KUALA LUMPUR,
6 Sept (Bernama) -- Mahkamah Tinggi akan membuat keputusan esok sama ada
untuk mencabar kesahihan keterangan Azizan Abu Bakar, saksi utama pada
perbicaraan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menghadapi tuduhan meliwat.
Hakim Datuk Arifin
Jaka menetapkan tarikh itu selepas mendengar hujah daripada peguam Christopher
Fernando yang mewakili Anwar, Jagdeep Singh Deo bagi Sukma dan Timbalan
Kanan Pendakwa Raya Datuk Abdul Gani Patail bagi pihak pendakwaan.
Arifin berkata
beliau memerlukan masa untuk membuat keputusan mengenai isu itu yang terbit
selepas pihak pembelaan mendakwa bahawa keterangan Azizan's pada perbicaraan
sekarang bercanggah dengan keterangannya pada perbicaraan Anwar terhadap
tuduhan rasuah.
Pihak pendakwaan
yang membantah permohonan pembela untuk mencabar kesahihan keterangan Azizan
telah memanggil saksi berkenaan untuk menjelaskan kepada mahkamah mengenai
percanggahan itu.
Jika mahkamah memutuskan
untuk menolak penjelasan Azizan, maka dia (Azizan) akan menghadapi prosiding
bagi mencabar kebolehpercayaan keterangannya dan ini bermakna kes terhadap
Anwar dan Sukma boleh diketepikan.
Anwar, 52, dan
adik angkatnya Sukma Darmawan Sasmitaat Madja, 38, dituduh meliwat Azizan,
bekas pemandu kepada isteri Anwar di pangsapuri Sukma di Tivoli Villa,
Jalan Medang Tanduk, Bangsar di sini, pukul 7.45 malam, antara Januari
dan Mac 1993.
Sukma juga menghadapi
tuduhan bersubahat dengan Anwar melakukan kesalahan itu di tempat dan masa
yang sama.
Pada mulanya, hari
ini telah ditetapkan oleh mahkamah bagi kedua-dua pihak berhujah selepas
pihak pendakwaan menggulung kes pada 20 Ogos lepas selepas perbicaraan
selama 46 hari.
Bagaimanapun, pada
awal perbicaraan yang disambung selepas rehat selama dua minggu, Karpal
Singh, seorang lagi peguam bagi Anwar memohon supaya mahkamah membuat keputusan
mengenai isu itu dahulu sebelum mendengar hujah daripada kedua-dua pihak.
Karpal berkata
keputusan mengenai isu mencabar kebolehpercayaan keterangan Azizan mesti
dibuat sebelum mahkamah mendengar hujah kerana keputusan itu boleh memberi
implikasi kepada hujah pihak pembelaan.
Pada ketika ini,
Peguam Negara Tan Sri Mohtar Abdullah yang mengetuai pasukan pendakwaan
memberitahu mahkamah bahawa pihak pendakwaan tidak membantah permohonan
Karpal untuk berhujah dahulu berhubung dengan isu berkenaan.
Fernando berhujah
bahawa kes pendakwa terhadap Anwar dan Sukma bergantung kepada keterangan
Azizan dan menambah bahawa saksi itu tidak boleh dipercayai kerana keterangannya
berubah dari semasa ke semasa.
Fernando berkata
pada perbicaraan sebelumnya, semasa diperiksa balas, Azizan memberitahu
bahawa beliau masih mengunjungi rumah Anwar antara 1992 dan 1997 kerana
Anwar tidak meliwatnya kerana jika dia diliwat, sudah tentu beliau akan
menjauhkan dirinya dari rumah Anwar.
Bagaimanapun, Fernando
berkata, "selepas mendapati dirinya terperangkap dalam jawapannya semasa
pemeriksaan balas, saksi itu mengubah keterangannya bahawa beliau masih
melawat Anwar pada masa itu kerana bekas Timbalan Perdana Menteri itu tidak
meliwatnya di rumah beliau (Anwar).
Fernando berkata,
selepas mendapati bahawa beliau telah merosakkan keterangannya sendiri
semasa pemeriksaan semula, Azizan cuba memperbaikinya dan memberitahu bahawa
"selepas Sept 1992, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak meliwatnya".
"Pada ketika inipun,
keterangannya menampakkan percanggahan dan beliau dengan mempunyai niat
dan tujuan telah bersumpah bohong. Dalam keterangannya kepada mahkamah
sekarang, beliau memberi keterangan yang bercanggah dengan keterangannya
pada perbicaraan sebelumnya bahawa dia diliwat di sebuah pangsapuri di
Tivoli Villa antara Januari dan Mac 1993," kata beliau.
Fernando berkata
ini merupakan keterangan baru dan jelas menampakkan percanggahan besar
dengan keterangan sebelumnya dan Arifin juga mendapati bahawa terdapat
percanggahan utama dalam keterangan Azizan.
Beliau berkata
Azizan diberi peluang untuk menjelaskan mengenai percanggahan itu tetapi
dalam percubaannya untuk berbuat demikian", Fernando berhujah bahawa saksi
itu telah bersumpah bohong.
Fernando juga menuduh
Abdul Gani membekalkan jawapan kepada Azizan dengan mencelah atau membantah
persoalan pihak pembela pada "waktu-waktu penting" dan dengan itu mendorong
saksi berkenaan mengulangi apa yang Gani berkata.
"Saya ingin menarik
perhatian bahawa Datuk Gani mencelah pada waktu-waktu penting. Saya berharap
mahkamah akan mengambil kira tindakan oleh pihak pendakwaan kerana ia tidak
adil dan saya membantah," kata beliau.
Fernando kemudian
menyambung hujahnya dengan berkata Azizan yang sepatutnya menjawab soalan
itu dan bukan Abdul Gani.
"Seperti dijangka,
Azizan meniru apa yang Datuk Gani cakap. Beliau mengulang perkataan yang
sama yang terkeluar dari mulut Datuk Gani.
Ini perkara yang
serius dan oelh itu, mahkamah harus mengenepikan jawapan (Azizan) kerana
ia berupa jawapan Datuk Gani," kata beliau.
Fernando berkata
berdasarkan nota prosiding, Arifin telah memantau kredibiliti Azizan, dan
oleh itu meminta mahkamah mengambil kira perlakuan saksi apabila hakim
mula mempertimbang, menganalisis dan menilai keterangannya pada perbicaraan
kes liwat kerana "saksi itu cakap lain hari ini dan lain pula esok.
"Jika seorang saksi
membuat dua kenyataan yang bercanggah sama ada pada suatu ketika atau dua
ketika yang berlainan, saksi itu dengan sendirinya menjadi saksi yang tidak
boleh dipercauai dan tertuduh tidak boleh disabit kesalahan berdasarkan
keterangan saksi berkenaan," kata beliau.
Fernando berkata,
penjelasan Azizan mengenai percanggahan dalam keterangannya ialah "respon
baru dan dibuat kemudian", direka-reka oleh saksi itu dalam usaha untuk
memperbaiki dan mempertahankan keterangannya semasa pemeriksaan balas.
Fernando juga berhujah
bahawa pihak pendakwaan terselamat daripada "menanggung aib" apabila pasukan
pembela menarik perhatian kepada mereka bahawa bangunan Tivoli Villa belum
siap untuk diduduki pada 1992 yang disebutkan sebagai tarikh dalam pertuduhan
terhadap Anwar dan Sukma.
"Dalam keadaan
seperti itu, pihak pembela cuma perlu mengemukakan perjanjian jual-beli
dan Yang Arif sendiri dapat membayangkan bagaimana lemah kedudukan kes
pendakwaan jika pihak pembela tidak menarik perhatian kepada pihak pendakwaan
tentang tarikh itu," kata beliau.
Fernando berkata
pihak pendakwa tidak mempunyai pilihan melainkan meminda tarikh dalam pertuduhan
untuk kali kedua dari "Mei 1992" kepada "antara Januari dan Mac 1993" (tarikh
asal ialah Mei 1994).
Fernando berkata
tarikh itu dipinda untuk disesuaikan dengan keterangan Azizan pada perbicaraan
sebelumnya yang menyebabkan Sukma dituduh bersama dengan Anwar melakukan
kesalahan itu.
Beliau juga berhujah
bahawa dalam perbicaraan kes liwat, cuma ada seorang saksi, Azizan yang
mengetahui apa yang sebenarnya berlaku dan bila, jika dia benar-benar diliwat
oleh Anwar dan Sukma.
Fernando berkata,
Azizan juga mengaku di mahkamah bahawa pegawai penyiasat, SACI Musa Hassan
telah menghubunginya pada 1 Jun, 1999, dan meminta dia meminda tarikh dan
ini menunjukkan bahawa saksi berkenaan telah diperalatkan.
Beliau berkata
daripada keseluruhan keterangan yang dikemukakan kepada mahkamah, Azizan
ialah orang yang paling tidak boleh dipercayai dan oleh itu, mahkamah harus
menolak penjelasannya berhubung dengan percanggahan dalam keterangannya.
Jagdeep yang memakai
semua hujah Fernando berkata, mahkamah harus mempertimbangkan sama ada
Azizan ialah seorang yang keras kepala atau seperti haiwan sumpah-sumpah
yang menukar warna kulitnya mengikut persekitaran apabila berada dalam
bahaya.
Beliau berkata
berdasarkan pemerhatian oleh Arifin terhadap saksi, mahkamah harus berhati-hati
apabila menilai penjelasan Azizan mengenai isu prosiding mencabar kebolehpercayaan
keterangan Azizan.
"Mahkamah patut
membuat kesimpulan bahawa penjelasan tidak boleh dipercayai dan harus ditolak
bulat-bulat," kata beliau.
Abdul Gani berhujah
bahawa walaupun mahkamah telah mendapati bahawa terdapat percanggahan yang
bersifat penting dalam keterangan Azizan, penjelasannya adalah munasabah
dan memuaskan.
"Pihak pendakwaan
berhujah bahawa insiden yang disebutkan dalam pertuduhan berlaku kira-kira
enam tahun lalu dan oleh itu, percanggahan mungkin berlaku. Tetapi itu
tidak bermakna Azizan berbohong," kata Abdul Gani.
Beliau berkata
keterangan Azizan bukan sukar diterima kerana sebenarnya ia konsisten dan
diperkuatkan dengan kenyataan bersumpah dan oleh itu meminta mahkamah menerima
penjelasan Azizan dan bahawa dia ialah saksi yang bercakap benar.
Arifin kemudian
memberi masa kepada Abdul Gani sehingga esok untuk menyemak nota prosiding
bagi menjawab hujah Fernando berhubung dengan keterangan Azizan bahawa
dia tidak diliwat selepas September 1992.
Hakim juga meminta
Abdul Gani menjelaskan mengapa beliau membangkitkan fakta bahawa Azizan
tidak diliwat di rumah Anwar sedangkan saksi itu tidak pernah menyebutnya
sebelum ini.
Bagaimanapun, Abdul
Gani menolak tawaran Arifin untuk menjawab hujah Fernando esok dan berkata
beliau sedia berbuat demikian hari ini.
Abdul Gani berkata
beliau cuma mahu Azizan menjelaskan apakah yang dimaksudkan apabila berkata
dia masih mengunjungi Anwar antara 1992 dan 1997 kerana dia tidak diliwat
oleh Anwar dan saksi menjawab bahawa beliau pergi ke sana kerana dia tidak
diliwat di rumah Anwar.
Beliau berkata
mahkamah harus meneliti keseluruhan keterangan yang dikemukakan kepada
mahkamah untuk membuat interpretasi tentang apakah yang dimaksudkan oleh
Azizan apabila berkata dia tidak pernah diliwat selepas September 1992.
Abdul Gani juga
menafikan tuduhan Fernando bahawa beliau mencelah pada waktu-waktu penting
dan mendorong saksi menjawab soalan itu berdasarkan apa yang terkeluar
dari mulutnya (Gani) dan berkata beliau cuma menjawab bantahan oleh pembela.
Yang turut hadir
pada perbicaraan hari ini ialah Lim Guan Eng yang baru dibebaskan dengan
diiringi oleh ayahnya, Lim Kit Siang.
Perbicaraan disambung
esok. -- BERNAMA