UCAPAN DASAR PRESIDEN
DI MUKTAMAR TAHUNAN PAS KE 45
 

MUQADDIMAH

ISU KEADILAN
KEADILAN POLITIK
KEADILAN UNDANG-UNDANG
KEADILAN EKONOMI
PENDIDIKAN DAN SOSIAL
KEADILAN MENYELURUH
EKONOMI DARI PERSPEKTIF PAS
PERKHIDMATAN KESIHATAN
PEMBANGUNAN INSTITUSI KELUARGA
PEMBANGUNAN TEKNOLOGI MAKLUMAT
PAS DAN PILIHANRAYA
BERSAMA MENEGAKKAN KEADILAN
KELANTAN TERUS MEMBANGUN
PAS DAN RAKYAT BUKAN ISLAM
SENARIO DUNIA ISLAM
PEMANTAUAN ORGANISASI PARTI

PENUTUP
 
 


MUQADDIMAH

Bersyukur kita ke hadrat Allah s.w.t kerana dengan limpah kurnianya dapat kita berhimpun di Majlis Perasmian Muktamar  Tahunan PAS Ke-45 selama tiga hari ini.  Bagi pihak saf pimpinan PAS saya mengucapkan selamat datang dan setinggi-tinggi terima kasih atas kehadiran tetamu kita yang dapat kami tafsirkan sebagai simbolis sokongan bulat kepada perjuangan PAS selama ini.  Demikian juga dengan kehadiran rakan-rakan dari parti politik pembangkang lain yang sama-sama mendukung perjuangan kemanusiaan, menegakkan keadilan dan memulihkan kebebasan di negara ini. Kepada para perwakilan dan pemerhati, saya mengucapkan selamat bermuktamar dalam suasana yang sungguh meyakinkan tentang perjuangan kita untuk menegakkan amar makruf nahi munkar.

 Pada kesempatan ini saya juga mengalu-alukan kehadiran ahli baru PAS ke muktamar ini dan saya cukup terharu dengan penyertaan ahli baru yang mencecah lebih 100,000 orang dalam masa beberapa bulan terakhir ini,  sekaligus menggambarkan penerimaan mereka akan kebenaran wadah yang diperjuangkan oleh PAS di bawah kepimpinan Ulama’.  Di sini begitu terserlah kegigihan ahli lama dan baru PAS berganding bahu menggerakkan  jentera PAS seluruh negara terutamanya menjelang pilihanraya umum yang akan segera tiba ini.  Mereka ini yang datang dari pelbagai golongan dan latar belakang pendidikan menyatukan tenaga melaksanakan semua tugas dengan penuh semangat pengorbanan.  Ini menyebabkan wajah PAS begitu ceria dan sangat menyakinkan.  Pendukung lama dan baru ini dapat saya rasakan benar-benar sedang menyiapkan diri untuk menjana kemenangan.  Di mana-mana juga suara dan gema kemenangan Islam sudah kedengaran dan ia seperti telah berada di tengah kita.  Inilah hasil perjuangan kita yang hampir setengah abad, sambung bersambung dari generasi demi generasi.  Kita menjadi mata rantai perjuangan yang panjang ini dan Insya Allah seperti yang dijanjikan oleh Allah s.w.t kepada orang mukmin, kemenangan Islam itu pasti tiba.  Kegelapan akan betukar menjadi terang benderang, kita memandang masa depan Islam yang sangat meyakinkan.  Inilah sebabnya saya merasa sangat terharu pagi ini dan saya rasa setiap orang di sini juga berkongsi perasaan ini.  Tetapi kita jangan lupa perjuangan kita masih panjang, kita masih berdepan dengan pelbagai mehnah dan fitnah, cabaran dan ujian.  Semua ini menuntut kekuatan peribadi kita, kebulatan jamaah, istiqamah dan sebagainya.

 Kita bermuktamar kali ini dengan suasana penuh kegawatan dalam semua bidang kehidupan, ketika kezaliman bermaharajalela yang memangsakan sesiapa sahaja yang difikirkan menjadi musuh pada parti yang memerintah.  Peristiwa yang berlaku sejak setahun yang terakhir ini menyaksikan suasana yang cukup tegang dengan tercetusnya pelbagai peristiwa akibat dari tindakan zalim Barisan Nasional.  Gelombang kesedaran rakyat untuk menuntut perubahan demikian ketara sekali,  sesuatu yang belum pernah berlaku sebelum ini.  Kerajaan Barisan Nasional menghadapi penentangan rakyat yang cukup jelas,  malangnya mereka menolak hakikat ini dan masih berkhayal kononnya rakyat masih menyokong mereka.  Kita di dalam PAS cukup sedar dengan aspirasi rakyat yang mahukan perubahan ini,  sebab itu kita memimpin Majlis Gerakan Keadilan Rakyat Malaysia (GERAK) untuk menggembeling tenaga parti-parti politik dan NGO menjadi suatu kekuatan berkesan menentang ketidakadilan pemerintah.

 Ini sesuai dengan keluasan perjuangan PAS bahawa PAS tidak hanya bergerak di dataran politik sahaja,  tetapi ia adalah ‘prime mover’, penggerak massa yang utama dan syumul.  Di sinilah komitmen kita membebaskan massa dari perhambaan, kezaliman dan tirani kepada kebebasan, keadilan dan aman sejahtera kepada seluruh insan tanpa batas bangsa dan agama serta warna kulit,  sesuai dengan sifat Islam sebagai “Rahmatan Lil-Alamin”

 Saya mengucapkan terima kasih kepada komponen GERAK yang memberi kepercayaan kepada saya  untuk memimpin ke arah perubahan ini.  Kesediaan kita menjalin persefahaman dengan parti politik pembangkang yang lain membuktikan sikap terbuka kita sebagai harakah Islam.  Walaupun pelbagai tafsiran dibuat oleh pelbagai pihak, khususnya pihak musuh,  tetapi saya memberi jaminan di sini bahawa PAS tidak akan keluar atau terpisah dari orbit Islamnya.  Ia masih setia dan terus kekal dalam orbitnya walau apapun yang terjadi.  Kita tetap berpegang teguh dengan perinsip ini.
 



 
 ISU KEADILAN

 Muktamar tahun ini akan menumpukan perhatian terhadap persoalan keadilan sebagai temanya.  Keadilan menjadi perkara keperluan alam yang ditetapkan oleh Allah penciptanya yang meletakkan segala-galanya pada tempat yang sewajarnya mengikut fitrah masing-masing.  Kita sering mendengar luahan rasa perkara yang menyentuh kehidupan manusia di dunia sekarang,  sebelum mereka meninggalkannya untuk pergi ke alam yang lain sebagai   menunjukkan ketidakpuasan manusia sejagat terhadap sistem yang menguasai dan mengelilingi mereka.  Apa yang berlaku menunjukkan manusia kini menghadapi banyak perkara yang tidak kena pada tempatnya dalam segala aspek,  aqidah,  politik,  ekonomi,  pendidikan dan lain-lain.  Bagi kebaikan alam seluruhnya maka ketepatan itu mestilah mengikut fitrah yang hanya diketahui oleh Allah Yang Maha Esa yang mencipta dan mentadbir seluruh alam yang wajib diimani secara mengithbatkan Tauhid dan menafikan Syirik dalam segala bidang Ibadah, Syariah dan Nizamul hayah seluruhnya.

 Dalam aspek Aqidahnya,  keadilan adalah satu diantara sifat kesempurnaan Allah yang Maha Suci dari segala sifat kekurangan dan Maha Adil termasuk di dalam Al-Asma Al-Husna. Maka zalim menjadi perkara mustahil bagi Allah.  Allah juga telah mewajibkan kepada hamba-hamba-Nya supaya berlaku adil dikalangan mereka dan mengharamkan ke atas mereka berlaku zalim.  Rasul Allah S.A.W bersabda bahawa Allah berfirman :
 

Maksudnya :
“ Wahai hamba-hamba Ku ! Sesungguhnya Aku telah mengharamkan zalim ke atas Diriku dan Aku jadikan ia haram di kalangan kamu maka jangan lah kamu berlaku zalim “

 Konsep keadilan dalam Islam berdasarkan Aqidah kepercayaan kepada Allah dan menolak segala bentuk syirik,  bukan sahaja dalam aspek Ibadah bahkan juga dalam aspek Syariah yang menyentuh perkara politik,  undang-undang,  ekonomi dan lain-lain.  Keadilan hanya berlaku apabila tunduk dan patuh secara mengabdikan diri kepada Allah sahaja secara mutlak,  tidak boleh mengadakan undang-undang dan peraturan sendiri dalam perkara yang tidak diizin oleh Allah.  Penetapan sesuatu itu kena pada tempatnya secara tepat hanya daripada pencipta alam yang Maha Mengetahui,  Bijaksana,  Adil,  Pemurah dan Penyayang kepada hamba-hambaNya.  Penetapan yang diizinkan kepada hambanya adalah mengikut kadar ilmu dan kemampuan yang ada pada mereka.  Maka Islam mendefinasikan Syirik yang menjadi ibu kezaliman bukan sahaja dalam aspek Ibadah,  tetapi juga dalam aspek hukum,  undang-undang dan peraturan-peraturan yang diciptakan sekalipun tidak diizin oleh Allah.  Firman Allah :
 

Maksudnya :
“Adakah mereka mempunyai sekutu-sekutu (tuhan-tuhan yang lain daripada Allah) yang mengadakan hukum Syariat untuk mereka dalam perkara yang tidak diizin oleh Allah “
(Surah As-Syura : 21)

 Islam menegaskan bahawa keadilan hakiki hanya wujud apabila manusia itu mengabdikan diri kepada undang-undang Allah sehingga tidak ada orang boleh berlagak mengatasi undang-undang,  dan mempersendakan undang-undang kerana dia atau kumpulannya yang menggubal undang-undang itu,  maka dia boleh mengenepikannya,  merempuh dan dapat memindanya bila-bila masa sahaja untuk kepentingan dirinya dan kroninya.  Keadilan tidak dapat ditegakkan dengan tepat,  apabila manusia berlagak menjadi tuhan dengan mengadakan peraturan sendiri dalam perkara yang tidak diizin oleh Allah.

 Keadilan tidak tertegak dengan hanya membebaskan tanahair daripada penjajahan asing padahal diri manusia itu tidak tunduk  kepada Tuhan penciptanya,  sedangkan nafsunya menjajah dirinya dengan segala sifat jahilliyyah.  Mereka menyalahgunakan nikmat ilmu,  kekuasaan,  harta dan lain-lain kemampuan duniawi yang ada padanya.  Keadilan tidak boleh berlaku dalam keadaan kuasa politik dipisah daripada ugama,  kerana orang yang memerintah dan mentadbir negara merasakan diri mereka mengatasi orang lain.  Keadilan tidak dapat ditegakkan dalam keadaan ekonomi diasingkan daripada ugama sehingga tidak ada perhitungan halal dan haram.  Maka pemisahan di antara urusan duniawi dan agama samada secara total atau sebahagiannya yang dibawa oleh faham sekularisme yang sangat bercanggah dengan Islam adalah menjadi punca kepada segala kezaliman yang berlaku dalam negara sekarang.


KEADILAN POLITIK

Keadilan politik yang ditegakkan oleh Islam adalah perkara khilafah dan amanah yang diwajibkan oleh Allah ke atas hambaNya yang tidak boleh diasingkan daripada perkara hukum Allah yang Maha Adil.  Negara yang ditegakkan oleh politik Islam adalah negara yang ditegakkan di atas Aqidah dan Syariahnya.  Mereka yang terlibat secara langsung dalam politik Islam sama ada sebelum memerintah atau selepasnya tidak boleh mengaggap bahawa politik adalah peluang untuk mendapat kuasa dan kesempatan untuk melakukan apa sahaja secara sewenang-wenangnya untuk menjadikan rakyat laksana hambanya, dan harta negara sebagai miliknya.  Politik adalah amanah Allah yang sangat besar,  sehingga tidak tertanggung oleh langit,  bumi,  bukit-bukau dan gunung-ganang,  kecuali mereka yang diberi kekuatan kerana berpegang teguh dengan ajaran Allah yang ditegakkkan dalam dirinya dan masyarakat yang dipimpinnya.  Fadhilatnya sangat besar dan kecelakaan kerana mengkhianatinya juga sangat besar di dunia dan di akhirat.  Firman Allah :
 

Maksudnya :
“Sesungguhnya Kami pernah membentangkan amanah kepada langit,  bumi, bukit-bukau dan gunung-ganang,  lalu mereka tidak bersedia untuk memikulnya dan merasa terlalu berat,  dan manusia sedia untuk memikulnya,  sesungguhnya ia sangat zalim lagi sangat jahil”
(Surah Al-Ahzab : 72)
 
 

Adapun mereka yang zalim itu ialah golongan yang tidak melaksanakan janji untuk menegakkan perintah Allah dan menunaikannya.  Firman Allah lagi :

Maksudnya :
“ Tidak termasuk di dalam janji Ku ini orang-orang yang zalim”
(Surah Al-Baqarah : 124)

 Adalah terlalu mudah berlakunya penyelewengan politik seperti politik wang dan mengikut selera nafsu apabila politik itu dipisahkan daripada tanggungjawab terhadap Allah. Bila ia terpisah daripada ugama atau ugama dianggap perkara sampingan daripadanya seperti dalam ajaran sekularisme sekarang,  maka politik menjadi barangan lelong yang diperniagakan,  dan dianggap peluang pekerjaan yang paling tinggi jawatannya.  Ini membawa kepada perebutan dan mempertahankan kedudukan yang menyebabkan berlakunya kezaliman kepada manusia.  Orang yang mendapat kuasa politik akan berlagak sebagai Tuhan dan mereka yang mahu mendapat peluangnya pula terlalu bernafsu seperti yang berlaku di sepanjang sejarah penyelewengan sejak zaman silam.

 Islam mewajibkan kepada mereka yang memegang tampuk pemerintahan berpaut dengan ikatan kewajipan ugama dalam segala tindakan peribadi dan masyarakat kerana ini  akan dibicarakan di mahkamah Allah.  Firman Allah :
 
 

Maksudnya :
“Orang-orang yang Kami berikan kepada mereka kuasa memerintah di bumi,  mereka mendirikan sembahyang,  menunaikan zakat,  menyuruh kepada yang baik dan mencegah kemungkaran,  dan bagi Allah sahaja akibat segala urusan”
(Surah Al-Hajj : 41)

 Negara kita sekarang dikuasai oleh golongan politik yang mengadakan hubungan sekali-sekala dengan Allah apabila bersembahyang dan mengerjakan haji sahaja,  mereka memisahkan kegiatan duniawi mereka dengan Allah Subhanahu wa Taala.  Keadilan dan hak ditentukan mengikut akal fikiran mereka.  Golongan ulama dipersenda-sendakan,  ahli akademik dikongkong,  badan kehakiman diganggu dan pegawai tadbir dirobotkan.


KEADILAN UNDANG-UNDANG

 Islam menegakkan keadilan undang-undangnya dimana perlaksanaanya adalah melalui badan kehakiman dan penguatkuasaan yang dikawal oleh aspek lahiriah dan rohaniah. Keadilan undang-undang bukan sahaja dikawal oleh aspek lahiriah,  tetapi dikawal oleh Aqidah dan iman kepada Allah  dan hari Akhirat.

 Undang-undang Islam adalah menepati naluri manusia.  Dalam perkara di luar kemampuan akal maka hukumannya ditegaskan secara nas,  manakala yang lain daripadanya  diizinkan kepada mereka yang layak dengan sifat keilmuan dan keluhuran akhlak untuk berijtihad.  Undang-undang Islam tidak sekadar menitikberatkan hukumannya di dunia sahaja,  tetapi mereka yang tidak dihukum di dunia akan dihukum juga selepas meninggal dunia sama ada di dalam kubur atau setelah dihidupkan semula dengan seadil-adilnya.  Allah Subhanahu wa Taala menggalakkkan hambaNya bertaubat sebelum diketahui oleh pihak yang berkenaan.  Mereka juga digalakkan memaaf dalam perkara tertentu.  Undang-undang keterangannya pula terlalu ketat sehingga tidak mudah bagi hakim untuk menjatuhkan hukuman sewenang-wenangnya,  kerana syarat saksinya yang ketat.  Makin keras hukumannya makin ketat pula syarat-syaratnya,  seperti memerlukan empat saksi yang adil dalam perkara zina.  Orang yang mengaku bersalah pula mestilah mengaku secara sukarela.  Pengakuan orang yang dipaksa,  dan dibelasah sehingga lebam tidak sah.

 Mereka yang dilantik menjadi hakim bukan sahaja mempunyai kelulusan undang-undang dan mampu mentadbir serta mengendalikan pengadilan.  Mereka juga mestilah mempunyai akhlak yang mulia terhadap Allah dan makhluknya.  Pihak kerajaan hendaklah meletakkan hakim dalam suasana yang menyenangkan,  sehingga proses keadilan tidak diganggu oleh manusia dan keadaan sekeliling.  Para Hakim diberi amaran yang keras oleh ugama Islam seperti  sabda Rasulullah S.A.W.

“Hakim itu tiga jenis,  satu ke dalam syurga dan dua ke dalam neraka. Yang mengetahui perkara yang benar lalu menjatuhkan hukuman dengan benarnya maka hakim ini ke dalam syurga.  Yang mengetahui perkara yang benar lalu tidak dihukumnya dengan sebenar maka hakim ini ke dalam neraka,  yang jahil perkara yang benar lalu dihukum dengan kejahilan maka hakim ini ke dalam neraka juga”
 

KEADILAN EKONOMI

 Islam tidak meletakkan materialisme  (kebendaan)  menjadi kiblat ekonomi seperti yang dilakukan oleh teori ekonomi ciptaan manusia.   Kebendaan hanyalah salah satu daripada alat jentera ekonomi.  Dalam mengendalikannya juga Islam menjadikan ekonomi tidak terpisah daripada kewajipan ugama yang berlandaskan kepada beriman kepada Allah dan seluruh ajaranNya.  Maka kegiatan ekonomi bukan sahaja dikawal oleh faktor lahiriah,  ianya dikawal juga oleh faktor rohaniah dalam konteks dosa dan pahala.  Dalam masa yang sama Islam tidak menghapuskan kemahuan kepada kebendaan dan perlumbaannya di kalangan manusia,  tetapi dalam masa yang sama diwajibkan dengan tanggungjawab kepada masyarakat.  Seseorang manusia yang bergiat dalam bidang ekonomi dikawal oleh undang-undang lahiriah dan akhlak yang ditanam ke dalam dirinya supaya wajib berlaku adil dan haram berlaku zalim dalam kegiatan ekonominya.

Keadilan ekonomi Islam dilahirkan dalam beberapa perkara yang diwajibkan seperti,  nafkah terhadap keluarga,  zakat yang diwajibkan ke atas orang-orang yang berada dan dibahagikan kepada orang-orang memerlukan pertolongan,  dan kewajipan yang lain mengikut keperluan individu, masyarakat  dan negara.  Dalam masa yang sama Islam mengharamkan riba,  bakhil,  boros,  monopoli,  sorok,  dan lain-lain yang dikira zalim dalam perkara ekonomi,  samada oleh individu atau kumpulan.  Firman Allah:

“Supaya harta itu tidak hanya beredar diantara orang-orang kaya dari kalangan kamu”.
(Surah Al-Hasyr : 7)
 

Negara kita masih beramal dengan sistem ekonomi yang bertuhankan kebendaan.  Sedikit muamalah Islam yang diperkenalkan masih tidak mampu untuk menongkah arus perdana ekonomi yang dikuasai oleh Qarun-Qarun yang bersekongkol dengan pemimpin-pemimpin utama BN yang berkuasa.  Mereka menguasai politik dengan kegiatan ekonomi mereka sehingga pihak kerajaan sanggup meluluskan projek-projek mewah yang ditaja oleh mereka, walaupun menjahanamkan ekonomi negara.  Pihak kerajaan juga sanggup menggunakan wang negara seperti Petronas,  KWSP dan lain-lain untuk menyelamatkan kroninya yang gawat sementara tanah rakyat dan kawasan setinggan akan menjadi mangsa rempuhan gelombang yang dicipta oleh kemahuan qarun-qarun itu.
 

KEADILAN MENYELURUH

 Islam mewajibkan keadilan itu ditegakkan secara menyeluruh dalam semua perkara yang melibatkan semua pihak dan terhadap semua golongan,  termasuklah adil terhadap musuh. Permusuhan tidak mengharuskan seseorang itu melakukan kezaliman.  Firman Allah :
 

Maksudnya :
“ Janganlah dengan sebab kebencian kamu terhadap sesuatu kaum maka kamu tidak berlaku adil “
(Al-Maidah : 8)

 Keadilan akan membawa keberkatan dan keamanan.  Apabila berlakunya hubungan baik di antara rakyat dan kerajaan ianya akan melahirkan ketaatan,  sokongan yang ikhlas dan kepercayaan yang melahirkan semangat dan kerjasama sebaik-baiknya daripada semua pihak.  Kezaliman bukanlah asas mengamankan negara,  tetapi ianya menimbulkan kebencian dan penentangan,  di mana ketaatannya tidak ikhlas  dan sementara sahaja,  sebaliknya mewujudkan pembohongan,  ketidaktelusan yang membahayakan dan pengampu-pengampu yang bohong dan khianat.  Inilah yang berlaku di akhir zaman yang akan membawa kemusnahan ummat.
 

EKONOMI DARI PERSPEKTIF PAS 

 Pada tanggal 2 Julai 1997,  keajaiban ekonomi Asia berakhir secara mendadak.  Bermula dengan penurunan nilai matawang baht Thailand,  Peso di Filipina,  rupiah di Indonesia,  ringgit di Malaysia diikuti dengan Korea Selatan dan yang lainnya,  keruntuhan ekonomi Asia mencetuskan gegaran yang cukup hebat lantas mencetuskan kemelut sosio-budaya yang parah di kalangan rakyat dan menatijahkan perubahan landskap politik dan pemerintahan seperti yang disaksikan di Indonesia.

 Yang paling teruk terjejas ialah sektor pembinaan,  diikuti sektor perkilangan dan pertanian.  Malahan sektor perkhidmatan yang biasanya tidak telut kemelesetan hanya berupaya merekod pertumbuhan marginal 1.5%.  Ini memperlihatkan bahawa langkah-langkah pemulihan – pada awalnya berupa dasar fiskal dan kewangan yang ketat ala IMF – yang dilaksanakan sejak Julai-Ogos 1997 (sebaik-baik saja kemelesetan melanda) gagal meredakan arus.  Malah,  dasar ini telah memburukkan lagi keadaan.

 Kemelesetan yang amat ketara ini menggambarkan kegagalan pihak berkuasa untuk mengambil sikap “berjimat-jimat di masa mewah dan senang demi meringankan beban di masa sukar” dalam pengurusan ekonomi negara.  Ada pembaziran dan pemborosan sumber.  Perbelanjaan yang besar ke atas barang penggunaan yang diimport dan pembinaan mewah terus berlangsung.

 Persoalan siapa pencetus angkara kegawatan ini sememangnya menarik perhatian semua pihak.  Masing-masing saling menuding jari ke arah orang lain.  Betul atau tidak perkara nombor dua.  Pentingnya dan paling tidaknya untuk melepaskan diri sendiri.  Di satu pihak seolah ‘mangsa’ ialah para pemimpin negara Asia – yang kerap menyalahkan Barat dan pengurus dana yang dikatakan mahu kembali ‘menjajah’ dalam bentuk penjajahan baru atau ‘neo-kolonialisme;’ mengikut teori konspirasi.  Di pihak yang lain adalah suara-suara para pengurus dana dari negara Barat yang mewakili ‘kuasa pasaran global’ yang turut menyalahkan aspek pengurusan kewangan negara-negara Asia.  Jelasnya yang menjadi mangsa sebenarnya dalam semua negara Asia ialah rakyat teramai dan rakyat yang menanggung kesengsaraan kemelut ini.

 Untuk memberi satu analisis yang lengkap bersabit isu ini mungkin bukanlah tujuan ucapan dasar ini.  Namun beberapa faktor pokok dan kritikal dapat disimpulkan sekaligus mempamerkan kepincangan asas dalam pemerintahan kerajaan BN/UMNO dalam mengurus pembangunan ekonomi dari perspektif falsafah,  nilai dan sistem yang didukungi mereka.

BN/UMNO mendokong konsep pembangunan yang berteraskan penilaian  pertumbuhan ekonomi dan kebendaan semata-mata,  sementara bebas dari pengawasan nilai akhlak dan agama.  Ini menghasilkan pembangunan yang terlalu kebendaan serta tidak mengekalkan prinsip-prinsip keseimbangan,  keadilan,  berhemat,  lestari (sustainable),  mesra alam dan manusia.  Ia juga meletakkan pergantungan kepada perlaburan asing dengan mengintegrasi secara total kepada persaingan ekonomi global yang belum cukup difahami dari sudut kesan,  implikasi dan dinamika kuasa pasaran global kepada ekonomi negara.  Mereka memacu pertumbuhan yang terlalu pantas sehingga berlaku ekonomi yang ‘meruap’ (overheating) yang tidak ‘lestari’ (sustainable) sekaligus mencerminkan kegelojohan dan kejahilan dalam pengetahuan teori ekonomi Al-Quran (Surah Yusuf : 47 –49) dan ekonomi moden tentang kitaran ekonomi secara fitrah.

Di samping itu pengabaian asas-asas infrastruktur yang kukuh seperti bekalan air bersih,  sistem penyaliran untuk mengelakkan banjir kilat,  seperti pembasmian kemiskinan,  jerebu,  penyakit berjangkit (Denggi,  JE,  Coxsackie),  keracunan makanan,  jalan raya di luar bandar dan perumahan yang munasabah bagi golongan berpendapatan rendah menyebabkan ketidaktentuan di dalam pembahagian nikmat pembangunan.

Asas dan fundamental ekonomi yang tidak kukuh ditambah dengan perlaksanaan penswastaan yang cukup mencurigakan dengan konsep “Malaysia Incorporated” yang berakhir dengan perhubungan sumbang sektor swasta/korporat tertentu dengan pihak eksekutif kerajaan yang kini popular dengan jolokan KKN (Kronisme,  Korupsi,  Nepotisme) telah menghakis keyakinan pelabur luar mahupun tempatan serta merosakkan amalan pengurusan yang telus dan adil.

Pacuan pembangunan yang tidak berhemat terutama dalam pembiayaan dua sektor paling tidak produktif iaitu pembiayaan pembelian pasaran saham dan hartanah dan kerakusan membina projek mega mewah adalah antara penyebab utama ekonomi rapuh dan berbuih (bubble economy) lantas mudah diserang spekulator matawang.

Amalan institusi perbankan dan kewangan yang tidak bijak (prudent) serta perlanggaran peraturan Bank Negara dalam urusan pemberian kredit menjadi sebab utama sektor ini runtuh kerana menanggung NPL yang terlalu besar serta kecairan yang terlalu mengecut.

Akhirnya polisi perindustrian yang tidak melahirkan produk yang mampu berdaya saing kerana ‘penambahan nilai’ (value adding) yang minima menyebabkan defisit imbangan dagangan yang sukar diatasi lantaran kelemahan keupayaan dalam sektor pembuatan justeru tidak menekankan aspek R&D serta tidak mengutamakan sumber dan keperluan tempatan.

Bagi mengatasi malapetaka ekonomi ini,  PAS dengan ini menegaskan dasar ekonomi dan pembangunan yang akan menyusun semula dasar dan perlaksanaan ekonomi negara untuk mewujudkan pembangunan ekonomi yang menyeluruh,  keadilan pengagihan,  ketelusan pengurusan dan pembangunan yang berhemah.  PAS akan mengarusperdanakan perlaksanaan dasar kewangan Islam dan seluruh instrumen kewangan Islam serta meminimakan kepenggunaan sistem kewangan berteraskan riba.  Negara juga akan berhemat dalam mengintegerasikan negara dalam ekonomi global bagi mengelakkan penjajahan ekonomi ala baru.

PAS akan meneliti kembali polisi penswastaan seperti yang diamalkan hari ini agar tidak bertentangan dengan konsep Negara Beramanah dan Berkebajikan sekaligus mengelakkan fenomena kronisme,  korupsi dan nepotisme pemerintah hari ini.  Kita akan menggalakkan kemasukan pelabur asing (foreign direct investment) secara berhemat dengan mengembalikan keyakinan pelaburan terhadap keberkesanan serta ketelusan pengurusan ekonomi dan pembangunan pemerintahan.

 Kita juga akan mengamalkan sistem pengurusan makroekonomi bersabit kadar pertukaran asing,  kadar faedah dan kadar inflasi yang sesuai dan sejajar dengan konsep pertumbuhan ekonomi berhemat dan lestari supaya mengelakkan fenomena meruap dan membelon.
 

 Penumpuan juga akan diberikan untuk menggalakkan pemantapan industri kecil dan sederhana (IKS) yang bersifat ‘local based technology and industry’ sebagai jentera pertumbuhan berhemat dan menjana kelahiran usahawan yang lebih tulen serta berdaya saing  berbanding ‘projek mega jutawan-segera bumiputra’.

 Akhirnya PAS akan menggalakkan pembangunan sektor pembuatan yang lebih berdaya saing dengan penekanan serentak aspek R&D di sektor awam,  swasta dan juga di IPT.


PENDIDIKAN DAN SOSIAL

 Kata empunya Wawasan 2020,  Malaysia akan menjadi sebuah negara maju dan perindustrian.  Perlaksanaan ke arah itu sedang dibuat sekarang.  Sumber modal dan kewangan negara terpaksa dikalih dan dilonggok untuk digunakan bagi tujuan pembinaan projek mega.  Rakyat dipaksa berkorban sejak tercetusnya ide Wawasan 2020.  Tanggungjawab kerajaan BN dan UMNO untuk membelanjakan sumber kewangan negara bagi keperluan dan kepentingan rakyat umum seperti pada lazimnya telah digantikan dengan perlaksanaan dasar penswastaan.

 Tanggungjawab kerajaan kepada rakyat telah dilepaskan melalui eksploitasi secara perniagaan atau dikomersilkan dan dengan itu semua khidmat yang disediakan terpaksa dibayar oleh rakyat yang memerlukannya dan bayaran itu sebagai hasil pendapatan perniagaan kepada pihak swasta yang menyediakannya.  Kos kepada rakyat akan bertambah dan meningkat dari masa ke semasa.  Ini adalah kesan langsung kepada rakyat dan kerajaan BN dan UMNO hanya bermegah kerana kerajaan tidak perlu lagi membiayai kos mengadakan khidmat yang diperlukan walaupun kualiti khidmatnya semakin menurun.

 Dalam rangka mempromosikan dasar penswastaannya,  kerajaan BN dan UMNO telah pula melepaskan tanggungjawabnya dalam bidang pendidikan.  Bidang pendidikan ini terutamanya pada peringkat pendidikan tinggi telah dibenarkan untuk dieksploitasikan secara komersil yang meluas oleh pihak swasta sementara institusi-institusi pengajian tinggi kerajaan pula dikorporatkan.  Wujud sekarang Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dan Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) yang kedua-duanya menyediakan peluang mendapat pendidikan tinggi dengan dikenakan bayaran kursus yang tinggi selain daripada yuran buku dan keperluan tempat tinggal dan makan minum.
 Disebalik laungan membela tanggungjawab untuk meninggikan pencapaian kaum Bumiputra di semua bidang pendidikan tinggi yang telah diterima sebagai asas dan kunci kepada semua keharmonian kaum di negara ini,  telah timbul percanggahan dengan mewujudkan sikap liberal terhadap dasar pendidikan negara yang menyentuh isu penggunaan bahasa penghantar dan yuran kursus yang dikenakan kepada pelajar pusat pengajian tinggi.  Melalui Akta Pendidikan 1995 juga telah dimasukkan peruntukan yang cuba mencengkam pendidikan sekolah agama dan juga bentuk matapelajaran agama yang diajar di sekolah menengah bertujuan untuk memisahkan pendidikan Islam sebagai penghayatan kepada semata-mata pelajaran fardhu ain sahaja.

 Gandingan tanggungjawab diantara ibubapa dan kerajaan untuk memberi pendidikan diperingkat sekolah menengah kepada generasi muda seperti diamalkan sebelum ini hendaklah diteruskan.  Ibubapa membiayai kos pembesaran generasi muda dengan tempat tinggal,  makan minum,  rawatan,  tambang kenderaan,  pakaian,  buku dan alat keperluan sekolah dan berbagai lagi dan pada pihak kerajaan menyediakan tempat persekolahan yang lengkap dengan peralatan dan guru terlatih.  Tidak ada sebab mengapa dasar sebelum ini tidak boleh diteruskan kerana pendidikan adalah diterima sebagai suatu tanggungjawab yang dipikul bersama oleh kerajaan dan ibubapa sebagai suatu perlaburan yang akan menjamin keuntungan dan peningkatan kepada kedua-dua belah pihak.  Oleh itu tanggungjawab bersama ini hendaklah diteruskan bukan sahaja pada peringkat pendidikan tinggi bahkan pada peringkat pra-sekolah.
 
 
 

 Apabila IPTA dikorporatkan,  pendapatannya adalah hasil daripada bayaran yuran kursus oleh pelajar-pelajar. Pembiayaan keseluruhan IPTA tidak lagi mendapat peruntukan daripada kerajaan seperti lazimnya pada setiap tahun.  Tanggungjawab tersebut telah dilepaskan oleh kerajaan dan sebaliknya menjadi sebagai beban kepada rakyat.

Pada keseluruhannya dasar penswastaan kerajaan BN/UMNO telah mengubah sasaran daripada rakyat mendapat manfaat sebagai hak, terutama dalam perkara keperluan asas seperti contohnya keperluan pendidikan kepada rakyat menjadi pengguna yang mereka perlu bayar.  Perubahan drastik seperti ini menampakkan perubahan pemikiran pada dasar kerajaan BN/UMNO yang tidak lagi mempunyai sifat beramanah dan berkebajikan tetapi telah dirasuk untuk berfikir secara korporat.  Sememangnya peruntukan negara kepada TPTN tidak dianggap sebagai perbelanjaan hangus malah akan dimasukkan semula jumlah yang sama sebagai satu perkara di bawah aset negara sebagai hutang yang boleh dituntut dan dengan itu prestasi keupayaann negara untuk menjana hutang akan dapat dilihat sebagai lebih baik.  Tetapi pemikiran untuk terus berhubung seperti ini akan sentiasa mendedahkan negara dan keseluruhan rakyat kepada bahaya jika sesuatu berlaku di luar jangkaan.
 
Rata-rata rakyat yang perihatin berasa tidak puas hati kerana tidak ada matlamat yang jelas mengenai dasar pendidikan negara.  Dalam kegawatan sosial yang sedang berlaku sekarang,  ibubapa tertanya-tanya apa sudah jadi dengan pendidikan yang telah dilalui oleh anak-anak mereka samada di sekolah ataupun di peringkat pengajian tinggi.

 Matapelajaran agama yang diajarkan terutamanya mengenai agama Islam tidak mendatangkan kesan yang baik sebagai penghayatan tetapi ia hanya sebagai mata pelajaran fardhu ‘ain sahaja.  Oleh itu tanggungjawab mendidik perlulah dilaksanakan dengan bertujuan untuk mencapai maklumat yang jelas untuk membentuk peribadi pelajar ke arah melahirkan insan kamil.  Kurikulum peringkat sekolah menengah dan pendidikan tinggi akan dikaji semula untuk diberi penekanan supaya teras pendidikan akan diasaskan kepada nilai agama dan kemanusiaan.


PERKHIDMATAN KESIHATAN

Rawatan seperti juga pendidikan telah mengalami perubahan yang drastik.  Hak rakyat untuk mendapatkan rawatan ringan sekalipun dikenakan bayaran oleh rumah sakit kerajaan.

 Dasar penswastaan rawatan telah menggalakkan bercambahnya pembinaan rumah sakit swasta yang mengenakan berbagai bayaran yang mengikut harga pasaran yang pada keseluruhannya adalah di luar daripada kemampuan rakyat umum.  Kerajaan sudah tidak mampu lagi mengawal selia berbagai kos dan kadar yang dikenakan kepada pesakit di hospital swasta.

 Bekalan ubatan kepada hospital kerajaan atau swasta telahpun difrancaiskan dan pembekalan itu dibeli melalui harga pasaran oleh pemegang francais dan tidak lagi mendapat keistimewaan harga berdasarkan kepada tempahan daripada kerajaan.  Oleh itu ubatan yang dibekalkan kepada rumah sakit kerajaan adalah dibekalkan dengan harga pasaran dan akan ditanggung oleh pesakit yang menerima rawatan.

 Kita bertekad untuk membetulkan semula dasar ini sekurang-kurangnya dari segi rawatan ringan,  pesakit tidak akan dikenakan bayaran atau jika ianya memerlukan perubatan,  sekurang-kurangnya sebahagian kos ditanggung oleh kerajaan.


PEMBANGUNAN INSTITUSI KELUARGA

Kesan langsung daripada pembangunan yang semata-mata mengejar keuntungan material dan keselesaan jasad ialah runtuhnya institusi kekeluargaan.,  Semakin cepat tempo pembangunann semakin terdesak pertumbuhan keluarga.  Keluarga yang sepatutnya menjadi payung kesejahteraan,  kebahagiaan dan kemakmuran bagi setiap ahli yang bernaung di bawahnya kini menjadi semakin layu dan lesu.  Kelayuan dan kelesuan ini hasil daripada kehidupan yang tidak berpanduarah,  nilai-nilai kekeluargaan yang semakin gersang serta persekitaran yang begitu rakus dan mencabar.

Nilai-nilai murni yang menjadi paksi penegak keutuhan keluarga seperti saling menghormati,  saling bertolongan,  saling mengasihi dan menyayangi,  saling menegur dan menasihati dan sebagainya semakin lenyap ditimbus oleh bahan-bahan buangan pembangunan.  Apalah ertinya kita mendabik dada mencanang ke seluruh pelusuk dunia tentang kehebatan usaha pembangunan kita jika sekiranya nilai-nilai keinsanan yang disebutkan tadi tidak bercambah di dalam unit terkecil kehidupan insan iaitu keluarga.

Jika Allah mengizinkan PAS menerajui negara ini,  salah satu usaha konkrit yang akan dilakukan ialah meletakkan tapak yang kukuh bagi pembangunan institusi kekeluargaan yang mencakupi semua golongan rakyat.  Sebagai peneraju yang bertanggungjawab,  PAS akan menentukan berlangsungnya pendidikan kekeluargaan yang berterusan sejak dari alam pra perkahwinan sehinggalah ke alam hujung hayat pasangan yang berkahwin dan seterusnya mendirikan keluarga.
 

Kerajaan alternatif akan bertanggungjawab sepenuhnya meletakkan setiap keluarga ke landasan yang kukuh dengan menaja berbagai program pendidikan kekeluargaan bertujuan membina ilmu dan mempertajam ketrampilan di kalangan ahli keluarga.  PAS tidak sekali-kali akan membiarkan keluarga yang dibina terumbang-ambing tanpa pendidikan,  pengasuhan dan pengarahan.


PEMBANGUNAN TEKNOLOGI MAKLUMAT

PAS mengalu-alukan kehadiran teknologi maklumat canggih masakini.  Kemajuan dalam bidang IT ini telah merapatkan hubungan antara individu dalam negara dan antarabangsa.  Ianya dapat membantu pengurusan organisasi yang lebih efisen di samping memudahkan penyebaran maklumat kepada massa.  Pembangunan IT yang sihat merupakan ‘the winning edge’ bagi perjuangan PAS sekarang.  IT terutamanya internet berjaya menyaingi media elektronik dan cetak seperti telivisyen dan akhbar dari sudut kecepatan dan ketepatan pemberitaan.

IT kini sudah menjadi sangat berkesan sehingga digeruni oleh pihak BN yang mencurigai setiap media yang menentangnya.  Saya ingin  mengajak masyarakat mengoptimakan penggunaan IT sebagai sumber komunikasi dan maklumat alternatif dan dengan cara itu akan dapat membebaskan diri dan minda kita daripada dakyah akhbar dan TV yang dikawal oleh BN. Dalam konteks pengurusan parti, kita sedang mengusahakan peningkatan pengkomputeran dalam pengurusan di semua peringkat.  Maklumat mengenai dasar dan organisasi parti serta program dan aktiviti yang dijalankan akan dipaparkan untuk tontonan ramai dalam berbagai lama-laman web PAS.

Suratkhabar rasmi PAS, Harakah, juga telah berjaya memainkan peranannya sebagai penyambung maklumat parti kepada ahli-ahlinya.  Ketepatan pemberitaan serta liputannya yang meluas menjadikan ianya satu-satunya sumber maklumat yang diperlukan oleh ahli-ahli PAS.  Kini lebih separuh dari keahlian PAS yang mencapai jumlah  600,000 orang berlanggan dengan Harakah dan jumlah pembaca menjangkau 1.5 juta.  Keyakinan kita terhadap maklumat yang diolah dalam dua bahasa itu telah dapat menyatukan fikrah/minda ahli, keseragaman dalam memahami isu-isu semasa yang berlaku dan di masa yang sama dapat menyedarkan masyarakat terutamanya ahli PAS kepada penyelewengan, penyalahgunaan kuasa dan ketidakadilan yang bermaharajalela di negara ini.  Saya mengharapkan Harakah dapat terus meningkatkan mutu pemberitaan tanpa ‘fear’ atau ‘favour’, menjalankan penyelidikan mendalam bagi setiap isu yang berlaku di samping menjadi sumber ilmu yang sahih untuk dimanfaatkan oleh orang ramai.  Persembahannya harus sentiasa disesuaikan dengan selera pembaca tanpa perlu meningkatkan kosnya.


PAS DAN PILIHANRAYA

Pilihanraya umum, yang ke-10 untuk negara ini,  menunggu minggu sahaja,  sudah diambang.  Kenduri besar akan tiba.  PAS sudah bersiap lama.  Hadapilah ia dengan menguasai ilmunya.  Tingkatkanlah ilmu pilihanraya supaya persiapan yang lama itu beroleh pulangan yang baik.  Iringi persiapan itu dengan menyerah diri sepenuhnya kepada ilahi,  mohon pertolongan dan doa supaya pilihanraya ini membuka ruang perubahan,  dimana  kebesaran Allah Rabbul Jalil dapat ditegakkan dan kerajaan zalim akan tumbang.

 Cawangan PAS sudah ada hampir di setiap lokaliti.  Setiap rumah orang Islam sudah ada sekurang-kurangnya seorang ahli PAS.  Setiap isi rumah bukan Islam sudah mula berfikir dan memikirkan tentang PAS.  Ini hendaklah ditingkatkan supaya bilangan ahli dan penyokong PAS di setiap keluarga bertambah dari seorang kepada separuh anggota keluarga.  Kita mulai memikir kearah satu cawangan PAS untuk satu saluran mengundi.  Cawangan tidak ditubuh sekadar membanyakkan  bilangan tetapi cawangan itu mesti berkualiti dan dapat berbakti kepada masyarakat dan jamaah.

 Hanya dengan demikian kita dapat memastikan daftar pengundi tidak diserap hantu jembalang.  Jika iblis masuk ke saluran darah manuasia untuk menggoda,  maka hantu kini berjaya masuk ke dalam senarai daftar pengundi untuk memperdaya.  Dahulu kewujudan hantu dipertikai,  tetapi kini Barisan Nasional membela hantu.  Hantu masuk ke cekera padat SPR.  Kita memerlukan cawangan di setiap saluran mengundi bagi menghambat hantu dari senarai pengundi.  Sebenarnya hantu itu ada,  cuma bertukar wajah.

 Dari cekera padat yang dibekalkan oleh Suruhanjaya Pilihanraya,  data pengundi yang terakhir terdapat sekitar lebih 25,000 nombor kad pengenalan dikongsi oleh dua atau tiga orang setiap satu.  Ia membabitkan lebih 50,000 orang di Semenanjung.  Seseorang dari pasangan nombor kad pengenalan itu didaftar awal tahun 1998 kebanyakannya.  Banyak pula nombor kad pengenalan ganjil.  Ia bermula dengan sengkang (-) atau stroke (/).  Ada anggota tentera berkongsi satu nombor kad pengenalan dengan isterinya.  Ramai mengadu kad pengenalannya memakai nama orang lain.  Ada kad yang ada nombor tapi tidak berorang.  Ramai pula pengundi hilang dari daftar atau ditukar ke tempat lain.  Ada suami isteri pernah mengundi bersama kini berpisah di lokaliti lain.  Maklumat terbaru pula ialah usaha supaya isteri tentera menjadi pengundi pos.  Ini sekadar yang dapat dikesan.  Yang tidak dapat dikesan dipercayai menggerunkan. Ia bukan sekadar satu kesilapan.  Ia silap dirancang.  Silap yang banyak dikesan itu mungkin kerana kelemahan pentadbiran atau satu sabotaj demi mengekalkan kuasa secara rapuh.  Baik yang lemah mahupun sabotaj, yang mana satu,  adalah tidak sihat untuk kedaulatan rakyat dan kemerdekaan negara.  Negara berbelanja besar bagi mewujudkan perkhidmatan cemerlang tetapi ia mewujudkan satu sistem pentadbiran yang celaru.  Tidakkah ini memalukan Perkhidmatan Awam kita yang bertungkus lumus untuk meningkatkan prestasinya,  tiba-tiba SPR menghadiahkan daftar pengundi berhantu.

 Jika daftar ini digunakan dalam pilihanraya ini,  sudah tentu keputusan akan dipalsukan.  Penipuan dalam pilihanraya bukan baru di dunia.  Inilah kelemahan sekularisma dan amalan demokrasi yang tidak mengenal dosa dan pahala.  Demokrasi  itu baik,  tetapi bila soal dosa dan pahala diketepikan,  maka demokrasi dan keadilan akan bertukar kepada penindasan dan kezaliman.

 Kelemahan pentadbiran SPR dipercayai bermula dari kepincangan di Jabatan Pendaftaran.  Adakah Jabatan Pendaftaran di Kementerian Dalam Negeri memberi senarai bersih tentang jumlah rakyat yang berhak mengundi dan bersih dari bilangan yang sudah mati?  Adakah ia membeli rakyat asing untuk menjadi kuli dan menjadi pengundi?  Jika kelemahan ini dibiarkan, bagaimana kalau nanti datang CIA menawarkan sesuatu?

 Kepincangan tali temali di SPR itu meyakinkan betapa kerajaan BN tidak dapat mewujudkan pentadbiran yang bersih,  ia tidak cekap dan jauh dari amanah.  Ia meyakinkan bahawa pimpinan BN campur tangan dalam urusan suruhanjaya yang bebas itu hingga seolah-olah kebebasan  tidak wujud di SPR.  Satu suruhanjaya bebas diperlukan untuk menyiasat punca kepincangan dalam data pengundi itu.  Ini menjadi bukti BN tidak layak diberi mandat lagi.


BERSAMA MENEGAKKAN KEADILAN

Bagaimanapun pilihanraya umum akan datang akan kita hadapi bersama dengan parti-parti pembangkang yang mahu bersama kita.  Tuntutan zaman menghendaki kita bersama.  Rakyat rindukan perubahan.  Perubahan boleh dilakukan oleh muafakat pembangkang yang kuat. Sebelum satu perubahan dapat dilakukan, rakyat mahu melihat pembangkang bersama berubah dulu mewarwarkan kerajaan alternatif.

 Pas mengakui bahawa kita ada perbezaan.  Perbezaan kecil dan besar.   Tetapi menumbangkan kerajaan yang dilihat zalim,  rasuah,  kroni yang kronik,  nepotisma adalah lebih aula.  Kita belum bersatu,  tetapi kita sudah bersama.

 Dalam pendekatan mencari kemenangan dalam pilihanraya, PAS sentiasa mengekalkan kesungguhan yang terancang.  Gerak kerja pilihanrayanya dijalankan mengikut garis panduan yang sentiasa dikemaskini mengikut keperluan terkini.  PAS telah menerokai berbagai ‘computation’ yang diharuskan oleh syari’, terutama bagi menyatupadukan tentangan terhadap kerajaan Barisan Nasional (BN).

Dalam plihanraya 1974, kita mewujudkan perpaduan dalam BN. Pilihanraya 1986 menyaksikan kita menghadapi BN bersama sokongan dari CCC.  Empat tahun kemudian kita mendokong kerjasama dengan PMS46 yang berjaya membawa Kelantan di bawah pemerintahan PAS.  Kerjasama yang berkekalan sehingga pilihanraya 1995 menyaksikan kita kekal di Kelantan dan memperkemaskan kedudukan di Terengganu dan Kedah.  Perkara-perkara positif yang dizahirkan daripada keterbukaan politik ini meletakkan PAS pada kedudukan yang selesa bagi memimpin gerakan pembangkang di negara ini.

Suasana politik dan gelombang kemarahan rakyat terhadap BN menyaksikan suara rakyat bergema di segenap penjuru dan rantau negara ini. Tidak ada yang diucapkan melainkan seruan menjatuhkan pemerintahan yang telah mengkhianati rakyat teramai.  Sebagai wadah politik, adalah menjadi tanggungjawab kita menjaringkan seruan dan desakan yang membuak-buak ini.  Belum pernah terjadi sebelum ini gelombang kemarahan dan kekecewaan yang begitu besar.  Hasrat perubahan ini harus menjadi keutamaan semua pihak yang mahukan perubahan ini, sama ada parti politik ataupun NGO.  Kerja yang teratur, bersungguh-sungguh dan strategik akan membuahkan hasil.  Pendekatan pembangkang yang bersepadu amatlah penting pada saat genting ini.  PAS merasakan bahawa parti pembangkang yang berbeda ideologi ini harus bersepakat atas nama keadilan untuk melancarkan gerakan perubahan tersebut.

Gerakan ini mesti diketahui dan disokong oleh rakyat.  Forum-forum kerjasama ini perlu digerakkan di semua peringkat dan di semua aktiviti yang dianjurkan oleh pihak masing-masing.  Tolak ansur dalam pendekatan masing-masing perlu dijadikan asas perpaduan kita.  PAS mahu menyaksikan kemampuan rakyat berbagai kaum duduk dalam satu kesepakatan bagi mengembalikan maruah rakyat dan kesejahteraan negara.

Kejayaan PAS menggabungkan parti politik dan NGO dalam satu gerakan yang disebut Majlis Gerakan Keadilan Rakyat Malaysia atau Gerak,  cukup untuk membuktikan keupayaan kepimpinan PAS menerajui kebangkitan rakyat di negara ini.  Gerak telah mendapat sokongan yang besar dari rakyat.  Rakyat mahu melihat perpaduan sebegini wujud setiap masa bagi menghadapi kezaliman UMNO/BN.  Sokongan rakyat ini meyakinkan kita bahawa kita boleh melebarkan kerjasama kemanusiaan di atas pentas Gerak kepada kerjasama politik yang akan menggegarkan senario pemerintahan negara di masa hadapan.

 Kita menyedari bahawa musuh kita akan cuba untuk menghalang sebarang bentuk kerjasama parti alternatif.  Sentimen agama dan perkauman akan menjadi senjata jahat mereka.  Rakyat sebenarnya sudah jemu dengan taktik BN melaga-lagakan PAS dan DAP misalnya, yang mengekalkan perbedaan politik kita sehingga ke hari ini.  Usaha untuk kita melunakkan pandangan orang bukan Islam terhadap perjuangan yang didokong oleh PAS terbantut akibat daiyah oleh BN/UMNO.  Hasrat untuk melaksanakan integrasi nasional tidak akan menjadi realiti selagi jarum-jarum hasutan ini dibiarkan menusuk hati-hati rakyat.  Oleh itu PAS mengajak rakyat berbagai golongan untuk menumpukan kapada unsur-unsur yang boleh menyatukan kita.

Kehadiran Parti Keadilan Nasional atau ringkasnya Keadilan turut menyemarakkan semangat mengembalikan keadilan di Malaysia.  Rata-rata rakyat yang mahukan berbagai reformasi lanjutan daripada peristiwa pemecatan Dato’ Sri Anwar Ibrahim sebagai Timbalan Perdana Menteri menerima baik kehadiran Keadilan.  Kita bersedia bekerjasama bagi mencapai matlamat murni ini.


PAS DAN RAKYAT BUKAN ISLAM

Usaha untuk menakutkan orang bukan Islam terhadap PAS berlaku dengan berbagai cara dan bentuk.  Ada yang menyatakan bahawa sekiranya PAS memerintah maka negara akan menjadi huru-hara,  akan timbul perbalahan antara kaum.

 PAS menyedari hakikat kewujudan pelbagai kaum,  agama dan budaya dalam masyarakat ini.  Namun begitu ini bukanlah merupakan faktor yang boleh menghalang untuk diwujudkan sistem pemerintahan Islam.  Ini adalah kerana sistem Islam adalah bersifat umum yang bersesuaian untuk semua subjek dalam negara tersebut.

 PAS menolak keras sebarang bentuk paksaan terhadap orang bukan Islam untuk menerima Islam.  Tugas PAS ialah menyampaikan risalah Islam manakala hidayah adalah merupakan ketentuan Allah.

 Islam yang menjadi dasar perjuangan PAS adalah bertujuan untuk menegakkan keadilan.  Ciri keadilan yang diperjuangkan oleh PAS adalah bersifat universal.  Keadilan ini bukan tertumpu kepada orang Melayu sahaja atau untuk orang Islam sahaja.  Orang Melayu Muslim punya hak dan tanggungjawab yang akan dilaksanakan.  Sebagai Muslim dan sebuah negara Islam,  tanggungjawab dan hak ini dianggap sebagai satu tuntutan agama yang mesti ditaati dan dilaksanakan.

 Bagi orang bukan Islam pula,  mereka juga punya hak dan tanggungjawab yang perlu ditunaikan.  Tanggungjawab mereka adalah untuk memelihara negara ini sebagaimana rakyat lain memeliharanya.  Mereka berkewajipan untuk mematuhi undang-undang,  memberi taat setia kepada negara dan menjaga kedaulatannya supaya tidak dicabuli oleh mana-mana pihak yang mempunyai kepentingan untuk meruntuhkannya.  Menjadi tanggungjawab mereka juga untuk memelihara perasaan orang Islam dan menghormati negara Islam.

 Kalaulah tanggungjawab sudah dipinta dari non-muslim,  Islam menetapkan pula hak-hak yang perlu disempurnakan oleh negara.  Perbezaan aqidah dan kefahaman tidak boleh dijadikan asas untuk tidak berlaku adil seperti yang disebut di dalam Al-Quran :
 

“ Dan janganlah kebencian kamu terhadap sesuatu kaum mengakibatkan kamu tidak berlaku adil,  berlaku adillah kamu “

 Hak orang bukan Islam untuk mengamalkan agama mereka,  hak mereka untuk bersuara menyatakan pandangan dan pendapat,  hak untuk duduk di dalam negara,  hak untuk berniaga,  hak kebebasan bekerja dan mencari rezeki dan sebagainya adalah merupakan hak-hak yang dijamin dalam Islam.  Adalah menjadi satu kesalahan dalam Islam untuk melakukan penganiayaan,  penindasan dan diskriminasi terhadap bukan Islam.
Hadis – Bab menyakiti zimmi
 
 

 Dalam urusan kekeluargaan dan sosial,  mereka tidaklah dilarang untuk mengamalkan apa jua perkara yang diharuskan oleh agama mereka sekalipun ia dilarang dalam agama Islam,  seperti urusan yang berkaitan dengan perkahwinan,  perceraian,  memakan dan meminum minuman tertentu.  Islam membiarkan apa yang mereka yakini halal dalam kepercayaan mereka tanpa mengganguinya.


KELANTAN TERUS MEMBANGUN

Kejayaan PAS menerajui Kelantan selama dua penggal membuktikan PAS mampu memerintah dan dengan ini melenyapkan segala momokan dan tohmahan bahawa PAS tidak mampu  mentadbir dan memerintah negara.

 Kejujuran dan ketelusan pimpinan PAS dalam membangun negeri Kelantan telah berjalan dengan pesat seiring dengan kehendak tuntutan Islam.  Justeru itu sebagai contoh kadar kemiskinan di negeri Kelantan telah menurun begitu banyak.  Pada akhir tahun 1998 hanya terdapat 5,990 keluarga penduduk miskin berbanding 12,436 keluarga miskin pada tahun 1995 dan 1996.  Fakta ini berdasarkan kajian yang telah dilakukan oleh agensi kerajaan Pusat.  Kadar penurunan ini sudah tentu sebahagiannya adalah hasil usaha kerajaan dalam menjayakan program pembangunan untuk mengurangkan kadar kemiskinan.

Begitu juga dalam industri pelancongan ke negeri Kelantan pada tahun 1998 berjumlah 2,630,438 orang iaitu pelancong tempatan berjumlah 2,203,840 orang manakala pelancong asing pula berjumlah 426,598 orang.  Jumlah ini melebihi sasaran Kerajaan Kelantan sebanyak 2.5 juta orang pada tahun tersebut.  Dengan kedatangan pelancong ini,  rakyat Kelantan telah memperolehi pendapatan sebanyak RM767,225,140.

Dari dua sudut ini sahajapun sudah jelas segala fitnah dan tohmahan yang dilontarkan terhadap Kerajaan PAS Kelantan bahawa tiada pembangunan,  rakyat mundur dan tidak mampu mentadbir adalah palsu dan tidak berasas sama sekali.


SENARIO DUNIA ISLAM

Dunia Islam terus dirundung malang.  Sekadar menyorot perkembangan setahun lalu,  tiada apa yang dapat mengajak kita tersenyum melainkan hujan air mata,  mandi darah dan perkelahian sesama sendiri.  Bumi Iraq dan umatnya dibedil semula oleh polis mustakbirin dunia.  Serbia meningkatkan pembersihan etnik menyembelih umat Islam Albania Kosova,  mengusir mereka dari rumah dan kampung halaman.  Sementara luka Bosnia Herzegovina belumpun berparut muda.  Libya masih didera dalam kepungan PBB,  tiada kapalterbang boleh masuk dan keluar.  Setiausaha Agung PBB Kofi Annan boleh mendakap Ghadafi tetapi rakyatnya masih belum bebas menunaikan haji.  Palestin yang dikecilkan dan mengecilkan saiznya belum menjadi negara.  Afghanistan yang berjaya memalu dan memusnahkan Soviet Union masih belum menamatkan perang saudaranya.  Somalia belum ada kerajaan.  Dengan tidak bersebab Sudan yang baru menjadi contoh negara Islam dibom Amerika tetapi PBB tidak dapat mengenakan apa-apa tindakan kepada polis mustakbirin itu.  Algeria masih berperang sehingga Perancis dan Amerika tidak tahu menamatkan sengketa bersenjata sia-sia yang mereka dalangi.  Bangsa Moro belum membebaskan tanah airnya dan terus berperang dan diperangi.  Turki yang baru menghirup udara kebangkitan Islam menerusi demokrasi dan toleransi tiba-tiba berjaya dikhianati tentera boneka sekular,  dihalang dari membebaskan umat untuk mendaulatkan semula Islam hatta Parlimen tidak bersidang justeru seorang anggota wanita berjilbab.

 Negara-negara umat Islam bekas jajahan takluk Soviet di Asia Tengah masih terkial-kial untuk keluar dari kepompong regim jahiliyyah.  Kalaupun ada yang merdeka dari  Rusia seperti Chechnya belum diiktiraf lagi oleh negara-negara OIC termasuk Malaysia.  Tiba-tiba Indonesia yang menjadi negara umat Islam terbesar dan teramai penduduknya,  lumpuh kemerdekaan,  politik dan ekonominya.  Kini kesatuan negara itu terancam seolah-olah ada kuku-kuku halus mahu memisahkannya kepada beberapa keping wilayah bebas.  Hatta Malaysia yang harum imej dan wajahnya sebelum ini tiba-tiba bertukar bau juga akibat gema apa yang dibayangkan sebagai konspirasi politik Brutus-Kasus sejak beberapa tahun lalu.  Apabila konspirasi mempertahankan Caesar bertindak ke atas bayangan Brutus-Kasus sangkaan sesama keluarga Barisan Nasional dan kabinet wawasan September lalu,  Malaysia jatuh tersungkur dan rakyat dipandang hina di mata umat Islam dunia.

 Jika pun ada yang boleh mengimbangi kepiluan umat Islam itu ialah keupayaan umat Islam Pakistan melancarkan ujian nuklearnya.  Umat Islam mempunyai sebab-sebab positif untuk melihat pencapaian itu secara terbuka,  kerana ia dapat membuka mata bahawa Islam juga boleh.  Pakistan mengulangi keupayaan ahli sains Islam seperti Ibnu Sina.  Senjata canggih bukan lagi monopoli kuasa barat.  Ia menguji sifat amanah Islam memiliki senjata itu demi keamanan kerana Islam tahu erti dosa dan pahala.  Syabas Pakistan.

 Tetapi kejayaan menguasai alam persenjataan nuklear oleh mana-mana pihak jua bukanlah sesuatu yang menggembirakan umat Islam terutama golongan imperialis yang tidak mengenal erti belas dan ihsan.  Sejak senjata canggih dicipta warga Asia dan umat Islam paling ramai menjadi korban.  Jepun menjadi mangsa pertama apabila Nagasaki dan Hiroshima menjadi sasaran ledakan bom atom oleh pihak berikat.  Dalam tahun 80an Iran dan Iraq menjadi mangsa.  Awal dasawarsa ini Iraq dan umat Arab  menjadi sasaran.  Kalaupun Eropah tidak ketinggalan,  hanya baru dua bulan lalu apabila Nato menyerang Serbia.  Sekalipun sasarannya Serbia berhati batu itu,  tetapi umat Islam tidak terlepas.  Ini tidak termasuk korban senjata Soviet menceroboh Afghanistan dulu.  Yang menduka citakan PAS ialah dunia sebelah Timur sentiasa dipilih untuk menguji senjata pemusnah makhluk itu.  Bila Pakistan menguji senjatanya di tanah airnya sendiri,  riuh rendah Nato menyesali kejayaan itu.  Tetapi ketika Perancis menggunakan rantau Pasifik untuk menguji nuklearnya menjerit dan bertempik penduduk Asia,  Pentagon senyap membisu.  PAS juga mengutuk negara yang mengeluar, mengilang dan memiliki senjata pemusnah.  Ia menggalakkan dunia berperang.  Mereka berkata ia untuk keamanan,  sebenarnya mereka menaja sengketa bagi melariskan pasaran senjatanya.

 Dalam perang Teluk dan perang Balkan sekarang kuasa barat atau Nato pimpinan Amerika menunjukkan keganasannya.  Tetapi Amerika tidak sekeras menyerang Iraq bila ia menangani Serbia.  Ia tidak memberi peluang kepada Iraq untuk bernafas,  tetapi ia teragak-agak untuk bertindak ke atas Serbia baik dalam kes Bosnia Herzegovina dulu dan Kosova sekarang.  Apabila korban jiwa dan harta benda sudah tidak terkira,  baru Nato bertindak.  Itupun seperti tidak bersungguh.  Gerangan apa Nato terpaksa mengambil masa yang panjang untuk menundukkan Serbia?  Kelambatan itu menyebabkan bertambah umat Islam yang tidak bersalah menderita walaupun serangan Nato tadi kononnya memerangi Serbia.

 PAS percaya penyelesaian terbaik ialah melalui perundingan.  PBB wajar memberi laluan kepada OIC untuk berperanan sepanjang yang melibatkan negara dan umat Islam.  Islam mempunyai caranya sendiri untuk menyelesaikan sengketa dan mewujudkan perdamaian.  Gerakan Islam sebagai pertubuhan bukan kerajaan yang terdapat di kebanyakan negara Islam boleh memainkan peranan untuk mengendurkan sengketa sesama Islam.

 PAS bimbang dengan pergolakkan di Indonesia dan ura-ura Amerika untuk membina pengkalan tenteranya di Cotabato.  Ia boleh mengganggu kestabilan dan kesentosaan rantau Teluk Siam yang aman di bawah muafakat ASEAN selepas tamatnya perang Vietnam.  Sudah banyak kerosakan gara-gara tangan halus Amerika mengganggu Teluk Parsi,  maka biarlah Teluk Siam menentukan untung sendiri.  PAS gembira jika Indonesia diberi peluang sebebas mungkin untuk menyelesaikan masalahnya dan meminta Amerika melupakan hasratnya untuk bertapak di selatan Filipina terutamanya ketika bangsa Moro mahu menentukan nasib sendiri.  PAS tertarik dengan   hasrat Indonesia untuk menyelesaikan soal Acheh secara perundingan kerana isu itu terus mengganggu Indonesia sejak ia merdeka.  Asia Tenggara akan muncul sebagai rantau penuh harapan bila Filipina dan Indonesia dapat menyelesaikan masalahnya secara musyawarah.  Jika umat Islam diberi peluang untuk berperanan,  Insya Allah dihadapan kita sedang menunggu sebuah rantau yang aman dan bebas.


PEMANTAUAN ORGANISASI PARTI

Selepas pilihanraya 1990 saya telah mengarahkan supaya langkah-langkah perlu hendaklah dibuat bagi menambah bilangan ahli PAS ke angka ½ juta apabila menjelang pilihanraya 1995.  Begitu juga dengan penambahan bilangan ahli cawangan PAS di seluruh negara.  Alhamdulillah rancangan kita telahpun berjaya.  Hari ini bilangan ahli PAS telah melebihi ½ juta.  Cawangan-cawangan PAS telah tumbuh seperti cendawan selepas hujan.  Di setiap kampung,  lorong,  taman-taman perumahan,  di bandar-bandar besar dan kecil cawangan-cawangan PAS telah ditubuhkan.  Bendera-bendera PAS yang merupakan simbol kemegahan kita berkibar dengan megahnya di seluruh pelusuk negara.  Saya begitu yakin dan bertafaul dengan perubahan sikap di kalangan rakyat dan akan lebih ramai lagi rakyat akan menyertai PAS.  Penghijrahan beramai-ramai ahli UMNO dan golongan yang tidak berparti kepada PAS merupakan fenomena baru yang belum pernah kita alami sebelum ini.

Kita seringkali mendengar rungutan dan kritikan bahawa PAS begitu sekali ketandusan sumber tenaga manusia terutama dari golongan professional.  Bagaimana mungkin untuk PAS mentadbir negara sedangkan mereka tidak mempunyai tenaga professional?  Sekarang kita mempunyai ribuan ahli dikalangan professional.  Apakah kita masih tidak mampu mentadbir negara dan menjadi kerajaan alternatif?  Sekarang kita ingin melihat apa pula hujah dan alasan mereka dalam menafi keupayaan kita serta menghalang usaha kita.

Saudar saudari para perwakilan,

Setiap kali kita bermuktamar,  saya sentiasa memperingatkan dan mengarahkan agar kita terus mempertingkatkan usaha gerak kerja dan penyusunan organisasi kita.  Kita hendaklah sedar bahawa sebagai sebuah organisasi politik yang memperjuangkan Islam kita terpaksa berdepan dengan berbagai rintangan dan cabaran.  Di antara cabaran utama yang terus menerus kita hadapi ialah UMNO dan Barisan Nasional.  Sebagai sebuah parti sekular,  mereka sama sekali tidak akan memberi laluan mudah kepada kita.  Mereka telah,  sedang dan akan menggunakan seluruh kekuatan yang mereka miliki termasuk jentera kerajaan dan wang untuk menghalang kita.  Sebagai sebuah parti politik sekular mereka bukan sahaja membendung arus Islam yang sedang berlaku,  bahkan mereka cuba menghalang masyarakat samada Islam atau bukan Islam dari menyertai atau menyokong perjuangan kita.  Dari sudut lain pula mereka sentiasa berusaha mengelirukan rakyat tentang Islam yang kita perjuangkan.  Sungguhpun demikian usaha yang mereka lakukan adalah tidak berhasil.  Rakyat kini telah membuat penghakiman sendiri.  Rakyat boleh melihat dan membezakan di antara hak dan kebatilan.

 Selain daripada cabaran musuh politik tradisi tadi,  kita juga terpaksa berhadapan dengan masalah diri kita sendiri.  Kekuatan musuh belum pasti dapat mematah dan mengecundangkan kita,  tetapi kelemahan kita akan menjadi laluan mudah bagi musuh mematahkan kita.

 Saya yakin bahawa setiap kita begitu sayang dan cinta kepada perjuangan yang kita dukungi.  Setiap kita begitu bimbang dan cemburu tentang kestabilan dan masa depan parti.  Rasa resah dan bimbang sentiasa bersemarak apabila kita terlibat dengan percaturan politik negara dan menyusun strategi serta pendekatan politik yang dirasai baru di dalam perjuangan kita.  Oleh kerana rasa sayang dan bimbang yang begitu tinggi,  kadangkala kita bertindak secara tidak bijak,  penuh dengan prejudis dan hilang keyakinan yang sudah semestinya akan menggugat kestabilan parti.

 Suka saya tegaskan bahawa pucuk pimpinan parti begitu peka tentang perkara ini.  Biar dalam apa keadaan sekalipun pucuk pimpinan akan terus berpegang dengan dasar dan perjuangan parti.  Kita sama sekali tidak akan menggadaikan matlamat dan dasar perjuangan kita.  Amanah yang saudara saudari berikan kepada saya dan saf pimpinan yang lain,  Insya Allah akan kami pikul dengan penuh tanggungjawab dan ketaqwaan kepada Allah.

 Seluruh ahli adalah berhak dan mempunyai tanggungjawab sepenuhnya untuk memberi teguran dan pandangan kepada kami demi untuk kebaikan perjuangan kita juga martabat Islam itu sendiri.  Harapan yang saya nyatakan ini adalah didasarkan kepada sabda Nabi S.A.W :

“Agama adalah nasihat,  baginda ditanya nasihat untuk siapa wahai Rasulullah?  Baginda menjawab untuk Allah dan Rasulnya dan untuk seluruh pimpinan Islam juga untuk umat Islam seluruhnya”

 Dasar inilah yang kita hayati selama ini.  Kita sama sekali tidak beramal dengan dasar diktator seperti yang dilakukan oleh setengah-setengah pihak.  Kita akan terus menghormati nasihat dan mengambil kira pandangan dan teguran ahli dalam memutuskan sesuatu perkara yang penting dan melibatkan dasar parti.  Dari sudut yang lain pula,  saudara saudari juga berkewajipan menghormati dan mentaati keputusan yang dilakukan oleh pucuk pimpinan parti selagi mana arahan-arahan tadi tidak menjurus kepada melakukan penderhakaan kepada Allah.
 
 

Nabi S.A.W bersabda :
“ Tidakada ketaatan kepada makhluk dalam melakukan kemaksiatan kepada Al-Khaliq (Allah) “
 

“ Kamu hendaklah taat dan patuh sekalipun yang memberi arahan ke atas kamu itu (pemimpin) adalah seorang hamba Habsyi “

 Kerjasama dan saling hormat menghormati di antara kita adalah asas penting dalam memantapkan gerakan kita juga merupakan saluran mudah untuk mencapai matlamat perjuangan kita.

Saudara saudari perwakilan,

Penyertaan begitu ramai saudara-saudara kita daripada ahli-ahli UMNO dan bukan UMNO yang mempunyai pengalaman dan kebolehan yang berbagai-bagai diharap akan dapat memperkemas dan meningkatkan lagi keupayaan kita dalam perjuangan yang kita hayati selama ini.  Sungguhpun demikian kita hendaklah bersedia menerima apa yang dikatakan kejutan budaya yang mungkin berlaku di dalam organisasi kita.  Kalau ini berlaku ianya bukan merupakan suatu keganjilan atau perkara yang tidak diduga.  Semangat persaudaraan yang ditanam oleh baginda S.A.W di antara kaum Ansar dan Muhajirin hendaklah dijadikan asas pegangan kita dalam mengeratkan kerjasama di antara ahli-ahli PAS yang lama dan baru.  Kiranya perkara ini dapat dihayati,  dan sememangnya perlu dihayati saya yakin kita akan mencapai kemenangan sepertimana yang pernah dicapai oleh generasi Madinah di zaman Rasulullah S.A.W iaitu generasi Ansar dan Muhajirin.

 Suka saya tegaskan bahawa percaturan politik tanah air kini kian mencabar.  Seluruh pimpinan dan ahli parti hendaklah memahami tentang perkara ini.  Pendekatan dan penyusunan strategi yang lebih sesuai dan meyakinkan rakyat hendaklah diberi keutamaan dan dalam masa yang sama dasar dan matlamat perjuangan kita wajib dijaga dan dipertahankan.  Kita adalah sebuah gerakan Islam yang memperjuangkan “rahmatan lilalamin” yang merupakan kesinambungan perjuangan junjungan besar Nabi S.A.W.  Kita bukan sebuah gerakan perkauman,  kita memperjuangkan keadilan sejagat.  Kita sentiasa membuka kedua belah tangan  untuk berunding dan bekerjasama dengan mana-mana pihak yang cintakan keadilan dan memerangi kezaliman.  Kita berharap agar semua pihak memahami kita tentang perkara ini.  Kita bertindak berdasarkan keikhlasan dan keikhlasan yang sama kita harapkan daripada rakan-rakan kita.

Saudara saudari perwakilan.

Kita semua sedar bahawa peranan dan sumbangan wanita kepada pembangunan negara adalah tidak kurang pentingnya dari kaun lelaki.  Di dalam gerakan kita peranan Muslimat adalah begitu diperlukan.  Peranan Dewan Muslimat hendaklah diseimbangkan dengan Dewan-Dewan lain di dalam PAS.  Kita mahu gerak kerja Dewan Muslimat dipertingkatkan lagi.  Banyak usaha-usaha yang perlu dilakukan oleh dewan ini.  Saya begitu prihatin tentang perkara ini.  Mengikut pengamatan saya terdapat beberapa sudut penting yang perlu dikemaskinikan.  Saya berpuashati dengan usaha Pemuda dalam menglibatkan remaja di dalam gerakan kita.  Saya berharap pimpinan Dewan Muslimat akan memberi perhatian yang wajar teguran saya ini.  Dewan Muslimat hendaklah meningkatkan usaha mereka bagi menarik lebih ramai gadis-gadis Muslim untuk turut melibatkan diri dengan perjuangan PAS.  Saya berpuashati dengan penyertaan dan penglibatan golongan professional lelaki di dalam PAS.  Saya juga meletakkan harapan yang begitu tinggi kepada Dewan Muslimat agar dapat menaraik lebih ramai golongan professional wanita menyertai gerakan kita.  Saya harap selepas muktamar ini satu perhimpunan khas Muslimat hendaklah diadakan.  Saya dan pimpinan tertinggi PAS akan turut hadir di dalam perhimpunan itu.
 



PENUTUP

Untuk mengakhiri ucapan ini,  saya menyeru Dewan Ulama’ agar terus kukuh sebagai akar tunjang kepimpinan PAS,  sementara Dewan Pemuda dan Dewan Muslimat sebagai sayap kanan dan kiri yang sama-sama berfungsi sebagai penggerak penting membawa obor perjuangan menuju kejayaan.  Oleh itu,  dengan segala kekukuhan jamaah,  maka kita akan menghadapi hari-hari depan dengan penuh yakin.  Kepada petugas PAS umumnya,  saya menyeru sekali lagi supaya membuat persediaan serapi mungkin untuk menghadapi pilihanraya umum akan datang ini.  Kerajaan sekular Barisan Nasional,  walaupun dilanda pelbagai kegawatan,  tetapi ia tidak akan semudah itu membiarkan gerakan Islam mengambil alih kekuasaan negara.  Dengan gerak kerja kita yang maksima dan doa kita serta pertolongan Allah s.w.t,  Insya Allah kita akan mencapai kemenangan.

 Marilah kita bertekad untuk melipatgandakan usaha seperti yang dikatakan oleh Al-Syahid Hassan Al-Banna,  “Jangan kamu biarkan seharipun berlalu dalam hidupmu tanpa bekerja untuk Islam"”  Atas roh dan semangat ini dan dengan lafaz Bismillahir-RahmanirRahim saya merasmikan Muktamar Ke-45 ini.
Wabillahi Taufiq wal Hidayah Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
 

Kembali