HINDARKAN DIRI DARIPADA TERMAKAN FITNAH
HINDARKAN DIRI DARIPADA MEMBACA AKHBAR HARIAN UM, BH, STAR, SUN & NEW STRAITS TIMES,
HINDARKAN DIRI DARIPADA MENONTON BERITA RTM & TV3.

Isu Sebenar Pilihanraya

Oleh Hassan Karim

(Naib Presiden, merangkap Ketua Penerangan PRM)

Terdapat beberapa isu utama yang patut dipertimbangkan oleh rakyat semasa pilihanraya umum akan datang untuk menentukan parti mana yang patut memerintah: Barisan Nasional atau Barisan Alternatif.

Tetapi isu itu bukan isu kafir mengkafir; bukan isu Negara Islam; bukan isu Malaysia Malaysian. bukan isu wanita rupawan atau tidak rupawan; bukan isu buku Shit; juga bukan isu mencarut; tidak juga isu perbicaraan liwat atau sebagainya.

Sebaliknya, perkara yang menjadi isu utama adalah seperti berikut:

Isu Pertama: Tiga laporan polis yang telah dibuat oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim. (i) Laporan berhubung kes Rafidah Aziz terlibat dengan perlakuan rasuah (ii) Laporan berhubung penyelewengan dan rasuah dalam Perwaja (iii) Laporan berhubung perlakuan rasuah Menteri Kewangan Daim Zainuddin. Dalam ketiga-tiga laporan itu, Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad dibabitkan secara langsung. Tiga isu ini saja sudah patut bagi
rakyat menumbangkan BN tanpa teragak-agak.

Isu Kedua: Perbelanjaan boros dan membazir yang dilakukan oleh Dr Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri dengan projek-projek mega yang menjejaskan kedudukan kewangan dan ekonomi negara seperti projek rumah baru Perdana Menteri, Putrajaya, Cyberjaya, KLIA, KLCC, pesawat jet peribadi Perdana Menteri, Litar Formula One dan sebagainya yang berjumlah RM 150 bilion sepanjang Mahathir berkuasa. Isu ini saja sudah
cukup sebenarnya bagi rakyat tolak BN dalam pilihanraya kali ini.

Isu Ketiga: Pencabulan Pentadbiran Mahathir dalam prinsip keluhuran undang-undang. Contoh nyata telah  dibuktikan oleh Penyiasatan Suruhanjaya Diraja di mana kecederaaan sengaja telah dilakukan oleh Abd Rahim Noor, bekas Ketua Polis Negara  ke atas bekas Timbalan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim di dalam tahanan polis yang terletak di bawah
tanggungjawab Menteri Dalam Negeri ketika itu, Dr Mahathir Mohamad. Isu kezaliman seperti ini sudah sepatutnya menggerakkan hati rakyat menolak BN.

Isu Keempat: Amalan nepotisme dan kronisme di bawah pentadbiran Dr Mahathir Mohamad. Persoalan yang ditanya rakyat ialah bagaimana anak-anak Mahathir menguasai beratus-ratus buah syarikat;  bagaimana Petronas diperalatkan untuk menyelamatkan syarikat anaknya, Mirzan Mahathir; bagaimana Mahathir mengagih-agihkan projek-projek penswastaan kepada suku sakat dan penyokong kuatnya yang menjadi kroni-kroninya.
Rakyat ingin lihat senarai kroni-kroni Mahathir! Isu Kronisme dan nepotisme sudah selayaknya rakyat  menumbangkan BN dalam pilihanraya kali ini.

Isu Kelima: Isu penswasatan dan pengkorporatan kemudahan-kemudahan awam
seperti hospital kerjaan dan universiti-universiti awam. Isu ini menambahkan beban rakyat yang terpaksa memikul kesan penswastaan telekom, air, elektrik dan lebuhraya bertol.Jika BN tidak digantikan, beban penswastaan ini akan terus dipikul oleh rakyat. Isu ini saja sudah membolehkan rakyat menimbang patut atau tidak BN digantikan.

Segala kemungkaran yang disenaraikan di atas sama ada berbentuk rasuah dan penyelewengan itu tidak dapat dibetulkan semula sekadar dengan menyeru BN supaya diadakan sebuah Suruhanjaya Diraja untuk menyiasat. BN tidak akan benarkan Suruhanjaya Diraja untuk menyiasat kemungkaran yang dilakukannya sendiri. Jadi, tugas bagi rakyat ialah menolak BN dalam pilihanraya umum kali ini. Kita mulakan abad baru dan alaf baru ini
dengan sebuah kerajaan baru. Kita mulakan dengan zaman baru yang lebih segar. Setelah BN tumbang, Kerajaan Baru Alternatif mempunyai agenda utama mereka iaitu membentuk beberapa Suruhanjaya Diraja Bebas yang benar-benar bebas dan berwibawa untuk menyiasat ke akar umbi segala salah laku, rasuah dan penyelwengan yang dilakukan oleh Kerajaan Mahathir Mohamad sejak 18 tahun dia berkuasa.

2 Ogos 1999