KINI
Isu No. 2 (27 Julai 1999)
Yang Buruk, Semua Angkara Asing, Yang Baik, Kerana BN
Kejatuhan harga saham di BSKL disebabkan “faktor serantau”.  Pelabur-pelabur runcit kononnya “terpengaruh” dengan keadaan di negara-negara serantau dan “keyakinan pun merosot”, kata Utusan Malaysia.
Tetapi sebaliknya, “kejayaan” negara dikatakan hasil “kepimpinan negara ini”, jelas Berita Harian pula, yang mengutip pandangan Jawatankuasa Bersama LID (Dialog Antarabangsa Langkawi).
Memang propaganda demikian sering menjadi alat kerajaan Barisan Nasional meracuni pemikiran orang ramai. Mereka tidak pernah mengaku, walaupun sedikit, walaupun sekejap, kelemahan diri mereka sendiri.

Perwaja: Perlu Siasatan Terbuka -- Anwar
Isu Perwaja timbul semula selepas Datuk Seri Anwar Ibrahim, bekas Menteri Kewangan, melaporkan penyelewengan ini kepada polis. Semalam, Timbalan Speaker Dewan Rakyat menyatakan Perdana Menteri “tidak terlibat” dalam penyelewengan ini. Namun, dalam laporan polisnya, Anwar menyebutkan projek-projek Perwaja diluluskan dan ditandatangani oleh Perdana Menteri sendiri.
Dalam sesi Dewan Rakyat, Lim Kit Siang memohon agar isu ini dibahaskan segera, tetapi tidak dibenarkan oleh Timbalan Speaker. Semalam, Anwar, melalui isterinya Dr Wan Azizah, juga Presiden KeADILan, mendesak siasatan terbuka terhadap penyelewengan di Perwaja.
Perwaja mengalami kerugian RM1.9 bilion dan menanggung hutang sebanyak RM5.9 bilion. Pada tahun 1996 lagi, Anwar pernah cuba mendedahkan penyelewengan ini di Dewan Rakyat.

Bukan Gaya Kapitan: Tian Chua
KeADILan akan memberikan tumpuan yang saksama kepada semua kaum, termasuk Cina. Tetapi tidak menggunakan kaedah pentadbiran “gaya Kapitan Cina zaman penjajah”, ujar Naib Presiden parti itu, Tian Chua dalam satu wawancara dengan sebuah akhbar berbahasa Cina, Nanyang Siang Pau, semalam.
Dengan pentadbiran “gaya Kapitan”, tumpuan diberi oleh sesebuah parti kepada sesuatu kaum sahaja, seperti model Perikatan dan Barisan Nasional. Cara ini terbukti menajamkan semangat perkauman dan menguntungkan BN, tetapi merugikan rakyat dan negara. Malah, “gaya Kapitan” boleh membahayakan hubungan antara kaum, serta menimbulkan huru-hara.

Kes Sukma: Majistret Buat Silap
Kegagalan Majistret Abdul Karim Jalil menanyakan tujuan Sukma Darmawan Sasmitaat Madja membuat pengakuannya bahawa Sukma kononnya diliwat oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim merupakan satu kesilapan besar, dan oleh itu, keterangannya patut ditolak,  Mahkamah Tinggi di sini diberitahu hari ini.
Peguambela Anwar, Karpal Singh berkata tiada keterangan dikemukakan oleh pihak pendakwa untuk menunjukkan majistret telah bertanyakan Sukma akan alasan beliau mahu membuat pengakuan. (Sumber: Bernama)

JAKIM Tekan Khatib Tegur Kerajaan
Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), yang diketuai oleh Dr Hamid Othman, sudah mengenal pasti khatib-khatib yang menegur kerajaan melalui khutbah. Dalam satu laporan akhbar minggu lalu, hampir semua masjid di Wilayah Persekutuan dan Selangor menegur kerajaan dalam khutbah-khutbah mereka. Malah, seorang mufti memberikan kenyataan kononnya “tidak boleh menegur kerajaan melalui khutbah”.
Perkembangan ini membuktikan kerajaan menjadi kelam-kabut apabila rakyat bangkit menegur salah laku, skandal dan penyelewengan pemimpin-pemimpin kerajaan, yang dipercayai dari parti Umno. Perbuatan mengesan dan mungkin mengambil tindakan ke atas khatib-khatib ni bercanggah dengan Perlembagaan negara yang menjamin kebebasan bersuara dan kebebasan beragama. Tetapi kalau Umno hendak ambil tindakan, siapa boleh halang?

Fadhil Noor Nafi Tutup Media
Presiden PAS, Ustaz Dato’ Fadhil Noor menafikan laporan akhbar yang kononnya Barisan Alternatif akan menutup semua media jika mereka menang pilihan raya umum nanti. “Kenapa pula kita harus menutup media, kerajaan (yang dipimpin oleh Barisan Alternatif) juga memerlukan media,” jelas Fadhil lagi di satu ceramah umum semalam. Laporan akhbar, yang menyatakan beliau akan menutup media, merupakan satu lagi contoh putar-belit yang dilakukan oleh media pro-Umno dan BN.

Pelajar Luar Negara Turut Diawasi
Selain pelajar di IPT tempatan dan kakitangan kerajaan, pelajar Malaysia di luar negara juga bersama orang ramai yang semakin tidak yakin kepada kerajaan sekarang. Pelajar luar negara dalam kenyataan-kenyataan mereka menganggap kerajaan BN yang ada kini sebagai “zalim dan menyalah-gunakan kuasa” semata-mata untuk terus berkuasa.
Mereka juga mengkritik Perdana Menteri dan meragui kenyataan-kenyataan beliau dan menteri-menteri yang lain. Cara kerajaan menangani isu-isu politik juga dilihat kelam-kabut dan tidak masuk akal. Tetapi apakan daya pelajar yang menuntut keadilan ini, juga akhirnya “diawasi” oleh kerajaan.
Tindakan mutakhir ini dipercayai atas sebab-sebab kerajaan BN semakin bimbang penyelewengan semakin tersebar dan rakyat terus hilang keyakinan terhadap BN dan Umno.

Satu Lambang, Satu Nama -- Chandra
Barisan Alternatif mungkin akan menggunakan “satu lambang dan satu nama” baru di samping lambang parti masing-masing dalam pilihan raya umum nanti, jelas Dr Chandra Muzaffar, Timbalan Presiden KeADILan.
Usaha ini bertujuan memantapkan keyakinan rakyat terhadap kesatuan dan kemampuan Barisan Alternatif untuk mentadbir negara ini.

Nik Aziz Jelaskan Cara-cara Bersumpah
Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Aziz Nik Mat, menjelaskan bahawa dalam Islam, terdapat cara-cara bersumpah yang sudah ditetapkan - bukan cara Kristian yang dicadangkan pemimpin UMNO Kelantan, Tengku Razaleigh Hamzah. Caranya ialah melafazkan kata-kata “wallahi, wabillahi, dan watallahi”.
Bukannya bersumpah di depan al-Qur’an, bersumpah memegang al-Qur’an atau bersumpah menjunjung al-Qur’an. Cara-cara bersumpah yang tidak mengikut cara-cara bersumpah dalam Islam tidak diterima oleh Allah, dan sumpah itu dianggap batal.

Umno Tidak Setuju Hapuskan ISA
Pemangku Ketua Pemuda Umno, Hishamuddin Tun Hussein, hari ini berasa ISA dan Akta Universiti (AUKU) tidak perlu dipinda atau dihapuskan.  Beliau memberikan reaksi sedemikian apabila parti Gerakan, anggota komponen dalam BN, meluluskan usul dalam mesyuarat agungnya dua hari lepas supaya ISA dihapuskan.
Hari ini, Pemuda-Pemuda BN akan bermesyuarat tentang isu ini. Perkembangan terbaru ini menunjukkan desakan orang ramai dan kritikan Barisan Alternatif terhadap undang-undang zalim ISA semakin mendapat tempat, termasuk dalam kerajaan dan BN sendiri. Umno dipercayai akan menekan anggota-anggota BN yang lain agar tidak menghapuskan ISA.

Kes Rafidah: Bagaimana pula?
Tindakan Dr Mahathir campur tangan dalam usaha Jabatan Peguam Negara untuk mendakwa Menteri Industri dan Perdagangan Antarabangsa, Rafidah Aziz, MEMBUKTIKAN bahawa Perdana Menteri SENGAJA cuba menutup penyelewengan-penyelewengan di sekelilingnya.
Apakah Mahathir juga terlibat dengan penyelewengan-penyelewengan itu? Mengapa pula Eric Chia dilindungi Mahathir? Apa untungnya Rafidah Aziz tidak didakwa? Perbuatan melindungi penjenayah adalah satu kesalahan jenayah.

Mahathir Sorok Mahligai: Kenapa?
Putrajaya sudah didiami pegawai-pegawai kerajaan. Bangunan mewah dan megah Jabatan Perdana Menteri, jalan raya dan tiang lampu, tasik dan masjid, disiarkan di dada-dada akhbar harian. Orang ramai juga dibenarkan melawat Putrajaya.
Tetapi.... Kenapa foto mahligai mewah milik Perdana Menteri tidak disiarkan? Jauh sekali untuk mengharapkan orang ramai mendekati dan mengambil foto kenang-kenangan. Jika benar mahligai RM200 juta itu dibina atas persetujuan bekas Menteri Kewangan yang lalu, Anwar Ibrahim, berilah peluang rakyat lihat mahligai itu, dan mendedahkan contoh penyelewengan Anwar.
Aduhai Mahathir, kenapa hendak sorok-sorok pula?

Skandal Perwaja: BPR Gagal -- PRM
BPR gagal menjalankan tanggungjawabnya membanteras rasuah dalam kes penyelewengan Perwaja. Setelah hampir tiga tahun kes Perwaja dilaporkan ke Parlimen oleh bekas Timbalan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim, BPR masih tidak selesai melakukan penyiasatan.
Usahkan tindakan pendakwaan di mahkamah dilakukan, penyiasatan pun tidak siap-siap, demikian menurut Hassan Karim, Ketua Penerangan PRM. “Kelewatan ini sengaja dilakukan dengan tujuan untuk menutup penyelewengan dan rasuah yang berlaku.”
Sekarang, Anwar sekali lagi mendedahkan isu penyelewengan Perwaja. Beliau telah membuat laporan polis dari dalam penjara. Beliau mendakwa Perdana Menteri, Dr Mahathir terlibat secara langsung dalam kes tersebut.
Sebelum ini, parti-parti pembangkang, NGO dan individu perseorangan tidak henti-henti mendesak BPR dan Perdana Menteri supaya menyelesaikan segera penyiasatan kes Perwaja. Sampai sekarang, BPR memberi alasan yang lapuk, iaitu penyiasatan lewat kerana susah mendapat kerjasama pihak-pihak di luar Malaysia.

BN pinggirkan pelajar universiti -- Rustam Sani
Naib Presiden PRM, Rustam A Sani, membidas sikap kerajaan BN yang mengkambing-hitamkan pelajar-pelajar di IPT tempatan. Dengan menggunakan undang-undang yang zalim, Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU), pelajar dilarang terlibat dengan politik.
Rustam menyifatkan dasar-dasar pendidikan UMNO-lah yang menyebabkan pelajar Melayu gagal atau lemah. Sebagai pemimpin negara dari Umno,Mahathir tidak wajar menyalahkan orang lain. “Tangisan itu”, merujuk esakan Dr Mahathir di Kedah minggu lalu, “sepatutnya kerana menyesali kegagalan dirinya sendiri,” ulas Rustam lagi. Bagaimana pemimpin negara yang memerintah selama 18 tahun dan parti yang menguasai negara ini selama lebih 40 tahun boleh menyalahkan orang lain atas dasar-dasar yang digubalnya?
Ahh... lakonan lagi!

Harakah Ditekan Lagi
Akhbar Harakah hari ini diingatkan oleh Timbalan Menteri Dalam Negeri supaya “jangan melampau”. Kononnya, Harakah melaporkan berita-berita yang boleh menimbulkan “huru-hara dan keadaan tidak stabil”, ujar beliau lagi.
Namun, kenyataan itu mencerminkan ketakutan pihak Umno dan kerajaan BN kepada pengaruh Harakah dan Barisan Alternatif. Sejak Oktober tahun lalu, Harakah telah meningkat jualannya dari 60,000 setiap keluaran kepada 300,000 setiap keluaran apabila rakyat negara ini tidak lagi percaya pada berita-berita akhbar harian dan TV.

TAMAT

Hit the BACK button to return to previous page