KINI
Isu No. 3 (28 Julai 1999)
 
BSKL Bukan Petunjuk Ekonomi -- TPM
Indeks Bursa Saham Kuala Lumpur yang rancak naik sebelum ini, dan kononnya “petanda” ekonomi negara sudah pulih, sudah menjunam dengan banyaknya sejak akhir minggu lalu. Timbalan Perdana Menteri kelmarin mengakui apa yang telah lama dinyatakan oleh Alernatif, iaitu “indeks BSKL bukan satu-satunya petunjuk ekonomi.” Lagi pun, “memang kebiasaannya indeks itu ada naik dan turun,” jelasnya lagi.
Amboi, kalau indeks naik, petunjuk ekonomi. Kalau indeks turun, petunjuk apa?

Perwaja: Memang PM Terbabit
Dua surat yang ditandatangani Perdana Menteri bagi meluluskan projek-projek Perwaja menjadi bukti bahawa beliau sendiri terlibat dalam penyelewengan syarikat itu. Oleh itu, tuduhan kononnya keputusan itu diambil secara “muafakat” dan membabitkan bekas Menteri Kewangan, Anwar Ibrahim, merupakan satu lagi usaha mengelirukan orang ramai.
Bagaimanapun, hanya sebuah akhbar berbahasa Cina, Sin Chew Jit Poh yang melaporkan kenyataan Anwar Ibrahim yang mendakwa Perdana Menteri sendiri yang memberi kelulusan. Penjelasan Anwar ini sejajar dengan laporan beliau kepada polis. Pada hujung 1995 lagi, Perwaja mengalami kerugian RM3,000 juta, tetapi anggaran terbaru menunjukkan kerugian di sekitar hampir RM7,000 juta.

Perwaja: Eric Chia Masih Bebas
Ketua Pengarah Badan Pencegah Rasuah (BPR), Datuk Ahmad Zakri Husin, menafikan bahawa bekas Pengurus Besar Perwaja, Datuk Eric Chia, sudah ditahan polis. Paspot Eric Chia juga tidak ditarik polis.
Katanya, pihak polis juga belum lagi menghubungi BPR. BPR hanya menyiasat sejumlah RM76.4 juta, sementara jumlah selebihnya dikelaskan sebagai “kecurian atau jenayah penyelewengan hartabenda,” jelas Ahmad Zakri lagi.
Untung juga jadi kroni PM.

ISA Masih Kekal -- Pemuda BN
Pemuda Barisan Nasional (BN) hari ini memutuskan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), yang diwarisi dari penjajah Inggeris, mesti dikekalkan. Pemuda BN yang bermesyuarat semalam menolak usul Gerakan, sebuah parti anggota BN. Pengerusinya, Hishamuddin Tun Hussein, menegaskan “akta ISA masih diperlukan lagi dan belum sesuai dihapuskan atau dipinda buat masa ini.”
Hishamuddin juga turut mempertahankan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU), malah menganggap peraturannya tidak cukup ketat.

Siapa Dewakan IMF?
Timbalan Perdana Menteri menuduh PAS “mendewa-dewakan IMF”. PAS selama ini menganggap pemulihan ekonomi kerajaan tidak berjaya, jika dibandingkan beberapa negara Asia yang lain. Sambil menyebut Laporan Eksekutif IMF (Tabung Kewangan Antarabangsa) yang “memuji” ekonomi Malaysia, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menyelar sikap PAS itu.
Siapa sebenarnya yang mendewa-dewakan IMF? Kalau tidak dewakan IMF, kenapa Pak Lah mesti sebut sanjungan IMF terhadap Malaysia dalam laporan itu?

Rundingan Proton-Petronas Tamat
Rundingan antara Petronas dengan DRB-Hicom untuk membeli saham Proton sebanyak 27.2 peratus sudah siap. Persetujuan tertentu sudah pun dicapai, jelas Pengerusi DRB-Hicom. Usaha ini  dilihat satu lagi bentuk Petronas “menyelamatkan” sebuah lagi syarikat kroni.

Pegawai SPR Hadiri Program Umno
Parti KeADILan Nasional mempertikaikan kehadiran seorang pegawai Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) di satu program anjuran Umno di sebuah daerah di Perak. Sepucuk surat mengenai hal ini sudah pun diedarkan.
KeADILan bimbang kehadiran Pegawai SPR daerah itu menunjukkan “pakatan” antara Umno dengan pihak SPR. Kehadirannya menguntungkan Umno dan boleh mengakibatkan prejudis kepada Barisan Alternatif.
Namun, Menteri Besar negeri itu, Ramli Ngah Talib mempertahankan tindakan Abdul Rahim Salleh, yang juga seorang Pegawai Daerah, menghadiri majlis itu.

Swasta Kurang Yakin Pemulihan?
Pihak swasta di negara ini dikecam hari ini kerana tidak bekerjasama dengan kerajaan menyebarkan “maklumat-maklumat pemulihan ekonomi” di luar negara.
Dalam kenyataan yang sama, Pengerusi MAS, Tajuddin Ramli, juga menjelaskan bahawa pencapaian MAS masih belum memuaskan.

Rang Perlindungan Pengguna untuk Pilihanraya -- PAS, DAP
Rang Undang-undang Perlindungan Pengguna yang dibentangkan dan diluluskan di Dewan Rakyat disifatkan sebagai satu “kempen pilihan raya”, hujah wakil-wakil dari DAP dan PAS. M Kulasegaran dari DAP menyifatkan “rang undang-undang itu lemah dan tidak memberi perlindungan secukupnya kepada pengguna,” laporan dalam Berita Harian dipetik.

Sementara Mohamad Sabu dari PAS mahukan isu halal-haram makanan dimasukkan ke dalam Tribunal Tuntutan Pengguna. Sementara Tan Kok Wai dari DAP mempertikaikan mengapa pengguna tidak boleh mengambil peguam apabila membawa kesnya ke tribunal itu.
Oleh itu, wakil-wakil Barisan Alternatif menyifatkan rang tersebut bukannya untuk perlindungan pengguna tetapi semata-mata alat kempen politik BN.

Debat di RTM: Khalil Takut Kerajaan Dimalukan
Menteri Penerangan dan juga Setiausaha Agung Umno, Tan Sri Khalil Yaakob bimbang jika diadakan debat antara Umno dan PAS di stesyen TV milik RTM, kerajaan akan menerima malu. Dengan sikap buruk sangkanya, Khalil berhujah “PAS bukan hendak berbahas, PAS hanya bertujuan memalukan kerajaan.” Beliau mengulas isu debat antara Ketua Pemuda PAS dengan
Pemangku Ketua Pemuda Umno.

Mahathir Takut Komputer
Pakar perancang Koridor Raya Multimedia (MSC), dan juga Perdana Menteri, hari ini memberi amaran “bahaya komputer kepada negara-negara membangun”, lapor The Sun. Beliau juga menyindir beberapa perkembangan baru dalam dunia perkomputeran seperti kerajaan elektronik
(e-government) dan perdagangan elektronik (e-commerce).
Dua perkembangan ini sebenarnya sudah dimasukkan sebagai dua program utama MSC. Aik? Bagaimana pula Mahathir boleh takut pada komputer dan perkembangan baru dunia teknologi maklumat? Sejak internet digunakan untuk mendedahkan penyelewengan beliau....

TAMAT

Hit the BACK button to return to previous page