KINI
Isu No. 1 (26 Julai 1999)
Lebih Baik Tutup Bank -- Daim
Menteri Kewangan, Daim Zainuddin, berasa kecewa kerana bank-bank asing
memberikan lebih banyak pinjaman daripada bank-bank tempatan.Walaupun
kerajaan sudah cuba menubuhkan beberapa tabung wang untuk menolong
bank-bank tempatan, tetapi mereka masih tidak yakin memberikan
pinjaman.
“Lebih baik tutup sahaja bank-bank ini,” kata Daim dengan nada sinisnya. Beliau juga mengakui bahawa bank-bank di Negeri Thai dan Korea, dua buah negara yang lebih teruk dilanda kegawatan ekonomi dan terpaksa menerima syarat berat IMF, lebih banyak memberikan pinjaman berbanding bank-bank tempatan di negara ini.

Mahathir Percaya Konspirasi
Walaupun cuba menafikan wujudnya “konspirasi peringkat tertinggi” untuk memecat timbalannya yang lalu, Dr Mahathir sebenarnya yakin pada teori konspirasi. Dalam buku terbarunya, A New Deal for Asia, Mahathir menyalahkan spekulator asing “berpakat secara beramai-ramai dan sulit” untuk melemahkan ekonomi negara-negara Asia.
Tetapi dalam bahagian lain buku itu, yang dikarang oleh Tan Sri Noordin Sopiee, dia menafikan teori konspirasi antarabangsa pula. Agaknya, dua tukang tulisnya tidak sehaluan, akhirnya menelanjangkan bos mereka walaupun tak sengaja.
Tetapi pemerhati politik negara ini meragui penjelasan buku itu. Sebaliknya, penjelasan tersebut dilihat sebagai usaha Mahathir untuk membersihkan dirinya daripada kesilapan mengurus ekonomi negara. Malah, beliau dipercayai mengamalkan kronisme, nepotisme dan rasuah dalam mentadbir ekonomi negara.

Gani Patail Sah Terlibat
Dokumen asal dari Jabatan Peguam Negara - yang ditandatangani oleh Datuk Abdul Gani Patail - agar Menteri Industri dan Perdagangan Antarabangsa, Rafidah Aziz, didakwa kerana salah guna kuasa sudah dikeluarkan. Sebuah laman web, Laman Reformasi, menyiarkan teks penuh yang disalin semula dari teks asal yang mengandungi fakta-fakta lengkap kes tersebut.
Penerbitan rekod pendakwaan ini dipercayai ekoran laporan polis oleh Datuk Seri
Anwar Ibrahim yang mendakwa Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad, Peguam Negara, Tan Sri Mohtar Abdullah dan Datuk Gani Patail telah melanggar proses undang-undang yang berpatutan dengan melakukan pendakwaan terpilih (selective prosecution).

Pemandu Teksi Diugut
Pemandu teksi akan kehilangan lesen dan permit memandu jika memainkan kaset-kaset ceramah pembangkang di dalam teksi mereka, ugut Menteri Pembangunan Usahawan, Mustafa Mohd.  Tindakan yang sama juga akan diambil jika mereka mengkritik kerajaan ketika berbual-bual dengan penumpang. Amboi? Berbual-bual pun boleh diambil tindakan? Nampaknya, selepas kakitangan awam, siswa dan guru diugut “jangan mengkritik kerajaan”, kini pemandu teksi pula diugut oleh pemimpin BN agar tidak berbincang hal-hal politik. Jelaslah kini, kerajaan semakin takut kepada rakyat yang sedar penyelewengan-penyelewengan mereka.

Jalan Swasta Jauh Lebih Mahal!
Penswastaan jalan raya, seperti PLUS, telah menaikkan kos pembinaan jalanraya. Menurut sumber kerajaan sendiri, Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ketujuh, kos jalan yang diswastakan lebih MAHAL sebanyak RM14 juta setiap satu kilometer berbanding jalan raya yang disiapkan oleh pihak kerajaan. Kos jalan yang dibina kerajaan hanyalah RM11 juta setiap satu kilometer berbanding kos jalan yang dibina pihak swasta sebanyak RM25 juta setiap kilometer, iaitu 127% lebih mahal! Kononnya sektor swasta lebih cekap! Puncanya: kerajaan suka memberikan projek-projek penswastaan kepada syarikat-syarikat kroni. Janji kerajaan bahawa penswastaan akan menguntungkan rakyat hanya janji kosong semata-mata.

TNB Akan Naikkan Harga Api
Tenaga Nasional Bhd (TNB) akan menaikkan harga tarif tenaga elektrik kononnya jika
gagal mengawal pencurian tenaga. Pengerusi Eksekutif TNB menjelaskan bahawa syarikat itu kerugian 9 peratus setiap tahun akibat pencurian itu.
Sebenarnya, bekas pengerusi TNB pernah mengakui bahawa kontrak dengan pengeluar tenaga bebas (IPP) yang menyebabkan TNB mula rugi.  IPP itu banyak terdiri daripada kroni besar seperti Francis Yeoh, Genting, Malakoff (MRCB), dll., sedangkan kontrak dengan IPP menyebabkan harga beli TNB terlalu mahal, sedangkan harga jual kepada para pengguna sudah ditetapkan kerajaan.
Kenapa pula kita semua harus membayar kepada TNB kerana mereka gagal mengesan pencurian? Apakah salah rakyat sebagai pengguna elektrik? Apakah itu bermakna TNB dan kerajaan menggalakkan orang ramai mencuri elektrik?
Sepatutnya, TNB berusaha memperbaiki pengurusan dan meningkatkan kecekapan, dengan kerjasama polis, untuk mengesan pencurian dan menahan pencuri elektrik, bukannya merompak wang rakyat dengan menaikkan kadar tarif api elektrik!

Sah! Hospital Dikorporatkan dan Diswastakan 1 Januari 2000
Pengkorporatan dan penswastaan hospital akan menjadi kenyataan pada 1 Januari 2000.
Menurut sumber, satu mesyuarat pengarah-pengarah kesihatan negeri di Port Dickson pada April lalu telah membincangkan langkah pengkorporatan dan penswastaan tersebut. Sebelum ini, pihak kerajaan cuba menafikan desas-desus di kalangan masyarakat.
Pengkorporatan dan penswastaan hospital akan meningkatkan kos perubatan dan rawatan, membebankan golongan miskin, dan menjadikan khidmat kesihatan yang baik hanya untuk golongan berada. Sedangkan kesihatan, pendidikan dan kediaman sepatutnya diberikan pembiayaan dan khidmat yang baik dari pihak kerajaan. Tetapi selalunya kerajaan BN suka menswastakan sebarang khidmat yang boleh menguntungkan syarikat-syarikat kroni mereka!

Pemimpin dan Graduan IPT Desak Hapuskan Kronisme
Sekumpulan pemimpin dan aktivis pelajar sedang menjalankan kempen agar “kembalikan kuasa kepada rakyat”. Perkembangan politik kini semakin membimbangkan, jelas mereka dalam satu kenyataan. “Campur tangan pihak eksekutif dalam badan kehakiman, penyalahgunaan kuasa politik, ketidakadilan laporan media dan gejala rasuah” disebut sebagai isu-isu yang perlu diberikan perhatian oleh rakyat di negara ini. Dalam kenyataan yang sama, mereka merayu kepada para pengundi agar menolak parti-parti yang mengamalkan nepotisme dan kronisme serta politik perkauman dan menggunakan undang-undang untuk menyekat kebebasan rakyat.

Anggota BN desak ISA dihapuskan
Persidangan Perwakilan Nasional ke-28 Parti Gerakan hari ini, meluluskan usul meminta kerajaan memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA). Gerakan, salah satu anggota BN, meminta kerajaan menyemak semula undang-undang berkaitan keselamatan negara supaya hasratnya ke arah pemansuhan itu dapat dilakukan. Usul berkenaan bersama usul-usul lain diluluskan tanpa sebarang perbahasan oleh 1,700 perwakilan dalam persidangan dua hari yang berakhir di sini hari Ahad.
Sebelum ini, beberapa Ahli Dewan Rakyat dari Umno juga memohon akta zalim yang diwarisi dari penjajah itu dihapuskan. Parti-parti pembangkang selama ini menyalahkan kerajaan kerana menyalahgunakankan ISA untuk menahan tanpa bicara pemimpin dan aktivis mereka, malah semua pihak yang tidak disenangi pihak berkuasa.

Harga Saham Menjunam
Dua minggu lepas, indeks Bursa Saham Kuala Lumpul (BSKL) masih lagi melebihi paras 850 mata. Tengah hari Isnin, ia menjunam ke paras 783 mata akibat kehilangan keyakinan. Keadaan ini sudah dirasai lewat minggu lepas lagi apabila BSKL ditutup dengan paras 808 mata.

TAMAT

Hit the BACK button to return to previous page