BERITA MALAYSIA
August 05 , 1999 00:21AM
ZAHARAH TARIK BALIK ROMBAKAN, KATA DR MAHATHIR 
 
KUALA LUMPUR, 4 Ogos (Bernama) -- Ketua Wanita Umno Datuk Dr Siti Zaharah Sulaiman bersetuju untuk menarik balik rombakan exco dan pelantikan ketua pergerakan itu di dua negeri, kata Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad malam ini. 

Perdana Menteri berkata Siti Zaharah bersetuju untuk berbuat demikian selepas dinasihati olehnya. 

Bercakap kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat majlis tertinggi Umno di ibu pejabat parti di sini, Dr Mahathir berkata barisan kepimpinan pergerakan itu sekarang akan dikekalkan. 

Siti Zaharah tidak menghadiri mesyuarat selama satu setengah jam itu kerana sakit, kata Dr Mahathir. 

Isnin lepas Siti Zaharah mengumumkan rombakan itu yang termasuk pelantikan ketua baru bagi Pulau Pinang dan Wilayah Persekutuan dalam usaha memperkukuhkan lagi jentera pergerakan itu bagi menghadapi pilihan raya umum. 

Dalam rombakan itu, Senator Hajah Che Jam Harun dilantik sebagai Ketua Wanita Pulau Pinang menggantikan Hajah Sharifah Aminah Syed Mohamed manakala Mariany Mohamed Yit mengetuai Wanita Umno Wilayah Persekutuan menggantikan Azizah Abdul Samad. 

Siti Zaharah juga mengumumkan pelantikan Rokiah Bee Hassan sebagai Naib Ketua Wanita Umno Pulau Pinang dan pelantikan Surinam Sadikun sebagai Naib Ketua Wanita Umno Sabah menggantikan Datuk Dayang Mahani Tun Pengiran Ahmad 
Rafaie. 

Beliau turut mengumumkan pelantikan pengerusi bagi sembilan biro. Semua pelantikan itu sepatutnya berkuatkuasa mulai mesyuarat Pergerakan Wanita akan datang kira-kira dua minggu dari tarikh pengumuman Isnin lepas. 

Dr Mahathir berkata MT telah membangkitkan isu rombakan itu pada mesyuarat malam ini. 

Perdana Menteri berkata beliau menjelaskan kepada MT bahawa Siti Zaharah bersetuju untuk menarik balik rombakan itu dalam pertemuan mereka semalam yang turut dihadiri oleh Setiausaha Agung Umno Tan Sri Khalil Yaakob. 

"Dia (Siti Zaharah) memberi pengakuan itu depan Khalil. 

"Jadi pelantikan (baru) tidak berkuatkuasa sekarang. Dia tidak akan meneruskan penyusunan semula, sebaliknya dia akan kekalkan status quo (barisan sedia ada)," kata Dr Mahathir. 

Siti Zaharah juga memberitahu Timbalan Perdana Menteri dan Naib Presiden Umno Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi melalui telefon malam ini yang beliau (Siti Zaharah) menerima nasihat Dr Mahathir untuk menarik balik rombakan itu. 

Dr Mahathir berkata Wanita Umno telah "bergolak sedikit" selepas pengumuman mengenai rombakan itu. 

"Dengan itu, saya ada perbincangan dengan Ketua Wanita dan setelah perbincangan itu diadakan, dia bersetuju bahawa tindakan (rombakan) itu tidak akan merapatkan barisan sebaliknya menyebabkan pergolakan. 

"Dia (Siti Zaharah) setuju supaya pelantikan baru dan pengguguran itu dibatalkan," kata Dr Mahathir.

Ketika ditanya sama ada menjadi amalan bagi Ketua Pemuda dan Ketua Wanita Umno untuk membincang terlebih dahulu dengan Presiden parti sebelum sebarang rombakan dibuat, Dr Mahathir berkata Siti Zaharah "mungkin lupa" untuk berbuat demikian.

Ketika ditanya sama ada MT telah "mencampuri" urusan pergerakan itu dalam menimbulkan rombakan itu pada mesyuarat malam ini, Dr Mahathir berkata MT mempunyai "hak untuk membincangkan segala-gala" berkaitan parti.

"Tetapi dalam perkara ini, Ketua Wanita sudahpun menarik sebelum MT menyuarakan pandangan dan kekhuatiran mereka berkenaan perkara ini, dan saya jelaskan bahawa Ketua Wanita sudahpun membatalkan," katanya. 

Ketika ditanya sama ada keputusan itu dibuat kerana pemimpin-pemimpin Wanita yang digugurkan berjumpa dengan beliau, Dr Mahathir berkata walaupun mereka tidak berjumpa dengannya, beliau tetap akan menemui Siti Zaharah.

Dr Mahathir juga menjelaskan bahawa keputusan itu adalah keputusan Siti Zaharah sendiri selepas berbincang dengannya.

Ditanya sama ada keputusan menarik balik rombakan itu akan dilihat sebagai ketidakmampuan Siti Zaharah memimpin pergerakan itu, Dr Mahathir berkata: "Tidak ada jatuh apa. Itu semua emosional sahaja. Kita dalam Umno sedia bertolak ansur."

Mengenai nasihatnya kepada Siti Zaharah, Dr Mahathir berharap di masa depan, beliau berbincang terlebih dahulu dengan beliau.

Ditanya sama ada akan wujud kekeliruan di kalangan anggota parti terutamanya anggota Wanita berikutan keputusan untuk menarik balik rombakan itu, beliau menafikannya dan berkata pucuk pimpinan akan menjelaskan keadaan kepada mereka, terutamanya yang dilantik dalam rombakan itu.

Beliau juga berkata rombakan dalam parti di semua peringkat tidak akan dilakukan sehingga selepas pilihan raya umum akan datang. --BERNAMA