MUKTAMAR TAHUNAN PAS KE 45

USUL TERIMA KASIH DAN PERBAHASAN UCAPAN DASAR DEWAN PEMUDA PAS PUSAT.

Tuan Pengerusi tetap, Y.B. Dato Presiden dan pimpinan Pas pusat yang dihormati,

Assalamu’alaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Saya Nasharudin Mat Isa mewakili Dewan Pemuda Pas Pusat pertamanya menyokong penuh ucapan dasar Dato’ Presiden yang komprehensif, tepat dan relevan dengan realiti semasa perjuangan Pas.

Ucapan tahniah ke atas saf kepimpinan yang telah berjaya meneraju PAS melangkah masuk ke alaf baru dengan sikap yang konsisten untuk membela keadilan yang telah dan sedang dinodai oleh Barisan Nasional. Kezaliman dan pencabulan keadilan telah menjadi begitu ketara ditaja dan dilaksanakan oleh kerajaan Barisan Nasional terhadap rakyat Malaysia.

Kami Dewan Pemuda Pas Pusat berikrar bahawa keadilan yang diperjuangkan oleh PAS akan kami pertahankan sampai ketitisan darah yang terakhir. Harapan yang diberikan oleh Y.B Dato’ Presiden kepada Dewan Pemuda didalam ucapan dasar tersebut kami anggap sebagai amanah yang akan kami pikul dalam memenuhi cita cita mewujudkan Daulah Islamiyah bersandarkan kepada firman Allah :

 

 

Mereka itulah kumpulan pemuda yang beriman dengan tuhan mereka dan kami tambahkan kepada mereka petunjuk, dan kami ikat pada hati hati mereka, ketika mereka bangun dan berkata Tuhan kami adalah tuhan langit dan bumi dan kami tidak sekali kali memanggil selain daripadanya sebagai sembahan.

Al Kahfi 13 –14.

 

Sidang perwakilan sekelian,

Tajuk ucapan dasar ‘Bersama Menegakkan Keadilan’ adalah merupakan satu lagi komitmen yang dibina di atas tuntutan syara’ yang telah dan akan terus diperjuangkan oleh PAS. Kita tidak pernah berganjak dalam mempertahan dan memperjuangkan prinsip ini. Maka itulah apabila keadilan diliwat dan dicabul oleh Kerajaan Barisan Nasional khasnya UMNO, kita bangkit membela walaupun ada diantara mereka yang dibela itu pernah menjadi lawan kita. Kes Dato’ Sri Anwar Ibrahim, kes Sdr. Lim Guan Eng adalah contoh kes keadilan yang menjadi khasaais Islam yang perlu dipertahankan.

Ibnu Khaldun ketika menganalisa isu ketidakadilan telah menyebut didalam Muqaddimahnya bahawa………dengan izin (cout) ‘ The lesson this (story) teaches is that injustice ruins civilisation. The ruin (of civilisation) has its consequence the complete destruction of the dynasty…The proven fact is that civilisation inevitably suffers losses through injustice and hostile acts’ (uncout) TERJEMAHANNYA: Pengajaran dari kisah ini mengajar kita bahawa ketidakadilan akan meruntuhkan tamadun. Keruntuhan tamadun pula akan memberi kesan kepada runtuhnya dinasti. Tidak dapat dinafikan lagi bahawa tamadun itu hancur melalui ketidakadilan dan tindakan tindakan yang ganas.

Perjuangan PAS hari ini bukan sahaja telah diterima oleh masyarakat Malaysia tetapi juga telah diiktiraf oleh orang asing. Ini dengan jelas terbukti dimajlis perasmian muktamar yang ke 45 kelmarin dengan kehadiran sejumlah yang ramai dari Kedutaan kedutaan dan Perwakilan Luar Negeri di Malaysia seperti Iran, Bangladesh, Singapura, Australia, Perancis, German, Belgium dan Austria. Mudah mudahan keyakinan dan harapan mereka ini kita kekalkan dengan membuktikan kemampuan PAS untuk mentadbir bukan sahaja sebuah jemaah, tetapi sebagai parti alternatif untuk mentadbir sebuah negara.

Kita akan melangkah keluar dari muktamar ke45 ini dengan pilihanraya menjadi agenda utama. Bahang bahang pilihanraya sudah mula dirasakan. Harga getah sudah diiklankan akan naik, guru guru D sudah diiklankan akan mendapat kenaikan gaji dan ada juga desas desus yang mengatakan bahawa kakitangan kerajaan akan mendapat bonos seratus ringgit sebulan untuk tempoh enam bulan.

Serangan demi serangan keatas parti parti pembangkang khasnya PAS sudah menjadi semakin agresif. Beberapa isu sudah mula dimainkan oleh Barisan Nasional khasnya UMNO yang semakin menggelabah melihat sokongan massa terhadap PAS.

Khurafat hanya UMNO sahaja boleh memerintah sedang menjadi zikir harian mereka. Sentimen perkauman menjadi senjata utama yang telah dan akan digunakan untuk mengkaburi pemikiran rakyat. Orang Melayu dihasut dengan agenda kelangsungan ketuanan Melayu. Orang Melayu tidak akan makan kalau PAS memerintah, orang Melayu tidak boleh ke sekolah kalau PAS menjadi kerajaan. Orang Melayu akan mundur dan dijajah kalau PAS diberikan mandat. Khurafat dan bidaah ini ditaja oleh UMNO untuk menunjukkan satu bukti yang jelas bahawa mereka tidak mahu kepada dan tidak pernah serious dalam membela Islam

Bagi orang bukan Melayu dan bukan Islam pula, mereka dihasut dengan imej PAS dan Islam yang berbentuk ekstreme. Orang orang Cina khasnya ditakutkan dengan isu tergadainya budaya Cina mereka, apabila PAS dan Islam berkuasa. Perbalahan kaum akan berlaku dengan begitu dahsyat sehingga nanti orang Cina akan dihalau keLaut Cina Selatan. Orang Cina akan disembelih dan apa yang berlaku di Indonesia akan berlaku di Malaysia.

Tidak pernah tercatat didalam sejarah Islam orang orang bukan Islam dianiaya di dalam negara Islam. Rasulullah s.a.w. melayani orang orang bukan islam dengan begitu mulia. Diriwayatkan bahawa baginda telah berpesan agar kaum Muslimin memberikan layanan yang baik kepada kepada orang orang qibti Mesir sbdanya ‘ kamu hendaklah bersikap baik kepada orang orang qibti kerana kamu mempunyai hubungan keturunan dan kekeluargaan dengan mereka. Al Walid bin ‘Uqbah, seorang gabenor saidina Othman di Iraq, telah mebenarkan orang Kristian Iraq memasuki masjid, sering memberikan mereka bantuan dan juga saraan hidup bulanan. Dalam zaman pemerintahan Bani Umayyah, penyair masihi, Al Akhtal bebas memasuki masjid masjid di kota Dimashq dan Kufah pada masa pemerintahan Abd. Malik Bin Marwan. Dalam pemerintahan kerajaan Abbasiyah, Jibril bin Bakhtishu seorang Kristian, menjadi doktor peribadi kepada Khalifah Harun Al rashid dengan gaji sebanyak 10,000 dirham. Dalam zaman pemerintahan Kerajaan Islam Othmaniah, Langkah pertama yang diambil oleh Sultan Muhammad Al fateh sebaik sahaja menawan kota Constantinople ialah dengan mengisytiharkan dirinya sebagai protector (pengawal) kepada gereja gereja Greek. Dalam zaman pemerintahan kerajaan Tuluniyah antara polisi yang dilaksanakan oleh Ahmad bin Tulun adalah membenarkan orang bukan Islam untuk menghayati syiar agama mereka tanpa campur tangan dari pemerintah.

PAS hendaklah mengatur program yang lebih proaktif dalam menanggani persoalan non Muslim ini. Dewan Pemuda PAS akan memberikan sokongan dan kerjasama yang sepenuhnya dalam memenuhi tuntutan ini. Sejarah telah membuktikan bahawa Islam bukan asing bagi orang Cina. Salah satu teori kemasukan Islam keTanah Melayu adalah melalui negeri Cina. Fakta sejarah membuktikan kemasukan Islam kenegeri China bermula sejak Dinasti Tang di abad ketujuh Masehi., Lama sebelum Islam sampai ke rantau Nusantara. Para Ulama dan cendiakawan Islam di China telah memberi sumbangan besar dalam pembentukkan budaya masyarakat Cina dan memperkayakan tamadun mereka. Laksaman Cheng Ho yang diutuskan keTanah Melayu adalah seorang daripada pegawai Islam dibawah pemerintahan Dinasti Ming. Dalam sejarah moden China, didalam peperangan dengan Jepun, pemerintah tentera China adalah seorang Muslim iaitu General Omar Bai Chung Si. Islam dinegeri China dikenali sebagai Ching-Zhen Jiao yang bermaksud ‘ugama kebenaran dan kesucian’ atau the religion of truth and purity.

Kenapa UMNO menakutkan orang Cina dengan Islam sedangkan orang China lebih dahulu menerima Islam dari mereka. Sebenarnya mereka bukan sahaja menakutkan orang China dengan Islam tetapi hakikatnya adalah mereka sendiri yang takut pada Islam. Masyarakat bukan Islam di negara ini, khususnya kaum Cina tidak usah terpedaya dengan dakwaan karut dan menghasut oleh UMNO dan MCA terhadap konsep negara Islam. Kepada orang Cina dan non muslim, kita ingin menyatakan bahawa 'if you want to know about Islam come to PAS and not UMNO because the UMNO perception of Islam is a distorted perception'.

Persoalannya bagi kita orang PAS adalah apakah yang sudah kita lakukan dalam memenuhi tanggungjawab ini? Kita terpaksa menyebut bahawa kita lebih bersifat reaktif dan mungkin juga passif dalam menanggani isu ini.

Pendekatan yang lebih strategis hendaklah diatur untuk membawa orang bukan Islam kepada Islam dan PAS. Dewan Pemuda Pas mencadangkan agar diperbanyakkan dialog dengan non Muslim. Dialog antara kaum dan antara agama yang bukan sahaja dibuat didalam Bahasa Malaysia tetapi juga Bahasa Inggeris dan lain bahasa untuk memudahkan kefahaman terhadap Islam dan PAS disalurkan., hendaklah diperbanyakkan. Dialog peradaban atau pun mungkin juga sebuah Pusat Dialog Peradaban Antara Kaum dan Agama ditubuhkan sebagai satu strategi jangka panjang dalam memenuhi kesinambungan dakwah. Perbincangan antara agama dan kaum ini pula hendaklah turun sampai keakar umbi dan jangan hanya tertumpu sebagai aktiviti Pas Pusat.

Dalam rangka untuk menghadapi cabaran terkini, Dewan Pemuda Pas telah memilih "Memimpin Perubahan’ sebagai tema muktamar kami yang ke40. PAS hendaklah memimpin arus perubahan dan reformasi yang sedang berlaku didalam tanahair. Kita tidak mampu untuk menghadapi bala Ahzab Barisan Nasional sendirian. Sikap keterbukaan PAS dalam period terakhir ini telah memberikan satu kesan yang ketara dalam senario politik Malaysia.

Ahli ahli juga hendaklah memiliki kepekaan dan kesedaran ini dengan kita menjadi ‘qudwah hasanah’ kepada mereka yang menyatakan kesudian dan kerelaan untuk bersama dengan PAS. Perubahan yang kita programkan adalah perubahan secara total. Kita ingin mencabut akar jahiliah Barisan Nasional dan UMNO sehingga tidak boleh lagi mereka tumbuh dimana mana tanah Allah s.w.t diatas muka bumi ini. Oleh kita harus berganding dengan mereka yang inginkan perubahan. PAS telah meletakkan garis panduan dalam memimpin perubahan ini dan wala’ kepada kepimpinan hendaklah diwujudkan untuk kita menguatkan saf. Arus perdana yang dibentuk oleh PAS adalah ruang terbaik untuk membina Islam yang dibawa oleh PAS diatas keruntuhan jahilah yang ditaja oleh UMNO.

Dewan Pemuda Pas Pusat juga menyeru semua badan Islam untuk bersama dengan PAS bagi mewujudkan satu kekuatan yang insyaAllah akan melahirkan keberkatan dan kemenangan. Bagi badan badan bukan Islam pula, perjuangan PAS adalah bersifat universal kerana Islam itu adalah universal. Dalam hal yang berkaitan dengan adat dan kepercayaan, Islam melarang diwujudkan sebarang paksaan tetapi dalam hal yang ada kepentingan bersama, Islam tidak pernah melarang untuk kita berganding bahu dan ruangnya adalah begitu luas.

Prof. Dr. Muhammad Kamal Hassan dalam International Seminar The Role Of Islamic Civilisation in Fostering Interreligious Understanding baru baru ini menyebut bahawa umat Islam diseluruh dunia hendaklah melakukan dua jenis reformasi untuk mengembalikan zaman keemasan Islam. Pertama adalah reformasi pendidikan dan kedua reformasi politik. Reformasi politik yang beliau cadangkan adalah (a) pemerintahan Islam atas prinsip syura (b) badan kehakiman, eksekutif dan perundangan yang bebas(c) tanggungjawab (accountibility) mereka yang berkuasa dihadapan Allah dan rakyat (d) kesamarataan undang undang keatas semua rakyat tanpa mengira status sosial (e) pilihanraya yang bebas (f) keadilan ekonomi dan sosial dan menghormati hak asasi manusia (g) menghadkan had maksimum pemimpin politik dan peralihan kuasa yang licin (h) tidak campurtangan pihak tentera dan lain lain.

Dewan Pemuda Pas meyakini cadangan cadangan ini akan hanya dapat terlaksana dalam konteks kita di Malaysia apabila kerajaan alternatif yang diterajui oleh PAS mengambil alih pucuk pimpinan dan pentadbiran Malaysia selepas pilihanraya yang kesepuluh tidak lama lagi.

Sekian.

Wabillahitaufiq walhidayah, wassalamullah alaikum jamian warahmatullahi wabarakatuh.