Teks Ucapan Penangguhan Haji Mahfuz Haji Omar Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat bagi sesi 1999 – 2001 di Muktamar Tahunan Dewan Pemuda PAS Pusat kali ke 40 bertarikh 27 Mei 1999 / 11 Safar 1420 bertempat Markaz Tarbiyah PAS Pusat, Taman Melewar, Gombak Selangor.

Assalamualaikum,

Yang mulia Tuan Pengerusi Tetap, Yang Dihormati saf pimpinan baru Dewan Pemuda PAS Pusat (DPP Pusat), Ketua-ketua Pemuda PAS Negeri, Para Perwakilan, Para Pemerhati muslimin dan muslimat yang dikasihi Lillahi taala.

Pertama sekali saya memanjatkan jutaan kesyukuran kepada Allah swt di atas limpah izin-Nya muktamar kita pada hari ini sampai kepenghujungnya. Saya juga mengambil kesempatan dalam ucapan penangguhan ini untuk mengucapkan berbanyak terima kasih di atas kepercayaan yang diberikan oleh para perwakilan kepada saya untuk menerajui penerusan perjuangan Pemuda pada alaf ketiga nanti. Saya memohon kepada Allah agar diberikan kekuatan untuk bekerja dengan penuh komitmen, iltizam dan ikhlas di dalam memimpin perubahan dan menjana kebangkitan Islam abad ke-21. Saya juga mengharapkan sokongan padu daripada semua ahli untuk sama-sama kita berusaha mengambalikan Islam ke tempat yang sewajarnya. Tidak lupa juga saya bagi pihak DPPP mengucapkan ribuan terima kasih kepada al-Fadhil Ust Abu Bakar Chik di atas dedikasinya memimpin dan membimbing perjuangan Pemuda yang penuh dengan mehnah dan tribulasi.

Milenium baru yang akan terpaksa kita hadapi 6 bulan lagi menjanjikan cabaran yang sangat besar kepada pergerakan PAS di dalam memimpin tajdid pada era nahdah Islam ini. Kebangkitan Islam pada penghujung alaf ini telah disioninimkam dengan usia kematangan Pemuda Pas yang memungkinkan kemampuan kita untuk memimpin perubahan. Seluruh dunia pada enam bulan terakhir alaf ini telahpun menyedari kejahatan dan kebejatan penganut-penganut sekular dan juga sistem sekular yang melingkari mereka. Kerana itu masyarakat antarabangsa begitu optimis untuk memilih agama sebagai wadah mengembalikan keadilan. Inilah megatrend yang sedang melanda seluruh dunia yang mendesak gerakan kita untuk berusaha lebih keras bagi mempastikan kita benar-benar bersedia dan tiba tepat pada waktunya ketika dunia mulai teraroh kepada kehidupan beragama. Kelewatan kita atau kelalaian kita memungkinkan kita gagal memanfaatkan peluang untuk memimpin perubahan ini. Apakan wajar masyarakat kita sekali lagi dibiarkan terus dipimpin oleh fahaman –fahaman ciptaan manusia yang menjadi third way akibat kelambatan kita menampilkan Islam sebagai alternatif yang memimpin perubahan ini.

Kekalutan pelbagai aspek kehidupan yang berlaku di negara ini akibat ketidakcekapan kepemimpinan BN telah menjerumuskan seluruh rakyat kepada kesulitan hidup. Natijahnya mereka bangkitn menuntut perubahan dan tercari-cari alternatifnya. Fahaman khurafat hanya BN yang boleh memerintah telah berjaya kita runtuhkan. Pengharapan yang sangat besar telah diberikan kepada kita untuk memimpin perubahan ini. Kerana itulah saya menggesa seluruh ahli pemuda agar terus mempertingkatkan kemampuan kita dengan memoptimumkan penggunaan segala sumber secara cekap dan berkesan untuk mempastikan kesimpulan yang bernas akan dibuat oleh rakyat pada pilihanraya umum ke sepuluh nanti.

Usaha-usaha untuk mencergaskan kebangkitan ini mestilah dijana sehingga ke seluruh ceruk negara. Masyarakat luar bandar, peneroka, petani, nelayan dan buruh kasar mesti disalurkan dengan maklumat yang secukupnya untuk mempastikan kelangsungan sokongan mereka. Gelombang kebangkitan ini tidak boleh dikisarkan di bandar dan kota sahaja, tetapi seluruh pelusuk negara mesti diterokai dengan tuntas oleh kita.

Serangan pemikiran yang dilancarkan oleh BN kepada masyarakat Non-Muslim telah berkali-kali menjejaskan peluang kita di dalam pilihanraya. Atas dasar itulah saya mengajak sahabat-sahabat sekalian agar kita bersikap terbuka kali ini denagn membuka ruang untuk berdialog dengan semua kaum dan membina jambatan dakwah yang boleh membuahkan kesan yang positif dalam peraduan pilihanraya nanti. Hubunagn dan kerjasama dengan parti politik alternatif dan NGO juga tidak harus diabaikan. Hudaibiyyah moden mesti dirangka dengan strategik untuk merealisasikan hasrat perubahan ini. Perpaduan yang menyeluruh yang dipimpin oleh kita akan mencorak warnakan keyakinan baru bahawa Islam boleh memimpin perubahan.

Para perwakilan, sidang muktamirin sekalian.

Disebalik persiapan external yang mesti kita bina, kemantapan jiwa dan mental semua ahli pemuda juga wajar kita persiapkan. Oleh kerana mesyuarat ke 40 ini adalah yang terakhir pada alaf ini, alaf datang akan menguji daya tahan dan persedian para pemuda yang dibina melalui tarbiyah yang disusun pada abad ini. Selain cabaran-cabaran strategik yang kita rempuhi, cabaran fizikal dan mental juga akan menentukan hala tuju dan hala cara pemuda pada alaf baru ini.

Para pemuda alaf baru diseru untuk menjiwai sifat-sifat para sahabat nabi yang telah mendukungi perjuangan Islam dengan gigih dan tabah pada zaman awal Islam dahulu. Keimanan yang kukuh, ketahanan yang utuh, kesungguhan yang menyeluruh, dan ketaatan yang teguh telah melahirkan pemuda Islam yang digeruni musuh.

Pemuda alaf baru ini mestilah menjadi para mujahid yang berjuang dan berpegang kepada prinsip. Komitmen dan iltizam yang akan meletak para pemuda sebagai pejuang yang bukan sahaja yang rindukan kemenangan tetapi keredhaan daripada Ilahi. Pemuda mesti bersedia menjadi rijalu da’wah war rijalu siasah.

Untuk mendepani alaf baru juga para pemuda mestilah bijak membina kekuatan diri sebagai ahli politik yang pintar memanfaatkan segala peluang yang boleh memberikan kredit kepada perjuangan. Pemuda bukan sahaja bertindak sebagai pemimpin tetapi pengurus yang cekap dan berkesan kepada gerak kerja jemaah sebagai penerus kepada operjuangan yang payah ini, Pemuda mestilah membina matlamat yang panjang. Sebahagian daripada para pimpinan telah pergi meninggalkan perjuangan. Para pemuda yang ada inilah akan menjana perjuangan pada masa akan datang. Alaf baru mestilah berwajah baru. Matlamat dan hala tuju perjuangan mesti dibina dengan halacara dan gaya baru yang menampakkan keyakinan sebagai pemenang pada alaf yang akan datang.

Kematangan usia 40 tahun yang penuh sarat dengan pengalaman ini sebenarnya telahpun mempersiapkan kita semua untuk mengambil alih kuasa politik dan ekonomi di negara ini setelah sangat jelas kepada dunia bahawa BN tidak relevan lagi. Penggabungan kekuatan dalaman dan persiapan luaran akan menjanjikan saat paling strategik untuk kita mencapai hasrat kemenangan. Insya Allah dengan kekuatan yang kita ada ini dunia tidak akan mampu lagi untuk menafikan bahawa kitalah pemimpin kepada pewrubahan.

Akhir kata saya menyeru kepada semua perwakilan agar sama-sama kita membina ukhwah, meningkatkan persefahhaman dan seterusnya kita terus berlumba-lumba untuk membuat kebaikan dengan menyumbangkan segala kemampuan kita untuk gerakan Islam. Saya sekali lagi mengucapkan terima kasih kepada pengerusi tetap, saf pimpinan, para perwakilan, Urusetia Muktamar, Unit Amal, para dermawan dan para pemerhati yang hadir pada hari ini yang memberikan sokongan kepada saya untuk memimpin sayap Hizbullah ini. Semoga muktamar yang kita lalui hari ini akan berakhir dengan harmoni dan bermanfaat untuk semua.