecah dan perintah. BN yang merupakan gabungan 14 buah parti yang berasaskan kaum, kebanyakannya, dapat hidup kerana meneruskan politik yang berasaskan kepada sentimen dan tuntutan perkauman. UMNO mendakwa mewakili kepentingan Melayu; MCA mendakwa mewakili kepentingan Cina; MIC mendakwa mewakili kepentingan India. Tiga parti utama komponen BN itu tidak mewakili kepentingan rakyat
keseluruhannya. Ertinya, seperti penjajah Inggeris, BN hidup atas dasar pecah dan kemudian perintah.

BN sangat cemburu dan marah jika ada percubaan parti-parti lain seperti PAS, DAP, PRM dan KeADILan  mahu mengwujudkan satu gabungan parti politik yang memperjuangkan kepentingan rakyat keseluruhannya. BN mengharapkan pakatan ini gagal. BN sangat khuatir kalau perpaduan antara parti-parti alternatif itu benar-benar terjadi. PRM dan KeADILan memang dua buah parti berbilang kaum. Jika PAS dan DAP dapat mengatasi masalah
antara mereka dan terbukti sekarang berasa selesa untuk bekerjasama, perkembangan ini amat menakutkan BN. BN khususnya UMNO dan MCA berharap PAS dan DAP terus bergaduh. UMNO dan MCA sedia jadi batu apinya.

Tetapi parti-parti alternatif sekarang sudah matang. Mereka mahu berperanan secara bertanggungjawab. Telah wujud sikap yang mahu melakukan anjakan paradigma di kalangan parti-parti alternatif. Politik pecah belah hanya akan menguntungkan BN. PAS, DAP, PRM dan KeADILan mahu membawa politik yang bersih, tidak perkauman, dan bertanggungjawab. Jika corak politik baru ini berjaya, BN tidak akan ada masa depan lagi.

Seperti penjajah Inggeris yang mengamalkan ideologi pecah dan perintah akhirnya kalah dan terpaksa berundur, maka begitulah juga nasib yang akan menimpa BN. Soalnya cepat atau lambat. Politik perkauman sempit sudah ketinggalan zaman. Sudah usang dan lapuk. Parti-parti dalam gabungan BN ialah parti-parti yang ketinggalan zaman, usang dan lapuk.
Rakyat perlu memilih alternatif yang baru.